Varian hidangan enak dan wajib pada hari raya seperti ketupat, lemang, serunding dan rendang masih lagi dihidangkan di kediaman, pejabat malah di rumah terbuka yang dianjurkan oleh pelbagai pihak.

Pada waktu perayaan sebeginilah, kita boleh menikmati lambakan makanan berasaskan daging termasuk lembu, ayam, itik, burung, kerbau dan sebagainya.

Bercerita mengenai daging dan kebaikannya, masyarakat secara automatik akan merujuk kepada isi yang diambil daripada otot haiwan baik di bahagian kaki, badan mahupun bahu.

Sementelah bahagian organ dalaman seperti hati, paru, perut, limpa, jantung dan buah pinggang dan otak haiwan pula dikatakan tidak baik untuk kesihatan kerana kandungan kolesterol yang tinggi serta dianggap kotor oleh sebahagian masyarakat.

Nutrisi

Tidak kurang juga pendapat orang terdahulu yang melarang pemakanannya dengan mengaitkan organ dalaman ini sebagai punca kepada penyakit lupa, bebal dan juga pendek umur.

Benarkah organ dalaman haiwan hanya mendatangkan mudarat kepada manusia?

Menurut Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Mohd. Rushdan Md. Noor, organ dalaman haiwan juga mengandungi pelbagai nutrien termasuk mineral dan vitamin yang berkualiti.

Antaranya termasuklah vitamin B, zat besi, fosforus, tembaga, magnesium, vitamin A, D, E dan K.

“Sebagai contoh, bahagian hati adalah antara organ dalaman yang mengandungi paling banyak nutrisi. Ia mengandungi sumber protein dan vitamin A yang baik untuk kesihatan mata selain bersifat antikeradangan.

“Tidak ketinggalan, organ lain seperti lidah dan buah pinggang yang kaya dengan protein, asid lemak omega 3, vitamin B12, kolin dan asid folik yang penting untuk pembinaan darah terutama untuk mereka yang mengalami masalah kekurangan darah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Bagaimanapun, Rushdan tidak menolak bahawa organ dalaman haiwan boleh membahayakan kesihatan penggemarnya ekoran kandungan kolesterol dan lemak tepu yang tinggi berbanding daging.

“Mengikut cadangan Pertubuhan Jantung Amerika, pengambilan kolesterol seseorang individu mestilah hanya atau kurang daripada 300 miligram (mg) sehari demi menjalani kehidupan yang sihat.

“Kebanyakan organ dalaman terkandung kolesterol yang sangat tinggi. Di dalam 100 gram hati lembu umpamanya mengandungi sehingga 396mg kolesterol yang jauh melebihi keperluan harian individu berbanding hanya 90mg kolestrol dalam daging otot lembu,” jelasnya panjang lebar.

Tambahnya lagi, organ dalaman juga dipercayai mengandungi sejenis molekul yang boleh menyebabkan masalah kepada penghidap penyakit gout.

Toksin

Selain itu, organ dalaman yang asalnya kotor seperti usus dan perut boleh menjadi sumber toksin dan bakteria jika tidak dibersih dan dimasak dengan sempurna.

“Terdapat satu kajian yang dijalankan di satu daerah di Uganda juga mendapati bahawa organ dalaman tinggi kandungan logam seperti besi, plumbum dan tembaga yang melebihi tahap maksimum yang dibenarkan (0.5mg bagi setiap kilogram berat basah),” terangnya.

Ditebak mengenai mitos makan organ dalam boleh menyebabkan bebal dan pendek umur, Rushdan mengklasifikasikan ia sebagai terpulang kepada kualiti makanan tersebut secara keseluruhannya.

“Seperti manusia, kualiti organ dalaman haiwan juga dipengaruhi oleh cara ia dibesarkan, makanan serta persekitaran tempat ia membesar. Mungkin sepatutnya nutrisinya penuh, namun kerana faktor tertentu, ia menjadi toksik yang boleh memudaratkan mereka yang memakannya.

“Kesimpulannya, organ dalaman boleh dimakan tetapi dalam kuantiti yang sederhana. Paling selamat, kaji terlebih dulu latar belakang sumber organ dalaman haiwan itu diambil untuk kesejahteraan bersama,” ungkapnya.

Sementara itu, Mufti Perlis, Datuk Dr. Asri Zainul Abidin berkata, Islam tidak pernah melarang dan mengharamkan pemakanan organ dalaman haiwan.

“Menurut hadis riwayat Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda: dihalalkan kepada kamu dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Dua jenis bangkai itu ialah bangkai ikan dan belalang manakala dua jenis darah itu ialah hati dan limpa.

“Benda haram adalah apabila kita makan bangkai, babi dan darah yang mengalir. Maksudnya, jika kita sembelih lembu dan ambil darahnya adalah dilarang, tetapi jika ambil dua ketul darahnya iaitu hati dan limpa adalah halal untuk dimakan,” jelasnya.