Umpama berada di dalam zon sendiri, dengan memasak, wanita berasal dari Johor ini mencipta fantasi yang menceriakan hidupnya.

Lebih daripada minat, memasak menjadi sebahagian daripada rutin wajib pemilik Instagram, Yatie Kitchen, Nurhayati Zainol Abidin, 42, yang bukan sahaja bertujuan menjamu keluarga tetapi juga buat tatapan ratusan ribu pengikut di laman sosialnya.

Menurut Nurhayati, minat memasak sudah terpupuk sejak kecil, tambahan pula selepas mula mengikuti subjek Kemahiran Hidup di sekolah rendah. Sejak itu dia selalu ke dapur membantu ibu dan bapanya yang mahir memasak.

“Memasak memberikan satu kepuasan yang tersendiri, lebih-lebih lagi apabila masakan kita digemari mereka yang menikmatinya. Ia menjadi minat saya sejak kecil dan pada masa sama ia turut membolehkan saya mencuba resipi baharu.

“Namun, saya tidak sangka minat memasak ini menjadikan saya dikenali di laman sosial. Pada awalnya, akaun Instagram Yatie Kitchen yang memuatkan status gambar makanan di dalamnya dibuat sekadar suka-suka tetapi tidak sangka ramai pula yang mengikutinya,” katanya ketika ditemui K2 di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Tambah ibu kepada tiga cahaya mata itu, sebagai seorang yang suka memasak, dia menjadikan akaun Instagram sebagai storan resipi yang pernah dimasak olehnya untuk rujukan akan datang.

Sememangnya, dewasa ini platform laman sosial telah menjadi jambatan perkongsian tentang gaya hidup atau trend yang sebelum ini hanya banyak dipaparkan menerusi media cetak atau media elektronik.

Ia mencipta satu lagi ruang populariti malah membentuk kerjaya tersendiri buat beberapa individu yang dikenali dengan istilah influencer.

Kebelakangan ini, kandungan gaya hidup yang melibatkan masakan semakin popular dalam kalangan pelayar laman sosial sehingga wujudnya banyak akaun yang berkongsi bukan sahaja resipi dan gambar tetapi juga video memasak.

Pemalu

Akaun Instagram Yatie Kitchen mula dibuat pada tahun 2015 dengan hanya mempunyai kira-kira 300 pengikut yang merupakan rakan sekolah serta kenalan terdekat.

Nurhayati yang kini telah memuat naik lebih 7,000 status masakan itu memberitahu, dia bukan sahaja suka memasak untuk keluarga tetapi juga rakan-rakan yang mengidam sebarang juadah hasil air tangannya.

Populariti akaun Yatie Kitchen mula meningkat selepas masakan Nurhayati dimuat naik dalam Instagram seorang selebriti yang memintanya memasakkan juadah masak lemak siput sedut.

“Selepas itu bukan sahaja pengikut semakin meningkat tetapi peti masuk mesej persendiriannya juga dilimpahi soalan, sama ada saya membuat perkhidmatan katering, berkenaan resipi atau tip memasak.

“Impak daripada satu muat naik oleh selebriti menjadikan saya dikenali, namun saya masih seorang wanita pemalu yang suka memasak. Memasak adalah minat saya tetapi ia tidak sampai ke tahap untuk menjadikannya sebagai karier,” kata wanita yang mempunyai pekerjaan tetap sebagai pekerja sektor swasta itu.

Tambahnya, selepas dikenali, dia melihat skop memasak bukan sahaja sekadar berkongsi resipi atau juadah masakannya tetapi juga platform untuk berkongsi ilmu memasak dengan orang ramai.

Populariti melalui media sosial ini juga telah membuka satu lagi episod baharu buat Nurhayati apabila dia juga diberi kepercayaan sebagai duta produk masakan terkenal, Adabi dan juga mempunyai buku resipi sendiri, Yatie’s Kitchen yang telah berada di pasaran sejak Oktober tahun lalu.

Malah, akaun Yatie Kitchen juga mendapat perhatian ramai selebriti tempatan termasuk penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Video

Selain Nurhayati, seorang suri rumah, Zuraidah Ismail, 52, juga merupakan antara cef media sosial yang dikenali di laman Facebook dengan akaun Kak Ida Kitchen.

Wanita berasal dari Masjid Tanah, Melaka ini juga pada awalnya memuat naik status memasak sekadar untuk mengisi masa lapang.

Jelasnya, mulanya dia hanya berkongsi resipi dengan status biasa sebelum memuat naik secara video selepas disarankan oleh anaknya.

“Sebelum ini saya merupakan seorang peniaga makanan, namun selepas perniagaan diambil alih oleh anak banyak masa yang terluang terutama selepas menyiapkan tugas-tugas suri rumah.

“Melayari Facebook hanyalah bagi mengisi masa lapang dan kebetulan, saya gemar berkongsi resipi memasak dengan rakan-rakan. Akaun saya mula mendapat perhatian selepas video pertama saya memasak juadah Arab, Shaksuka ditonton lebih lima juta pelayar laman sosial,” kata ibu kepada enam cahaya mata itu.

Tambahnya, dia tidak menyangka video yang dibuat sekadar suka-suka mendapat perhatan umum. Selepas itu, dia meneruskan aktiviti memuat naik video itu dengan berkongsi cara memasak pelbagai resipi.

Seperti Nurhayati, Zuraidah juga minat memasak sejak kecil dan sebagai anak perempuan dia sering membantu ibu bapanya di dapur.

Menurut anak kelima daripada tujuh beradik itu, pendekatannya dalam memasak lebih kepada konsep yang sering diungkap dalam videonya iaitu mudah, cepat, sedap dan menyelerakan.

Impak positif

Dia yang membuka akaun Facebook sejak tahun 2012 itu juga sering mencuba resipi baharu selain mencipta resipi tersendiri untuk tatapan jutaan penonton video di laman sosialnya.

“Dalam memasak, saya suka menekankan konsep yang mudah dan ini merupakan antara faktor ramai penonton menggemari cara saya memasak. Tidak kira masakan tempatan atau Barat mahupun Asia Barat semuanya dimasak mengikut cara tersendiri.

“Siapa tidak suka apabila orang menyukai masakan kita, saya tidak lihat perhatian ini sebagai satu populariti tetapi ia ruang untuk saya membantu orang ramai mahir memasak. Ada yang mengirim komen serta mesej menyatakan anak mereka sudah pandai memasak kerana menonton video saya,” jelasnya.

Tambahnya yang telah memuat naik lebih 400 video masakan, impak positif sebegitulah yang membuatnya bersemangat untuk meneruskan perkongsian di Facebook. Zuraidah kini sudah mempunyai kelompok peminat di Malaysia dan Singapura yang sering membuat majlis santai untuk bertemu dengannya.

Salah seorang peminat yang mengikuti kedua-dua wanita ini, Fadheelah Abdul Manaf, 39, memberitahu dia mendapat banyak ilmu memasak menerusi status dan video memasak di laman sosial.

Ibu kepada seorang cahaya mata ini juga mengakui pada awalnya dia hanya pandai memasak masakan tempatan biasa seperti goreng tumis dan masakan berkuah misalnya gulai, kari serta masak asam.

“Perkongsian masakan di laman sosial amat membantu saya lebih mahir dalam memasak, malah ia senang difahami kerana kebanyakan teknik yang diajar mudah diaplikasikan.

“Kebanyakan akaun seperti Yatie dan Kak Ida Kitchen juga sentiasa memuat naik resipi yang menarik dan turut diselitkan tip berguna bagi membantu menyedapkan lagi masakan,” kata wanita dari Kuantan, Pahang itu.

Minat memasak dua wanita yang dikongsi dalam media sosial mendapat perhatian umum sehingga mencetus populariti dalam arena kulinari tempatan.