Kementerian Kesihatan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, kanak-kanak itu tidak pernah menerima sebarang imunisasi difteria kerana keluarganya enggan menerima imunisasi.

Susulan kes itu, lapan individu dipercayai berhubung dengan si mati turut dikuarantin selepas didapati mempunyai simptom penyakit berkenaan.

Pakar Pediatrik dan Neonatologi UiTM Private Specialist Centre, Dr. Masri Muhamed berpendapat, insiden seumpama itu boleh berulang jika ibu bapa masih berdegil untuk memberikan vaksin ataupun immunisasi kepada anak-anak mereka.

Menurutnya, ia disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya kepercayaan g salah selain mereka yang menyalah tafsir fahaman bahawa vaksin itu haram dan memudaratkan.

“Satu lagi faktor ialah media sosial apabila ibu bapa cenderung tidak menapis ataupun terus percaya dengan fakta dan maklumat palsu yang sampai kepada mereka melalui telefon pintar.

“Dalam hal ini untuk mengurangkan kebarangkalian jangkitan wabak 95 peratus populasi hendaklah disuntik vaksin untuk mendapat status imuniti berkelompok,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Antiboti

Sementara itu, Pakar Mikrobiologi Klinikal, Universiti Sains Islam Malaysia Dr. Nurul Azmawati Mohamed berkata, adalah malang sekiranya kuman menyerang sebelum vaksin diberikan kerana komplikasi yang mengancam nyawa boleh berlaku sekiranya tubuh tidak dapat melawan jangkitan kuman.

Jelasnya, setiap elemen yang terkandung dalam vaksin mempunyai fungsi tersendiri dan menyumbang pada kualiti, keselamatan serta keberkesanan sesuatu vaksin.

Ini kerana vaksinasi adalah satu langkah perubatan yang telah bermula sejak berdekad lamanya. Sejak pengenalan imunisasi, kadar penyakit berbahaya seperti polio, tetanus termasuk difteria telah berjaya dikurangkan.

Katanya, vaksin mengandungi bahan aktif dipanggil antigen. Antigen ini sama ada dalam bentuk virus hidup, virus yang telah dimatikan, protein virus yang telah disucikan, toksin bakteria yang telah dilemahkan atau sebahagian dari struktur bakteria.

“Apabila antigen disuntik, sistem imun badan akan menghasilkan antibodi dan sel memori khusus kepada antigen atau kuman tersebut.

“Tindak balas awal itu dikenali sebagai respons primer. Ia mengambil masa beberapa hari sebelum antibodi terhasil. Antibodi tersebut dihasilkan dalam kuantiti yang agak rendah.

Imuniti

“Tetapi bila jangkitan sebenar berlaku, sel memori itu akan ingat dan terus menyerang kuman tersebut. Tindak balas ini dikenali sebagai respons sekunder. Respons sekunder lebih cepat dengan bilangan antibodi yang terhasil lebih banyak,” jelasnya.

Pakar Runding Pediatrik dan Neonatalogi, Hospital Pakar KPJ Damansara, Datuk Dr. Musa Mohd. Nordin berkata, buat masa ini vaksin difteria digabungkan dengan dua lagi vaksin membentuk vaksin DTP yang melindungi penyakit difteria, tetanus, dan batuk kokol.

“Di Malaysia kanak-kanak boleh mendapatkan suntikan DTP pada usia dua, tiga dan lima bulan. Tetapi apabila umur anak kian meningkat, imuniti terhadap penyakit tersebut akan menurun. Justeru, penting untuk mereka mendapatkan dos penggalak pada usia 18 bulan dan 7 tahun.

“Selain itu, golongan dewasa juga wajar mengambil vaksin difteria yang dikenali sebagai Tdap. Vaksin ini penting juga golongan dewasa kerana imuniti mereka akan menurun dengan peningkatan umur.

“Disarankan juga golongan remaja mendapatkan vaksin ini bermula usia 15 tahun,” tuturnya menerusi video kempen yang dikelolakan program penggalakan imunisasi, Immunise4Life baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, beliau berkata, difteria selalunya bermula dengan simptom menyerupai demam selesema, sakit tekak, demam, menggigil dan kekejangan otot.

Difteria menyebabkan penghasilan cecair pekat dan selaput membran di bahagian belakang hidung dan tekak serta menyekat bahagian atas saluran pernafasan seterusnya membuatkan kanak-kanak menemui ajal akibat sesak nafas.

Tambahnya, difteria juga boleh menghasilkan toksin yang menyerang jantung. Ia boleh menyebabkan degupan jantung menjadi tidak normal dan gagal berfungsi. Sekiranya toksin merebak dan menyerang saraf, ia boleh menyebabkan kelumpuhan atau kegagalan otot untuk bergerak.