Menyedari hakikat itu, seorang pengusaha minuman memperkenalkan sejenis minuman yang menjadi kegilaan terbaharu di Taiwan ke negara ini dengan melabelkannya sebagai ‘minuman paling sesuai untuk laman perkongsian Instagram’ atau The Most Instagrammable Drink.

Minuman mempunyai lapisan tiga warna yang disajikan dalam botol jernih itu mudah mencuri tum­puan kerana keunikannya dan ia sesuai dimuat naik di laman perkongsian gambar popular itu.

Biarpun baru dua bulan diperkenalkan di negara ini, minuman unik itu sudah mula mengumpul peminatnya tersendiri.

Minuman berkhasiat

Kru Jurnal menemui Siti Aishah Syed Tajuddin yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif jenama minuman dan pencuci mulut Dream Color itu untuk mengetahui cerita dan inspirasi di sebalik seleksi minuman beraneka wana yang dihasilkan syarikat tersebut.

“Saya cukup sukakan warna dan mahu mencipta satu minuman yang membolehkan saya bereksperimen dengan pelbagai warna menarik.

“Begitu pun, saya tidak mahu menggunakan pewarna tiruan dalam minuman saya memandangkan ia akan memudaratkan jika diambil dalam kuantiti yang banyak.

“Saya mahukan sesuatu yang bersifat semula jadi supaya minuman yang dihasilkan bukan sahaja cantik, tetapi ia juga berkhasiat,” ujarnya ketika ditemui di cawangan Dream Color yang terletak di pusat beli belah IOI City Mall, Putrajaya.

Bertutur lanjut, Siti Aishah berkata, Dream Color merupakan minuman teh bunga telang yang dicampur dengan jus buah-buahan sebenar.

Rasa manis yang ada pada ke­semua minuman itu pula datang­nya daripada madu asli menjadikan Dream Color sebagai minuman yang enak dan berkhasiat.

Menurut Siti Aishah, idea untuk menggunakan teh bunga telang sebagai salah satu bahan asas minuman Dream Color pula ialah kerana dia mahukan warna yang unik pada minumannya.

“Warna biru menjadikan minuman ini cantik serta unik. Oleh itu, bagi mendapatkan warna biru yang asli, saya memilih bunga telang.

“Bunga tersebut sering digunakan sebagai pewarna semula jadi bagi masakan seperti nasi kerabu, namun tidak ramai yang tahu bahawa bunga telang juga sebenarnya mempunyai banyak khasiat.

“Antaranya, ia mengandungi anti oksida yang baik untuk melambatkan penuaan,” jelas Siti Aishah panjang lebar sambil menunjukkan bagaimana bunga telang itu direndam untuk mendapatkan warna biru yang pekat.

Bunga telang

Bunga telang akan direndam dalam air panas selama satu jam bagi mendapatkan warna biru yang cantik.

Selepas itu, ia akan disimpan di dalam bekas dan sedia untuk dicampurkan dengan bahan-bahan yang lain.

Ketumpatan setiap bahan campuran minuman Dream Color menjadikan ia boleh dilapis dengan bahan-bahan yang lain seperti jus buah-buahan dan susu.

Buat masa ini, Dream Color menawarkan 26 pilihan minuman pelbagai perisa antaranya Dreamy iaitu campuran jus strawberi, jambu batu serta mangga dan Mount Fuji iaitu campuran madu, susu dan teh bunga telang.

Bagi menyambut tahun baru, Dream Color akan memperkenalkan enam lagi perisa minuman baharu dan ais krim dengan pelbagai warna yang cukup unik.

Setiap minuman tersebut dijual pada harga RM8 hingga RM14.

Dream Color hasilkan minuman dengan tiga lapisan warna, menjadikan minuman itu sebagai The Most Instagrammable Drink di Malaysia.