Mereka mendaki gunung yang terletak di Kabupaten Toraja Utara, Sulawesi Selatan itu selama tiga hari bermula 1 Disember tahun lalu.

Kejayaan pendaki yang terdiri daripada tiga orang cacat penglihatan, enam orang cacat anggota dan seorang OKU lembam itu perlu diangkat sebagai motivasi dan pendidikan mental kepada masyarakat.

Keadaan fizikal yang tidak sempurna bukan penghalang untuk melakukan sesuatu yang dianggap mustahil.

Kesungguhan mereka itu diibaratkan seperti filem Mission Impossible yang dibintangi pelakon popular Hollywood, Tom Cruise.

Menerusi filem berkenaan, Tom Cruise perlu menyelesaikan satu misi sukar dan tidak tercapai dek akal namun atas semangat juang yang tinggi dia mampu menyelesaikannya.

Ekspedisi yang digelar sebagai Pendakian Bersama Difabel Menembus Batas Bahagian II itu memulakan misi menakluk gunung berkenaan dari Rumah Jabatan Wali Kota Makassar pada 1 Disember tahun lalu.

“Saya amat menghargai misi pendakian kali kedua ini.

“Aktiviti ini sangat bermanfaat untuk dijadikan sebagai medium mengembangkan minat dan bakat dalam kalangan atlet OKU,” kata Ketua Dinas Sosial Makassar, Mukhtar Tahir selepas melepaskan kumpulan pendaki tersebut.

Gunung Sesean dengan ketinggian 2,100 meter dari aras laut itu menjadi salah satu tempat bagi pencinta alam dan pelancong untuk melakukan aktiviti mendaki.

Mukhtar Tahir turut berharap aktiviti tersebut boleh mendatangkan manfaat bukan hanya kepada pendaki untuk membuktikan kemampuan diri malah kepada masyarakat.

Ekspedisi yang turut disertai 70 orang pencinta alam itu diadakan sempena Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa 2017.

Sebelum memulakan ekspedisi, rombongan pendaki dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil. Mereka memulakan misi mendaki pada pukul 3 petang dan berjaya menawan puncak Gunung Sesean kira-kira pukul 4.30 petang pada hari yang sama.

“Jika dibandingkan antara tidur di hotel dengan Gunung Sesean selama dua malam, di sini lebih menarik.

Teruja

“Melalui ekspedisi ini kita dapat melihat keupayaan golongan OKU untuk mendaki gunung walaupun selama ini kami dipandang sebelah mata sahaja,” kata salah seorang pendaki OKU, Agussalim.

Pendaki yang terdiri daripada golongan cacat penglihatan dan anggota itu merupakan kumpulan pertama yang berjaya menawan gunung berkenaan manakala peserta lain tiba pada waktu petang.

Para pendaki termasuk Agussalim melahirkan perasaan teruja dan semangat yang begitu tinggi sepanjang menyertai ekspedisi tersebut.

Mereka juga berharap aktiviti mendaki itu akan mendapat perhatian orang ramai dengan lebih meluas lagi.

Seorang pendaki cacat penglihatan, Abdul Rahman melahirkan rasa syukur selepas berjaya menakluk puncak gunung tersebut apatah lagi dia berjaya tiba sebelum waktu malam.

Dia melakukan ekspedisi tersebut dengan bantuan serta arahan daripada rakan-rakan yang berada di hadapan, belakang dan sisi untuk menentukan setiap langkah kakinya.

Abdul Rahman yang mampu melihat 30 peratus sahaja pernah mencatat sejarah buat dirinya sendiri apabila berjaya sampai ke puncak Gunung Latimojong, Enrekang pada Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa 2016.

Dia turut mengaku tidak mengalami masalah sepanjang misi pendakian ke Gunung Sesean kerana menerima arahan yang jelas dan tepat.

Arahan

Keadaan itu katanya berbeza sewaktu mendaki Gunung Latimojong kerana arahan yang diterima kurang tepat sehingga dia terpaksa ditarik dengan tali yang diikat pada pinggang sementara di Gunung Sesean pula hanya dipakaikan tali keselamatan tetapi tidak ditarik.

Penyertaannya dalam misi mendaki Gunung Latimojong itu menjadi pengalaman berharga buat dirinya dari segi mendengar arahan ketika melakukan pergerakan.

Pengerusi Jawatankuasa Ekspedisi, Nur Hidayat menjelaskan, gunung itu dipilih sebagai lokasi ekspedisi kerana ia merupakan simbol kekuatan.

“Ia memerlukan beberapa kemampuan termasuk mental, kesiapsiagaan, pengetahuan dan taktik pengurusan yang kuat. Apabila kita berada di kawasan pergunungan, kita berada dalam satu kumpulan masyarakat untuk bergerak.

“Ini bermakna kita mampu berada di mana sahaja dalam keadaan apa sekali pun,” katanya.

Ketua Dinas Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak Kabupaten Enrekang, Sulawesi Selatan, Sawaliah Baharuddin turut mengucapkan tahniah kepada 10 OKU yang berjaya sampai ke puncak Gunung Sesean itu.

“Ini adalah pencapaian luar biasa. Saya kagum dan terharu dengan kejayaan mereka yang kebanyakannya berjaya sampai ke puncak dalam tempoh kurang tiga jam,” katanya.

Beliau turut membandingkan ekspedisi itu dengan misi pendakian oleh tiga OKU di Gunung Latimojong tahun 2016 kerana terdapat perbezaan dari segi jarak dan cabaran di kedua-dua gunung.

Pada awalnya, Sawaliah memberitahu, atas sebab perasaan ingin tahu amat menebal dalam dirinya menyebabkan dia mahu menyertai ekspedisi tersebut malah beliau juga telah mencari kakitangan untuk sama-sama menyertai mendaki gunung tersebut.

Bagaimanapun katanya, oleh kerana jadual ekspedisi itu bertindih dengan urusannya yang lain menyebabkan beliau terpaksa membatalkan hasratnya tersebut.

Kejayaan pendaki tersebut turut mendapat perhatian Dinas Kepemudaan dan Olahraga Sulawesi Selatan. Pihak tersebut memberikan penghargaan kepada pendaki OKU berkenaan.

Penghargaan itu disampaikan oleh Ketua Dispora Sulawesi Selatan, Sri Endang kepada Adil R., Abdul Rahman dan Arifin Amir yang mengalami cacat penglihatan.

Selain itu, pendaki cacat anggota badan pula terdiri daripada Eko Peruge, Agus Salim, Faluphy Muhmud, Sukirman, Ariandy dan Syawal manakala Jasri pula dikategorikan sebagai lembam.

Sri Endang berkata, penghargaan tersebut diberikan sebagai menghargai kemampuan dan kesungguhan mereka.

“Kejayaan ini boleh menjadi motivasi dan pembakar semangat kepada OKU-OKU yang lain untuk lebih menghargai diri mereka,” ujarnya.

10 peserta OKU berjaya tawan Gunung Sesean setinggi 2,100 meter 
dalam tempoh sejam setengah bersama pencinta alam.