Larian tersebut berjalan dengan lancar sehinggalah Mohd. Farid Md. Kamal, 32, mula menyedari rakannya, Mohammad Ashraf Hassan, 29, masih tidak sampai ke garisan penamat selepas selesai perlumbaan tersebut pada pukul 2 petang.

Mohammad Ashraf atau Acap yang memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer (km) disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas dalam pertandingan itu.

Mangsa bersama 485 peserta yang lain memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25km pada pagi itu dan ia sepatutnya berakhir pada hari yang sama.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh semua pihak dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan Acap yang bekerja sebagai Juruteknologi Makmal di Klinik Kesihatan Maharani di Muar, Johor itu.

Pasukan SAR yang diketuai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemui jalan buntu.

Ketua Zon 1 JBPM Perak, Mohd. Khairul Jamil berkata, pihaknya telah mencari mangsa di semua trek laluan yang dilalui kira-kira 1,400 peserta lain yang melibatkan empat kategori iaitu 10km, 25km, 50km dan 100km.

Jelas Mohd. Khairul, pihaknya juga telah meluaskan skop pencarian di luar trek laluan berkenaan termasuk laluan balak di Hutan Simpan Bukit Kinta.

Bagaimanapun, katanya, apa yang menyebabkan operasi menjadi sukar ialah tiada petunjuk yang boleh disandarkan kepada mangsa melainkan hanya petunjuk samar.

“Skop pencarian di samping kawasan trek yang luas merangkumi hutan kecil, ladang kelapa sawit, pesisiran tebing Sungai Kampar, Bukit Batu Putih, Gua Kandu dan Gua Tempurung ini selain petunjuk yang tidak kukuh menyukarkan operasi pencarian,” katanya memetik laporan akhbar.

Pencariannya telah melalui dua fasa dan kedua-duanya berdepan jalan buntu sehingga pencariannya dihentikan sementara pada Rabu lalu apabila tidak ada sebarang petunjuk baharu dapat dikesan.

Usaha yang dilakukan termasuklah pencarian menggunakan anjing pengesan. Polis Perak turut yakin Acap tidak diserang haiwan buas.

Solat hajat

Pelbagai teori yang dikeluarkan oleh netizen berkaitan kehilangan Acap. Ada pihak yang melempar tohmah mengenai masalah rumah tangga, namun perkara itu telah disangkal oleh isterinya sendiri, Hamizah Mohd. Ramli, 27 menerusi media. Terdapat pula yang mengaitkan dengan unsur mistik apabila dikatakan lelaki itu disorok bunian atau jin.

Imam Muda Asyraf dalam satu rakaman video berpendapat, iblis merupakan sebahagian daripada jin dan kita sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah mempercayai kewujudan jin, namun tidak patut untuk mengaitkan segala hal dengan jin.

“Kita faham jin ada kehidupan dan komuniti tetapi jangan semua benda yang berlaku kita hendak melibatkan jin. Orang hilang pun kita hendak libatkan jin tetapi tanpa kita menafikan kemungkinan itu juga boleh berlaku” katanya.

Tambahnya, jika tanggapan seperti itu berleluasa, maka akan berlaku kepincangan dalam sistem kehidupan manusia.

Asyraf menjelaskan, perkara itu sesuatu yang sukar untuk dibincangkan.

“Jangan semua perkara kita sebagai netizen hendak membuat andaian. Sebaiknya kita serahkan kepada mereka yang pakar dan mengetahui,” katanya.

Dalam pada itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan, sebarang usaha mencari dan menyelamat Acap perlu dilakukan mengikut syariat Islam dan penggunaan ritual atau cara yang bertentangan syariat adalah ditegah.

Jelasnya, selepas pelbagai cara dilakukan oleh pasukan keselamatan, kini masanya untuk umat Islam berdoa selain melakukan solat hajat dan memohon kepada Allah agar dipermudahkan urusan untuk menyelamatkan mangsa.

“Marilah kita bersatu hati dalam mencari mangsa dan saya yakin akan ada satu titik pengakhiran iaitu dengan penemuan mangsa,” katanya.

Kehilangan orang di dalam hutan bukanlah satu perkara baharu di Malaysia. Saban tahun pasti ada laporan-laporan berita mengenai kehilangan individu di dalam hutan dan sebagainya.

Pada Ogos 2015 negara digemparkan dengan tragedi tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Gua Musang, Kelantan yang hilang selepas dipercayai melarikan diri masuk ke dalam hutan kerana dimarahi guru.

Apa yang menyayat hati, lima daripada kanak-kanak itu ditemui mati. Lebih daripada 350 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan dan awam telah terlibat dalam operasi yang mengambil masa selama 47 hari.

Pada Mac lalu, Kosmo! juga melaporkan berita tentang dua beradik wanita yang dilaporkan sesat selepas memasuki kawasan hutan di Bukit Pelindung, Kuantan, Pahang.

Operasi mencari dan menyelamat telah dilakukan oleh pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Persatuan Hiking Pahang dan ahli keluarga sebelum mangsa berjaya ditemui lima jam kemudian.

Dalam pada itu, seorang pengendali program ikhtiar hidup di hutan, Mohd. Sofian Empatie berkata, sesat di dalam hutan adalah keadaan di mana seseorang itu secara langsung hilang panduan dan arah di dalam hutan.

“Kebiasaannya seseorang mudah untuk tersesat semasa fasa menuruni bukit, kawasan tanah tinggi atau semasa pergerakan balik.

“Kesilapan memilih laluan atau cabang jalan yang dilalui akan menyalurkan seseorang itu ke arah yang salah dan akhirnya menyebabkan dia tersesat,” katanya yang merupakan bekas anggota komando.

Teknik mencari laluan

Mohd. Sofian menjelaskan, perkara pertama yang perlu dilakukan seseorang itu apabila menyedari dirinya sudah tersesat adalah dengan terus berhenti daripada berjalan.

“Kebiasaannya ketika berjalan di dalam hutan, kita mesti ada sasaran lokasi yang hendak dituju.

“Setelah berhenti anda perlu imbas kembali laluan-laluan yang telah dilalui. Cuba ingat kembali di mana simpang-simpang yang mungkin terlepas sehingga terkeluar dari laluan utama lalu anda tersesat,” katanya.

Tambahnya, selepas berhenti, anda juga perlu menjerit untuk memanggil kawan-kawan dan jika jarak tidak terpisah jauh mereka mungkin mendengar jeritan tersebut.

Kata Mohd. Sofian, sebaiknya mereka yang ingin memasuki hutan dinasihatkan untuk membawa bersama wisel bagi memudahkan anda untuk memberi isyarat sekiranya tersesat.

Jika tiada respons diberikan selepas anda menjerit cuba keluarkan telefon bimbit dan lihat jika ada isyarat liputan.

Dalam pada itu, Mohd. Sofian yang juga merupakan anak jati Bumi Kenyalang menjelaskan, jika seseorang itu sesat dalam lingkungan satu jam kemungkinan laluan utama berada di sekeliling adalah sekitar 1 kilometer (km) dari kedudukannya.

“Salah satu teknik untuk mencari kembali laluan utama adalah dengan membahagikan kawasan kepada empat bahagian iaitu depan, belakang, kiri dan kanan.

“Buat penandaan di lokasi terakhir anda berhenti dan kemudian cuba bergerak ke setiap empat bahagian itu dengan jarak permulaan sejauh 200 meter. Anda boleh bergerak sehingga 1km di setiap bahagian itu dan sekiranya tidak jumpa juga laluan utama anda perlu kembali ke lokasi penandaan yang dibuat pada awalnya,” katanya.

Tambahnya, jika tidak juga menjumpai laluan utama setelah bergerak ke empat-empat bahagian tersebut, itu tandanya anda benar-benar tersesat. Pada situasi itu, psikologi mangsa biasanya mula terganggu dan mental mangsa perlu kuat.

Mohd. Sofian menjelaskan, apabila usaha mencari laluan utama menemui jalan buntu, seseorang itu perlu menunggu di tempat terakhir dia tersesat untuk tempoh masa minimum 24 jam dan paling lama tiga hari.

Jelasnya, ini bagi membolehkan pihak yang mencari mudah untuk menemui anda apabila gerakan operasi mencari dijalankan.

“Sekiranya anda meneruskan perjalanan, apa yang dirisaukan anda akan terus sesat jauh dan usaha mencari sukar untuk dilaksanakan.

“Dalam tempoh itu anda bukan sekadar menunggu sebaliknya perlu juga membuat persiapan lain dan salah satunya dengan menghidupkan unggun api. Cari bahan-bahan sekeliling yang boleh digunakan untuk dijadikan unggun api. Asap yang terhasil daripada unggun api ini juga membolehkan mereka yang mencari mengesan di mana anda berada,” katanya.

Mohd. Sofian menjelaskan, dalam tempoh menunggu itu jika tidak bertemu dengan pasukan penyelamat, mangsa boleh mengambil langkah yang seterusnya dengan bergerak ke sungai berhampiran.

Seseorang boleh hidup dalam satu tempoh yang lama jika mempunyai bekalan air minuman yang secukupnya jika tersesat.

“Berdekatan sungai juga banyak sumber makanan lain. Kebanyakan tumbuhan yang ada di tepi sungai boleh dimakan.

“Selalunya pasukan menyelamat juga sering mencari mangsa di kawasan sungai,” katanya.

Tambah Mohd. Sofian, dengan mengikut aliran sungai yang mengalir ke bawah juga akan membantu mangsa yang tersesat ke kampung-kampung berdekatan.