Sebaik tiba di stesen yang terletak di Jalan Tuanku Antah, Nik Mohd. Fadly Nik Mat meletakkan kenderaan empat rodanya sebelum bergegas ke kaunter tiket.

Dia akan menggunakan perkhidmatan KTM Komuter pada pukul 6.30 pagi menuju pejabatnya yang terletak berhampiran Stesen KTM Bank Negara, Kuala Lumpur.

Masa perjalanan KTM Komuter dari Stesen KTM Seremban menuju ke Stesen KTM Bank Negara adalah sekitar satu jam 15 minit.

Meskipun lebih empat tahun menggunakan Stesen KTM Seremban, Nik Mohd. Fadly sama sekali tidak pernah menyedari nilai sejarah dan estetika stesen tersebut.

“Dalam seminggu, lima kali saya menggunakan stesen ini untuk pergi dan balik dari kerja di Kuala Lumpur.

“Sebelum ini, saya mengaku tidak pernah ambil tahu langsung mengenai stesen ini. Saya perlu bergegas supaya tidak terlepas KTM Komuter,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Hakikatnya, Stesen KTM Seremban telah berusia 109 tahun. Ia mula digunakan pada tahun 1910 dengan kos pembinaan sebanyak RM26,000.

Stesen yang dibina oleh kolonial British menerusi konsesi Hill dan Rathborn itu bagi memudahkan urusan pengangkutan hasil bumi dari Seremban ke Port Dickson.

Baru-baru ini, stesen berkenaan telah mendapat status Warisan Kebangsaan daripada Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Sebagai pengguna, Nik Mohd. Fadly yang juga seorang kakitangan awam berpendapat, Stesen KTM Seremban memiliki seni bina British yang menarik dan unik.

Jelasnya, ia boleh dilihat pada menara jam besar dan ukiran kayu yang terdapat di sekitar stesen berkeluasan 1.2 hektar itu.

“Kalau perhati betul-betul, baru perasan stesen ini memiliki pengaruh seni bina penjajah.

“Bangunan ini agak usang kerana sudah lama. Namun, saya yakin ia masih kukuh dan boleh digunakan dalam tempoh beberapa dekad lagi,” ujarnya.

Bagaimanapun, Nik Mohd. Fadly masih mengharapkan sebuah stesen baharu yang dilengkapi kemudahan moden dapat dibina dengan segera.

Purata penumpang

Buat masa ini, stesen tersebut menyediakan perkhidmatan KTM Antara Bandar dan KTM Komuter.

Menurut Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Stesen KTM Seremban menerima purata 10,000 penumpang setiap hari.

Angka tersebut boleh dianggap tinggi bagi sebuah stesen yang beroperasi dengan tiga buah landasan kereta api.

Pengurus Kanan Stesen KTM Seremban, Shamshulbahri Ahmad memaklumkan, pihak KTMB mula mengambil alih pengurusan laluan kereta api di Semenanjung termasuk stesen berkenaan pada tahun 1948.

“Sebelum ini, stesen ini pernah berkhidmat kepada beberapa buah syarikat kereta api zaman awal termasuk untuk kegunaan British,” katanya.

Menurut catatan dalam buku Sejarah Keretapi di Malaysia tulisan M.A Hawzi Basri, Stesen KTM Seremban dibina oleh British bagi perkhidmatan Keretapi Sungai Ujong.

Perkhidmatan berkenaan menghubungkan antara Seremban ke Port Dickson dengan jarak landasan sepanjang 40 kilometer.

Ia dibina bagi memudahkan urusan pemindahan hasil bumi seperti bijih timah, kopi dan getah dari kawasan pengeluaran ke pelabuhan.

Semua modal pembinaan stesen berkenaan diperoleh daripada pemodal berpangkalan di London, Britain yang mempunyai kepentingan di Negeri-Negeri Selat.

Nadi utama

Menariknya, Syarikat Keretapi Sungai Ujong yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan laluan berkenaan mengatur jadual perjalanan tren mengikut waktu ketibaan dan berlepasnya kapal-kapal di Port Dickson.

Shamshulbahri menjelaskan, Stesen KTM Seremban pernah menjadi nadi utama kepada perkembangan ekonomi di Negeri Sembilan.

“Dahulu, kereta api di laluan ini menggunakan enjin wap. Ia menjadi laluan darat yang penting kepada pemerintah ketika itu,” ujarnya.

Stesen KTM Seremban secara dasarnya terdiri daripada sebuah bangunan satu tingkat berbentuk empat segi panjang.

Bangunan tersebut menampung pejabat pengurusan di sebelah selatan dan ruang menjual tiket serta tempat menunggu penumpang di bahagian utara.

Selepas KTMB mengambil alih stesen berkenaan pada tahun 1948, ia telah mengalami beberapa pengubahsuaian ekstensif sekitar tahun 1994 sebagai persediaan perkhidmatan KTM Komuter.

Kerja-kerja pengubahsuaian menyaksikan penaiktarafan kemudahan baharu dan penaikan aras semua platform bagi memudahkan penumpang naik dan turun dari kereta api.

Walaupun diubah suai dan dimodenkan, namun seni bina asalnya masih dikekalkan sehingga ke hari ini.

Shamshulbahri yang menetap di Senawang memberitahu, antara seni bina yang dikekalkan adalah pintu masuk bata dan lepa serta rasuk kayu terukir dengan motif lengkok.

“Stesen ini juga masih mengekalkan bumbung atap genting, sebuah menara jam putih di atas bumbung bangunan serta dihiasi kubah bawang.

“Saya juga kagum kerana tiang-tiang konkrit di sini dibina tanpa batang besi di bahagian dalamnya. Namun, ia sangat kukuh dan mampu bertahan sehingga hari ini,” ujarnya.

Selain seni bina, stesen berkenaan mengekal dan menggunakan peti besi bagi menyimpan wang hasil kutipan tiket penumpang.

Pemuliharaan

Selepas menerima status Warisan Kebangsaan, stesen itu akan terus dipelihara sebagai salah satu tapak sejarah kepada generasi muda.

Menerusi Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 646), segala perkara berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan Stesen KTM Seremban tertakluk di bawah akta berkenaan.

Ketua Unit Pelancongan Jabatan Komuniti dan Perhubungan Awam, Majlis Perbandaran Seremban, Shamaruddin Saidin berkata, Stesen KTM Seremban akan terus dipelihara.

Jelasnya, stesen berkenaan mempunyai nilai sejarah besar buat negara sekali gus mampu menjadi salah satu daya tarikan pelancong ke Seremban.

Ujarnya, pihak MPS dalam proses membina papan tanda yang mengandungi pelbagai maklumat sejarah mengenai stesen tersebut.

“Stesen ini telah mempunyai tugu peringatan yang menunjukkan ia telah mendapat pengiktirafan sebagai Warisan Kebangsaan.

“Tidak lama lagi, kami akan memasang papan tanda di stesen ini bagi memberi maklumat sejarahnya kepada orang ramai,” katanya.

Shamaruddin berkata, Stesen KTM Seremban juga telah dimasukkan dalam senarai 20 lokasi dalam program Jejak Warisan Seremban (JWS) dan Kempen Pesona Seremban.

Jelasnya, program yang mendapat kerjasama ejen pelancongan itu diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung ke stesen itu.

Stesen Keretapi Tanah Melayu Seremban yang mula digunakan pada tahun 1910 mendapat status Warisan Kebangsaan sekali gus mampu menjadi salah satu tarikan pelancongan di Negeri Sembilan.