SEORANG wanita yang juga merupakan model pakaian dari Jepun telah menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan pengkritik kecantikan dan penulis-penulis blog di Negara Matahari Terbit itu tentang wajahnya.

Bentuk tubuhnya yang langsing, kulit yang halus dan licin serta rambutnya yang sihat menjadikan model tersebut kelihatan sungguh jelita.

Bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila meneliti gaya hidup oleh seorang model yang semestinya perlu sentiasa tampil anggun dengan menitikberatkan soal penjagaan kecantikan dan kesihatan.

Bagaimanapun, seorang model, Risa Hirako, 47, telah menjadi bualan selepas membuatkan ramai pihak terkejut apabila mengetahui usia sebenar wanita itu yang didedahkan dalam sebuah portal hiburan baru-baru ini.

Melalui pendedahan tersebut, ramai pihak tidak percaya bahawa model tersebut sebenarnya telah menjangkau usia lewat 40-an sedangkan wajahnya kelihatan jauh lebih muda seperti gadis berusia 20-an.

Ribuan pengikut

Selain menjadi model, Hirako juga merupakan seorang usahawan fesyen dan telah berkecimpung dalam dunia hiburan sejak sekian lama.

Bagaimanapun, bekas isteri kepada aktor popular Jepun, Eisaku Yoshida itu telah menyimpan rahsia tentang usianya yang sebenar sebelum akhirnya didedahkan kepada umum.

Dek kerana wajah yang tidak dimamah usia, laman Instagram miliknya telah menarik perhatian puluhan ribu pengikut termasuk peminat dari negara barat yang rata-ratanya menjadi peminat Hirako selepas mendakwa telah jatuh cinta dengan kecantikan yang dimiliki.

“Dia (Hirako) bukan sahaja cantik tetapi juga mempunyai personaliti yang cukup sempurna,” ujar salah seorang pengikut dalam laman Instagramnya.

Penjagaan kesihatan

Jumlah pengikut Hirako juga dilihat bertambah secara mendadak dalam laman sosial daripada 90,000 pengikut kepada lebih 200,000 selepas ramai yang mengetahui tentang usianya yang sebenar.

Bahkan, maklumat yang di­peroleh daripada sumber Wikipedia juga menyatakan baha­wa wanita yang berasal dari Tokyo itu lahir pada 14 Februari 1971.

Selepas usia sebenar model tersebut didedahkan, namanya terus melonjak sehingga menjadi tajuk utama muka hadapan majalah-majalah terkenal antarabangsa.

Dalam pada itu, orang ramai berpendapat bahawa Hirako semestinya seorang wanita yang begitu menitikberatkan soal penjagaan kecantikan dan kesihatan untuk mengekalkan keremajaan pada wajahnya.

Rata-rata pengguna laman sosial berpendapat bahawa model tersebut pasti telah menghabiskan banyak wang dan masa untuk mengunjungi pusat-pusat kecantikan dan meluangkan masa di gimnasium untuk mendapatkan bentuk tubuh yang langsing di samping mengamalkan diet pemakanan yang ketat.

“Walaupun perkara-perkara tersebut mungkin diamalkan dan memainkan peranan penting dalam kehidupannya, saya yakin bahawa Hirako sebenarnya memiliki gen yang sangat baik,” komen peminatnya.

Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan terhadap akaun Instagram miliknya, Hirako banyak mengikuti laman berkaitan kesihatan seperti panduan hidangan sihat, alat solekan organik serta cadangan aktiviti menyihatkan.

Antara minuman kegemaran yang selalu dilihat netizen diambil oleh Hirako ialah susu dengan campuran badam, madu dan pisang yang dikisar dan dicampur dengan mentega.

“Sekali-sekala saya juga akan makan aiskrim dan puding coklat kerana ia memang sedap,” ujar Hirako menerusi laman Instagram miliknya.