Piramid tersebut turut digelar piramid condong kerana bentuknya yang sedikit senget, berbeza dengan piramid-piramid lain yang ada di Mesir.

Ia terkenal sebagai sebuah tapak arkeologi kuno dan lokasi Firaun dikebumikan.

Piramid Dahshur terletak kira-kira 40 kilometer dari selatan Kaherah dan ia pada asalnya digunakan sebagai lokasi latihan ketenteraan untuk pasukan tentera Mesir.

Menurut warga tempatan di situ, tentera-tentera muda akan menjalani pelbagai bentuk latihan ketenteraan di kem tentera tersebut dan latihannya amat berat dan sukar.

 

Tembakan kuat

Mengikut cerita, pada kurun ke-15 ada yang mendakwa bahawa tentera rekrut yang menjalani latihan di situ turut didera dengan teruk sehingga ada antara mereka yang meninggal dunia.

Kononnya, roh tentera-tentera yang mati akibat didera itu tidak tenteram dan telah menakut-nakutkan tentera yang baru direkrut di situ.

Menurut seorang tentera baharu yang menjalani latihan ketenteraan di piramid Dahshur, dia sering terdengar bunyi tembakan yang kuat terutamanya pada waktu tengah malam.

“Pernah satu ketika, saya terdengar bunyi tembakan yang amat kuat sehingga saya terjaga daripada tidur.

“Selepas melakukan pemeriksaan di seluruh kawasan latihan, tiada seorang pun yang sedang menjalani latihan pada waktu itu dan semua senjata kami disimpan rapi.

“Orang luar pula tidak boleh masuk ke premis kami dan tidak mungkin senjata itu digunakan oleh orang luar,” ujarnya yang enggan namanya didedahkan.

Selain bunyi tembakan, beberapa orang pelatih yang tinggal di kem itu juga sering terlihat kelibat roh salah seorang bekas pegawai tentera yang pernah menjalani latihan di situ yang lengkap berpakaian seragam tentera.

Biarpun sudah lama meninggal dunia, roh lelaki tersebut didak­wa sering berlegar-legar di luar Piramid Dahshur dan akan memberi tabik hormat serta melemparkan senyuman mesra kepada sesiapa sahaja yang ternampak kelibatnya.

Memetik laporan laman web www.hauntedcuriosities.com, kelibat lelaki tersebut merupakan antara gangguan paling menakutkan yang pernah dialami oleh mereka.

“Ia amat menakutkan kerana lelaki tersebut seolah-olah menjadi penunggu di piramid ini biarpun dia sudah lama meninggal dunia,” ujar individu terbabit.

 

Menjerit kesakitan

Tidak terhenti di situ, tentera di kem tersebut juga mendakwa sering dikejutkan dengan bunyi jeritan sekumpulan lelaki, seolah-olah sedang menjalani latihan ketenteraan yang amat dahsyat.

“Kami juga sering terdengar suara sekumpulan lelaki yang menjerit kesakitan seolah-olah sedang didera dengan amat teruk,” ujarnya.

Kesemua penghuni kem tentera itu menjadi amat takut dan ada antara mereka yang mahu dipindahkan kerana tidak tahan diganggu.

Akibat pelbagai kisah misteri, kem itu akhirnya ditutup dan dibiarkan kosong tanpa penghuni.

Begitu pun, kira-kira 20 tahun yang lalu, Piramid Dahshur mula dibuka kepada orang ramai yang mahu melihat sendiri seni bina piramid tersebut.

Tentera baharu yang menjalani latihan di kem ketenteraan Piramid Dahshur mendakwa sering terdengar bunyi tembakan di kawasan sekitar terutamanya menjelang tengah malam.