Kebanyakan pekerja menjadi tulang belakang seantero negara gajah putih itu khususnya dalam bidang perkilangan, bot nelayan serta penghasilan item standard pasar raya seperti udang sejuk beku, makanan segera dan haiwan.

Biarpun sumbangan golongan itu cukup besar, eksploitasi ejen pengambilan pekerja atau mafia terus menjadikan migran Myanmar itu sebagai tawanan hutang.

Walaupun pada tahun 2017 undang-undang negara itu pada tahun 2017 mahu menentang eksploitasi pasaran pekerja, ia masih berleluasa sehingga kini.

Selepas dakwaan Kesatuan Eropah mengenai penghambaan dan pemerdagangan manusia seterusnya mengugut untuk memboikot produk Thai pada tahun 2015, kerajaan pemerintahan junta itu bergelut mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja migran.

Undang-undang baharu mula berkuat kuasa Julai tahun lalu bertujuan menumpaskan sebarang proses pengambilan pekerja yang mencurigakan.

Ia meninggalkan ramai migran terdedah kepada broker korupsi dan majikan bersifat eksploitasi.

Ambil kesempatan

Kira-kira setahun kemudian, pakar pekerja asing dan buruh mendedahkan, kelemahan kerajaan dan penguatkuasaan terhadap undang-undang itu masih lagi tidak menjamin keselamatan migran.

Golongan itu masih perlu menghulurkan ratusan ringgit sebagai bayaran kepada ejen sehingga akhirnya membuatkan mereka terbeban dengan hutang sebelum mendapat pekerjaan lagi.

Walaupun penggubalan undang-undang itu menyatakan migran Myanmar tidak perlu membayar melebihi AS$100 (RM416) kepada ejen tetapi hakikatnya, ramai yang terpaksa membayar melebihi AS$800 (RM3,328).

Menurut seorang pekerja migran, Ma Oo, 40, ia merupakan jumlah yang besar bagi pekerja bawahan yang bekerja antara negara termiskin di dunia.

“Ejen-ejen tersebut mengambil kesempatan terhadap kami,” katanya yang membayar sehingga AS$400 (RM1,164) untuk bekerja di sebuah kilang elektronik berhampiran Bangkok.

Bukan Oo seorang sahaja yang dihimpit beban itu, hakikatnya ramai lagi migran yang takut untuk menyuarakan hak mereka.

Firma pekerjaan Thai kebiasaannya akan mengupah ejen tempatan untuk mencari pekerja dari negara jiran seperti Kemboja, Laos dan Myanmar.

Menurut pakar buruh migran, Andy Hall, broker Myanmar atau sub ejen itu akan ke kawasan perkampungan pinggir mencari pekerja seterusnya menyerahkan segala kos bidaan tersebut kepada mereka.

“Ia meninggalkan migran itu terperangkap sebagai tawanan hutang lebih-lebih lagi dibebani yuran yang sangat tinggi,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Jaringan Hak Pekerja Migran Thailand, Aung Kyaw berkata, kolaborasi ejen Thai dan Myanmar boleh dianggap sebagai mafia sebenar apabila mengaut banyak keuntungan daripada pekerja migran.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan ribuan migran yang bekerja tanpa sebarang pengesahan pendaftaran menjadikan mereka lebih berisiko tinggi ditipu.

Terdapat sebuah keluarga termasuk dua orang kanak-kanak diperdagangkan dan dijadikan hamba di bot nelayan, dipukul, tidak dibayar dan dilupuskan dokumen mereka.

Ejen haram

Pihak berkuasa Thailand bertegas mahu mempertahankan undang-undang negara itu daripada terus dihantui masalah ejen pekerjaan haram dan memberi amaran bakal mengenakan hukuman berat.

Menteri Buruh Thailand, Anurak Tossarat berkata, sekiranya terdapat masalah, perekrut pekerjaan Burma merupakan individu yang harus memikirkannya.

Pelbagai kempen turut dijalankan demi menyedarkan pihak berkuasa di kedua-dua negara dan meningkatkan rantaian bekalan kepada pembeli multinasional.

Rantaian pasar raya terbesar Britain seperti Tesco, syarikat gergasi makanan, Nestle dan pembuat coklat, Mars turut bekerjasama dengan rakan niaga tempatan demi menambah baik amalan pekerjaan.

Biarpun yuran yang dikenakan itu tinggi selain berpotensi dihimpit belenggu hutang, setiap bulan dianggarkan hampir 15,000 warga Myanmar merentasi Thailand untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

Sementara itu di kedai teh Yangon, Kyaw Naing, 24, berkata, dia telah memberikan sejumlah wang kepada ejen yang telah menjanjikannya pekerjaan.

“Saya perlu meminjam duit daripada keluarga dengan bunganya sekali tetapi saya berjanji akan membayarnya jika kerja itu bagus,” katanya.

Naing yakin dengan ejennya kerana dia telah memberi jaminan bahawa undang-undang Thailand baharu lebih selamat. 
– AFP