Restoran yang terletak di te­ngah-tengah bandar raya Taipei, Taiwan itu sememangnya menjadi tum­puan pelanggan tidak kira sama ada dalam kalangan masyarakat tempatan mahupun pelancong luar untuk menikmati hidangan mi sup istimewa yang disajikan.

Kelihatan mi sup daging yang dihidangkan hanya biasa-biasa sahaja, namun ternyata mi sup daging tersebut adalah yang termahal di dunia.

Lazimnya, mi sup daging bukanlah dianggap sebagai hidangan eksklusif, namun berbeza dengan mi sup da­ging yang dijual di restoran Niu Ba Ba kerana harganya mence­cah T$10,000 (RM1,328.60) semang­kuk.

Walaupun harganya agak mahal, namun ia mendapat sambutan hangat terutamanya dalam ­ka­­langan pencinta makanan yang sanggup membe­lanjakan sejumlah wang semata-mata untuk menikmati semangkuk mi sup daging.

 

Daging premium

Restoran Niu Ba Ba merupakan restoran yang menyediakan hidangan berasaskan mi sup de­ngan lapan jenis pilihan bermula pada harga yang paling murah iaitu mi sup klasik berharga T$493 (RM65.54) sehingga paling mahal iaitu mi sup daging presiden.

“Kami perlu tampil dengan kelainan untuk menjadikan mi sup yang dihidangkan di restoran ini lain daripada yang lain,” ujar Eric Wang Yiin Chyi, generasi kedua yang meneruskan operasi restoran Niu Ba Ba.

Menurut Eric, keistimewaan setiap mangkuk mi sup daging presiden adalah ia menggunakan sekurang-kurangnya empat jenis daging lembu premium yang diimport khas dari Amerika Syarikat, Jepun, Australia dan Brazil.

Sebelum dimasak, daging tersebut akan direbus dan dibekukan selama tiga hari untuk mencapai tekstur dan rasa yang benar-benar sempurna.

Kuah sup yang digunakan pula dibuat dengan menggunakan sekurang-kurangnya enam jenis daging berkualiti yang diadun sebati untuk membangkitkan rasa yang lebih menyelerakan.

Mi sup daging presiden dida­tangkan dengan lima pilihan mi berbeza mengikut selera dan kehendak pelanggan.

Walaupun restoran tersebut telah dikenali di seluruh dunia, namun untuk mencapai kejayaan yang diraih pada hari ini bukanlah semudah seperti yang disangka.

Menurut Eric, bapanya, Wang Tsung Yuan yang juga pengasas restoran Niu Ba Ba sebelum ini menetap di Kanada selama lebih 20 tahun dan mengambil keputusan untuk pulang ke Taiwan pada tahun 1990 dan membuka restoran yang diusahakan hari ini.

“Semasa mula-mula berniaga, rasa mi sup yang dihasilkan tidak menepati selera pelanggan sehingga menyebabkan restoran yang baru dibuka mengalami kerugian yang teruk.

“Lebih buruk lagi, rakan kongsi bapa mengambil keputusan me­ngundur diri hanya selepas 11 hari restoran beroperasi,” ujar Eric kepada CNN Travel.

 

Tanpa harga

Bagi memastikan restoran yang baru dibuka itu tidak terkubur begitu sahaja, bapanya telah menghabiskan masa selama bertahun-tahun mencari resipi tepat untuk menghasilkan hidangan mi sup ­da­ging terbaik kepada pelanggan.

Jika kebanyakan perniagaan lain telah berkembang selepas beberapa tahun beroperasi, berbeza dengan Niu Ba Ba apabila restoran tersebut kurang mendapat sambutan sehingga memaksa ia berpindah ke lokasi lain yang lebih kecil pada tahun 2007.

“Restoran baharu itu hanya boleh memuatkan kira-kira 18 hingga 20 orang pelanggan sahaja pada satu-satu masa,” kata Wang yang akhirnya menemui resipi terbaik untuk menghasilkan semangkuk mi sup daging presiden pada tahun yang sama.

Semasa mula-mula memper­kenalkan hidangan mi sup pre­siden, sajian itu tidak mempunyai harga sebaliknya pelanggan hanya membayar harga hidangan tersebut mengikut kemampuan mereka.

“Kami bertanyakan kepada pe­langgan harga yang mereka akan bayar untuk semangkuk mi sup presiden.

“Jawapan yang diterima sungguh mengejutkan apabila ada pe­langgan memberitahu bahawa dia sanggup untuk membayar sehingga RM1,328.60 untuk semangkuk mi sup presiden yang sungguh enak itu,” kata Wang yang meletakkan harga tersebut pada hidangan semangkuk mi sup presiden.

Walaupun harga yang ditawarkan sangat mahal, namun hidangan tersebut telah mendapat sambutan hangat sehingga pelanggan yang ingin datang ke restoran disaran supaya membuat tempahan meja sekurang-kurangnya dua hari lebih awal.

Restoran Niu Ba Ba di Taiwan sajikan semangkuk mi sup daging pada harga RM1,328.60 yang menggunakan empat jenis daging lembu import terbaik.