Dalam usaha bertarung melawan sakitnya, kanser tersebut telah merebak pada bahagian perut, paru-paru serta tulang rusuk kiri pelakon tersebut. Bercerita tentang kanser esofagus, pada tahun 2016, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui kajian yang dijalankan oleh Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser mendedahkan bahawa salah satu faktor penyumbang kepada kanser esofagus adalah disebabkan tabiat pengambilan minuman panas melebihi suhu 65 darjah Celsius. Bagi mengetahui sejauh mana kebenaran kajian tersebut, ikuti temu bual yang dilakukan wartawan <em>Kosmo! Ahad</em>, <strong>MOHAMMAD SHAHEMY AZMI</strong>, bersama pakar Onkologi, Dr. Azura Deniel di Hospital KPJ Ampang Puteri, Selangor baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Boleh jelaskan tugas dan bidang kepakaran Dr. di Hospital KPJ Ampang Puteri?

DR. AZURA: Saya bertugas sebagai pakar Onkologi, iaitu pakar berkaitan dengan semua jenis kanser atau turut dipanggil solid tumor. Solid tumor merupakan kanser melibatkan organ kecuali kanser limfoma dan leukimia yang melibatkan kanser darah. Rawatan saya terhadap pesakit kanser adalah rawatan melibatkan kaedah kemoterapi dan radioterapi. Berdasarkan data daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit kanser didapati menjadi penyebab kedua kematian tertinggi di dunia yang menyumbang kepada 9.5 juta kematian pada tahun 2018.

Di Malaysia, kanser merupakan penyebab keempat kematian tertinggi yang menyumbang 12.6 peratus kematian di hospital kerajaan dan 26.7 peratus kematian di hospital swasta. Secara amnya, jumlah pesakit kanser di Malaysia dilihat semakin meningkat dari tahun ke tahun dan jumlahnya dijangka semakin tinggi menjelang tahun 2020. Satu laporan yang dijalankan oleh Jabatan Registri Kanser Kebangsaan, Institut Kanser Negara dari tahun 2007 hingga 2011 menyenaraikan 10 jenis kanser tertinggi dihidapi pesakit di Malaysia. Kanser payudara mencatatkan kadar tertinggi iaitu 17.7 peratus diikuti kanser kolorektal atau usus (13.2 peratus), kanser paru-paru (10.2 peratus), kanser limfoma (5.2 peratus) dan kanser pangkal hidung (4.9 peratus).

Baru-baru ini, pelakon Zaibo dilaporkan meninggal dunia selepas enam bulan bertarung menentang kanser esofagus tahap empat. Boleh Dr. jelaskan serba terperinci tentang kanser ini?

Kanser esofagus merupakan kanser yang melibatkan organ pencernaan. Ia adalah sejenis kanser berbentuk ketumbuhan yang dikesan berada di lapisan tisu pada saluran esofagus. Esofagus merupakan otot berbentuk saluran panjang yang menghubungkan bahagian tekak hingga perut. Saluran esofagus mempunyai tiga lapisan iaitu mukosa, submukosa dan muskularis. Kanser esofagus boleh berlaku di mana-mana lapisan pada bahagian di sepanjang salur esofagus.

Penyakit ini biasanya dikesan dalam bentuk ketulan atau ketumbuhan yang membengkak pada satu bahagian hingga menyebabkan seseorang itu berasa sakit atau sukar untuk menelan makanan.

Terdapat satu kajian oleh penyelidik Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser yang mendedahkan bahawa, salah satu punca kanser esofagus adalah disebabkan pengambilan minuman yang terlalu panas. Adakah dakwaan tersebut benar?

Memang terdapat data yang menunjukkan bahawa pengambilan minuman yang mempunyai suhu melebihi 65 darjah Celsius menjadi salah satu penyebab terjadinya kanser esofagus. Dalam kajian tersebut, penyelidik kanser mendapati air panas boleh mendatangkan trauma kepada sel pada salur esofagus apabila seseorang itu kerap meminum air panas. Sel tersebut kemudian mengalami tumbesaran dengan cepat dan boleh bertukar menjadi kanser. Ia melibatkan pengambilan semua jenis air panas yang mempunyai suhu melebihi 65 darjah Celsius. Bagaimanapun, tiada data spesifik yang menunjukkan jangka masa sehingga terjadinya kanser esofagus terhadap individu yang gemar meminum air panas. Namun, saya percaya ia boleh berlaku dalam jangka masa panjang.

Apakah tanda-tanda awal yang boleh dirasai oleh penghidap kanser esofagus?

Kanser esofagus boleh dikesan dalam beberapa situasi berbeza. Terdapat beberapa simptom yang boleh dirasai oleh pesakit kanser esofagus seperti sukar untuk menelan makanan, muntah selepas makan dan berasa pedih hulu hati. Selain itu, pesakit kanser esofagus turut mengalami masalah indikasi seperti perut tidak dapat memproses makanan dengan baik.

Apabila keadaan berlarutan, pesakit akan mula berasa sakit terutama ketika menelan makanan dan menyebabkan muntah darah. Pada saat itu, mereka akan mula mengalami penurunan berat badan yang mendadak ekoran hilang selera makan selain kerap muntah selepas makan. Masalah kanser esofagus hanya boleh diketahui selepas seseorang itu menjalani ujian dipanggil Oesophagus Duodenoscopy Procedure dengan memasukkan kamera ke saluran esofagus untuk diperiksa. Prosedur itu menggunakan fiberskop bercahaya dan berkamera yang dimasukkan ke saluran makanan hingga ke perut termasuk bahagian usus kecil. Ia dilakukan oleh pakar perubatan untuk melihat sebarang masalah seperti ulser, pendarahan atau ketumbuhan pada saluran atas pencernaan.

Siapakah individu berisiko yang mudah menghidap kanser esofagus?

Laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Registri Kanser Kebangsaan, Institut Kanser Negara dalam satu kajian yang dijalankan selama lima tahun, iaitu dari 2007 hingga 2011 mendapati, penghidap kanser esofagus lebih ramai dihidapi oleh lelaki iaitu sebanyak 737 orang berbanding wanita (429 orang).

Ia merupakan kanser ke-16 paling kerap dihidapi lelaki manakala bagi pesakit wanita, kanser esofagus berada pada kedudukan ke-20. Sehingga kini, masih belum dapat dipastikan punca sebenar yang menjadi penyebab kepada kanser ini.

Bagaimanapun, ahli perubatan percaya penyebab kanser esofagus banyak dipengaruhi oleh gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, pengambilan minuman keras selain kurang memakan sayur-sayuran dan buah-buahan. Selain itu, ahli perubatan juga berpendapat tabiat mengunyah sirih turut menjadi salah satu penyumbang kepada masalah kanser esofagus.

Mengapakah kebanyakan pesakit tidak sedar bahawa mereka telah mempunyai kanser dan hanya menyedari perkara tersebut pada peringkat akhir?

Hal ini berlaku kerana kanser tidak mendatangkan rasa sakit pada peringkat awal. Kebiasaannya, pesakit sedar terdapat simptom-simptom awal kanser seperti bonjolan atau ketulan pada bahagian-bahagian tertentu pada anggota badan namun, ia tidak mendatangkan rasa sakit.

Seperti kanser esofagus, pada peringkat awal ia sukar untuk disedari oleh pesakit kerana tidak mempunyai tanda yang boleh dilihat secara luaran. Pesakit kanser esofagus mula menyedarinya apabila mereka merasa sukar untuk menelan makanan dan berasa sakit.

Pada ketika itu, kanser esofagus telah pun berada pada tahap tiga. Seperti penghidap kanser payudara pula, biasanya mereka sedar terdapat bonjolan pada bahagian payudara. Namun ia tidak mendatangkan rasa sakit dan ia boleh diketahui melalui ujian saringan awal yang dijalankan di hospital.

Adakah kanser esofagus ini boleh sembuh sepenuhnya dan apakah rawatan yang boleh dilakukan selain daripada kemoterapi?

Kebanyakan kes bagi kanser esofagus ini dikesan pada peringkat yang lewat.

Jadi, kesan penyembuhannya agak sukar. Bagaimanapun, jika ia dikesan awal iaitu pada tahap satu, pesakit masih boleh cuba untuk disembuhkan.

Secara keseluruhannya, pesakit kanser esofagus tahap satu dan dua mempunyai peluang untuk sembuh sebanyak 40 peratus manakala pesakit tahap tiga dan empat cuma 10 peratus sahaja. Kaedah rawatan yang paling utama adalah melalui pembedahan bagi peringkat awal kanser tersebut dikesan.

Kanser esofagus pada tahap dua dan ke atas, memerlukan pesakit menjalani rawatan kemoterapi, radioterapi dan pembedahan. Rawatan bagi setiap pesakit mungkin berbeza-beza bergantung pada kedudukan kanser tersebut pada saluran esofagus.

Bagi pesakit tahap empat, tujuan rawatan lebih kepada untuk membuatkan pesakit berasa selesa dan kita cuma melakukan satu jenis rawatan sahaja sama ada kimoterapi ataupun radioterapi.

Apakah saranan Dr. terhadap masyarakat untuk peka tentang risiko mendapat kanser esofagus?

Perkara utama yang perlu dilakukan adalah dengan mengubah gaya hidup seperti berhenti merokok, tidak mengambil minuman keras dan mengamalkan diet pemakanan yang lebih sihat.

Individu yang mula merasai simptom-simptom seperti yang telah dinyatakan di atas, mereka disarankan untuk segera bertemu dengan doktor bagi melakukan ujian dan pemeriksaan. Untuk semua penghidap kanser, mereka tidak perlu takut untuk menjalani rawatan kerana pada masa kini, dunia perubatan telah berkembang dengan ubat-ubatan yang kurang memberi kesan sampingan semasa menjalani kimoterapi atau radioterapi.

Ingin saya nasihatkan supaya elakkan daripada menjalani rawatan alternatif atau tradisional kerana kebanyakan pesakit lambat datang ke hospital kerana mereka melakukan rawatan tradisional terlebih dahulu sehingga keadaan kanser mereka menjadi bertambah teruk.

Tabiat meminum air panas melebihi suhu 65 darjah Celsius menjadi salah satu punca kanser esofagus, selain amalan gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat.