Pelancaran yang dilakukan di Stesen Tentera Udara Cape, Florida telah mencipta sejarah apabila menjadi kapal angkasa pertama yang akan berada dekat dengan matahari.

Menggunakan roket paling berkuasa tinggi di dunia, Parker Solar Probe akan dilancarkan 55 kali tenaga dan terbang tujuh kali lebih dekat dengan matahari berbanding misi sebelum ini, Parker Solar Probe yang mempunyai berat 635 kilogram akan berlegar di sekitar korona pada jarak 6.16 juta kilometer.

Begitupun, kapal angkasa ini terpaksa menempuh suhu panas ekstrem sekitar 1,370 darjah Celsius.

Jarak Bumi dengan matahari ialah 95 juta kilometer.

“Kapal angkasa ini sangat ringan memandangkan ia perlu mengambil jumlah tenaga yang banyak untuk sampai ke orbit sekitar matahari.

Graviti Zuhrah

“Kami berpeluang melihat kawasan baharu di matahari dan mempelajari mekanik bintang yang telah dihasratkan sejak beberapa dekad yang lalu,” jelas pengurus projek untuk misi di Laboratorium Fizik Gunaan Johns Hopkins, Andy Driesman.

Melalui ruang orbit yang berbentuk bujur, Parker Solar Probe akan mencapai kelajuan sehingga 700,000 kilometer sejam.

Lantas menjadikannya sebagai kapal angkasa paling laju dalam sejarah.

Ketika mendekati matahari, kapal tersebut akan menjadi semakin perlahan maka, ia akan menggunakan graviti daripada planet Zuhrah yang berhampiran dengan matahari.

Parker Solar Probe menggunakan graviti di Zuhrah untuk menyesuaikan laluan dan memperlahankannya bagi meletakkan kapal angkasa pada lintasan terbaik.

Cabaran utama ketika berada di orbit yang berdekatan dengan matahari ialah mengekalkan kapal angkasa daripada terbakar.

Menurut ahli sains misi untuk Parker Solar Probe di Pusat Penerbangan Goddard Space Flight NASA di Greenbelt, Maryland, Adam Szabo, NASA sudah merancang selama berdekad untuk menghantar misi ke matahari.

“Kemajuan terkini dalam bidang sains memberikan peluang kepada kami untuk membuat perisai haba di hadapan kapal angkasa yang bukan sahaja menahan haba melampau matahari tetapi juga memastikan bahagian belakangnya sentiasa sejuk.

“Perisai haba diperbuat daripada bahan busa komposit karbon setebal 4.5 inci,” terangnya.

Ketika simulasi matahari dengan suhu 1,371 darjah Celsius di bahagian belakang perisai kapal angkasa akan menjadi 85 darjah Fahrenheit.

Kapal angkasa tanpa manusia itu, diambil sempena nama mendiang Dr. Eugene Parker yang merupakan ahli fizik solar terkenal pada tahun 1958.

Beliau meramalkan kewujudan angin suria, aliran zarah bercas dan medan magnet yang mengalir terus dari matahari.

Ia akan melakukan pemerhatian percepatan angin matahari yang diramalkan oleh Parker.

Usaha ini merupakan pertama kali para saintis suria dapat melihat objek kajian mereka dengan lebih dekat dan secara peribadi.

Misi ini akan membantu saintis untuk memahami bagaimana korona fungsi bagi meramal kejadian ribut angkasa berbahaya yang boleh mengganggu grid kuasa Bumi.

Para saintis bukanlah satu-satunya orang yang terlibat dalam pengembaraan tersebut tetapi di dalam kapal angkasa itu juga membawa 1.1 juta nama peserta yang mendaftar untuk menghantar nama mereka ke matahari.

Tiga bulan selepas pelancaran, Parker Solar Probe akan mencapai kedekatan pertama dengan matahari pada November 2018 dan menghantar data kembali pada bulan Disember.

“Bagi saintis seperti saya, ganjaran kerja keras ini akan menjadi satu set pengukuran unik dengan hasil yang bakal diberikan oleh kapal ini.

“Korona solar adalah salah satu tempat terakhir dalam sistem suria yang tidak pernah dilawati oleh kapal angkasa lepas lantas ia memberikan keseronokan kepada saya sebagai seorang penjelajah,” terang Szabo.

Projek Parker Solar Probe menelan kos AS$1.5 bilion (RM6.1 bilion) dan menggunakan tiga tahap roket ketika pelancaran yang akan membawanya ke planet Zuhrah dalam masa enam minggu dan bakal tiba pada bulan September ini.

Pada 1 November 2018 Parker Solar Probe akan mengorbit matahari buat pertama kali untuk melintasi korona sebanyak 24 kali.

Tujuh tahun

Para saintis berharap, misi ini dapat membantu mereka menguraikan bagaimana korona menjadi panas dan bagaimana matahari menghasilkan fenomena seperti angin matahari dan suar suria yang mempunyai kesan yang serius terhadap perjalanan angkasa, satelit dan juga kehidupan di Bumi.

Ketika Parker Solar Probe mengumpul data, kapal angkasa tidak dapat berkomunikasi dengan Bumi.

Sebaliknya, ia akan memberi tumpuan kepada sebanyak mungkin pemerhatian kemudian kapal tersebut akan menghantar kembali maklumat besar secara berkumpulan.

Misi Parker Solar Probe yang mengambil masa selama tujuh tahun akan berakhir pada tahun 2025.

Lambat laun, bahan api kapak angkasa lepas itu akan habis dan ia tidak lagi berdaya untuk bertahan.

Secara perlahan-lahan rangka kapal itu akan pecah sehingga tiada apa yang tersisa kecuali perisai haba.

“Mudah-mudahan ia akan bertahan dalam tempoh masa yang panjang iaitu antara satu hingga dua dekad akan datang,” tutur Driesman.

Sementara itu, Pentadbir Bersekutu Direktorat Misi Sains NASA, Thomas Zurbuchen berkata, misi tersebut benar-benar menandakan lawatan pertama manusia ke bintang yang mempunyai implikasi bukan sahaja kepada Bumi tetapi seluruh alam semesta.

“Pelancaran kapal angkasa ini merupakan kemuncak enam dekad kajian saintifik dan berjuta-juta jam usaha,” katanya.