Hakikatnya, bekas pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berpakaian sedemikian untuk masuk ke reban ayam milik rakan karibnya di Kajang, Selangor.

Ketika itu, suasana reban yang dihuni lebih 15 ekor ayam kampung agak lecak dek musim hujan sejak kebelakangan ini serta najis ayam di merata sudut.

Tanpa menghiraukan pakaian, kasut dan keadaan di sekeliling Azhar bergegas masuk ke dalam reban apabila terlihat kelibat unggas daripada baka yang dibiaknya.

Di dalam reban, lelaki berkaca mata itu menangkap salah seekor ayam bagi memeriksa tahap pembesaran sambil mengusap kepalanya seperti seorang bapa membelai anak.

“Saya tidak pernah kekok apabila bersama ayam. Tidak kisah apa keadaan sekali pun.

“Tambah pula, ini adalah ayam kampung asli yang saya biak sendiri. Saiznya berbeza berbanding ayam-ayam lain,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Selain menyelidik, beliau juga aktif menternak ayam kampung asli, apabila mengusahakan ladang ternakan di atas sebidang tanah di Yan, Kedah hasil kerjasama Rukambu Livestock milik anak muridnya sendiri ketika di UPM.

Ladang dikhususkan untuk membangunkan dan mengkomersialkan ayam kampung asli.

Justeru, tidak hairanlah ramai dalam kalangan penyelidik dan usahawan ayam menggelarkan Azhar sebagai salah seorang pakar ayam kampung.

Turun ilmu

Mengimbau kembali penglibatannya dalam pembiakan dan penternakan ayam kampung, beliau memaklumkan, ia bermula sejak di bangku sekolah rendah.

Lelaki berasal dari Bukit Cina, Melaka itu memberitahu, sejak kecil, beliau sering melihat datuknya, Allahyarham Zainudddin Abu memelihara ayam kampung di rumah.

Jelas Azhar, datuknya memelihara ayam kampung secara sistematik iaitu induk dan anak baru menetas diasingkan bagi mempercepatkan proses bertelur.

“Datuk saya merupakan pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris) yang mengajar subjek ternakan ayam. Jadi, saya selalu menghabiskan masa dengannya bersama ayam kampung,” imbaunya.

Beliau menambah, datuknya turut menurunkan ilmu memelihara, pemilihan dan penyimpanan telur serta membancuh makanan ayam kampung.

Katanya, pada hujung minggu, datuk akan membawanya ke pasar mengutip sisa buangan seperti kepala ikan bilis, sayur, taugeh dan hampas kelapa untuk membuat makanan ayam.

“Di rumah, saya juga ada memelihara ayam kampung sendiri. Saya bertanggungjawab menguruskan ayam berkenaan termasuk dalam aspek pengeraman telur.

“Saya pernah buat sendiri inkubator pengeraman telur ayam menggunakan kotak, mentol, semangkuk air dan kertas bagi mendapatkan suhu antara 37 hingga 38 darjah Celsius.

“Hasilnya, 10 biji telur yang dieramkan berjaya menetas dengan sempurna. Semua anak ayam itu saya hadiahkan kepada datuk sebagai tanda terima kasih,” ujarnya.

Cerita Azhar lagi, kerjaya bapanya sebagai operator wayang pacak bersama Jabatan Penerangan membolehkannya mengumpul dan memelihara pelbagai jenis baka ayam kampung.

Jelasnya, bapanya sering masuk ke kampung-kampung untuk bertugas, sekali gus membolehkannya mendapatkan baka-baka ayam kampung.

Maklum Azhar, antara baka-baka ayam dimilikinya ketika itu termasuklah bulu-balik, leher botak, bulu selasih, janggut, sabung dan jambul.

“Sejak sekolah rendah saya sudah mengenali pelbagai jenis baka ayam kampung. Ketika itu, saya memelihara ayam di rumah sebagai hobi.

“Ayam-ayam yang dipelihara itu ada yang dimakan dan dijual bagi menampung pendapatan harian keluarga. Sekali jual, saya boleh memperoleh antara RM20 hingga RM30,” terangnya.

Sambung pengajian

Minat yang dipupuk sejak kecil itu telah mendorong Azhar memilih untuk menyambung pengajian peringkat ijazah dalam bidang Doktor Perubatan Veterinar di UPM pada tahun 1977 hingga 1982.

Selepas tamat pengajian, beliau telah ditawarkan berkhidmat sebagai Pegawai Veterinar di Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Pada tahun 1993, beliau mengambil cuti bagi menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang unggas di University of Georgia, Amerika Syarikat. Universiti berkenaan merupakan pusat pengajian ayam terbaik di dunia.

Selepas dua tahun di negara Uncle Sam, beliau menamatkan pengajian dengan jayanya dan perlu pulang ke tanah air bagi meneruskan tugas di JPV.

Bagaimanapun, minat mendalami terhadap ilmu berkaitan ayam telah mempengaruhi Azhar menyambungkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) di universiti sama.

Menariknya, beliau meneruskan pengajian selama tiga tahun tersebut tanpa pembiayaan biasiswa atau gaji oleh kerajaan.

Sebaliknya, beliau menggunakan pendapatan sebagai pembantu penyelidik dengan RM2,000 bagi menampung perbelanjaan pengajian, isteri serta seorang anaknya.

“Saya adalah orang pertama di JPV yang berjaya menamatkan pengajian peringkat PhD tanpa biasiswa atau gaji. Ia didorong oleh cinta saya kepada haiwan terutama sekali ayam,” ujarnya.

Sekembalinya ke tanah air pada tahun 1998, beliau telah ditawarkan jawatan sebagai Timbalan Pengarah Institut Kemajuan Ternakan Ayam (IKTA) di Johor Bahru, Johor.

Di sinilah, Azhar memulakan kerja-kerja membiak ayam kampung asli iaitu tugas yang sekian lama ditunggu-tunggu olehnya.

“Ketika berkhidmat sebagai Pegawai Veterinar, saya tiada pengkhususan iaitu semua haiwan kena jaga seperti lembu, kambing, kerbau, burung dan itik.

“Di IKTA, baru saya rasa ia betul-betul kena dengan minat dan jiwa saya sejak kecil iaitu membiak ayam kampung asli,” jelas lelaki peramah itu.

Selepas beberapa tahun di JPV, beliau telah menerima tawaran ke UPM pada tahun 2003 bagi berkhidmat sebagai pensyarah.

Cabaran

Sewaktu di UPM, Azhar berjaya menghasilkan baka ayam kampung asli iaitu Akar Putra pada tahun 2014 selepas melakukan penyelidikan selama 10 tahun.

Penemuan baka baharu ayam kampung itu mampu memberi nilai tambah kepada kegiatan komersial bidang itu, sama ada untuk daging atau telur.

“Baka ini bersaiz lebih besar kerana saya melakukan pemilihan pada peringkat awal pembiakan dengan memilih ayam kampung bersaiz besar.

“Kemudian, ayam-ayam ini dibiarkan tinggal bersama secara bebas selama lima generasi bagi melihat perkembangannya.

“Hasilnya, saya dapati ia memiliki fizikal berbeza daripada ayam kampung biasa. Antara cirinya, leher tanpa bulu, berkaki panjang, badan yang jinjang dan lebih berisi,” jelasnya.

Meskipun telah berjaya menghasilkan Akar Putra, namun Azhar dapati ayam kampung asli sukar dipasarkan dalam pasaran pengguna di negara ini.

Beliau memaklumkan, situasi itu berlaku disebabkan lambakan ayam colour broiler yang kebanyakannya diimport dari Perancis.

Ujarnya, ayam colour broiler dijual pada harga sangat murah dan penjual menggelarkannya sebagai ayam kampung kacukan kepada para pengguna.

“Ayam colour broiler ini bukanlah ayam kampung asli meskipun mempunyai ciri hampir sama. Lebih separuh ayam kampung dalam pasaran negara ini terdiri daripada ayam jenis colour broiler.

“Pengusaha menjualnya dengan harga lebih rendah berbanding ayam kampung asli. Situasi ini menyebabkan penternak dan penjual ayam kampung asli sukar memasarkan produk mereka,” terangnya.

Menyedari hakikat itu, beliau sedang giat berusaha menjalinkan kerjasama dengan JPV bagi mendrafkan piawaian ayam kampung asli.

Katanya, usaha berkenaan bagi menonjolkan ayam kampung asli sebagai produk premium tradisional yang terbukti mampu meningkatkan sosioekonomi rakyat.

Minat mendalam Prof. Dr. Azhar Kasim terhadap ayam kampung telah mendorongnya untuk membiak baka sendiri yang dikenali sebagai Akar Putra.