Pakistan ialah sebuah negara konservatif yang selama ini berpegang dengan norma tegas bahawa kejantanan seorang lelaki terletak kepada kesederhanaan dan penggayaan menyerlah perlu dihindari.

Tetapi usahawan-usahawan di bandar-bandar Pakistan telah membawa kepada tercetusnya trend baharu metroseksual di negara itu iaitu salon-salon kecantikan lelaki.

Sekiranya kaum wanita di bandar-bandar Pakistan telah lama menikmati akses khidmat jururunding kecantikan dan penata rias, kini cucian muka dan pembersihan kuku yang mahal untuk jejaka semakin menjadi kelaziman. Ia berikutan pendapatan rakyat kelas pertengahan yang meningkat - pendapatan per kapita rakyat negara itu melonjak kepada 6.4 peratus pada tahun 2017.

Budaya media sosial turut menyemarakkan keinginan untuk menjadi seorang yang sedia swafoto pada bila-bila masa. Ditambah pula dengan pengaruh daripada selebriti media sosial seperti Adnan Malik dan Osman Khalid Butt yang mampu menarik ratusan ribu pengikut dengan status-status kesedaran fesyen yang tinggi.

Di salon lelaki Men’s milik Tauseeq Haider, para pelanggan berbelanja minimum 1,400 rupee (RM84) untuk sekali kunjungan. Ia jauh lebih mahal berbanding hanya 200 rupee (RM12) untuk berbelanja di kedai-kedai gunting rambut tradisional.

“Lelaki mempunyai hak yang sama untuk ditata rias dan zaman telah berubah. Kini bukan sekadar menggunting rambut.

“Warga emas dan golongan birokrat tidak rasa segan untuk berkata mahu melakukan rawatan wajah, urut, sesuatu perlu dilakukan pada kuku saya, minta cadangkan apa yang sesuai untuk saya,” kata Haider.

Di luar bandar Pakistan, kaum Adam secara tradisionalnya mengambil tip-tip fesyen daripada ajaran Islam berhubung ukuran panjang janggut dan misai selain garis panduan kebersihan.

Sementara di bandar-bandar, industri hiburan Bollywood dan Barat telah lama memacu trend fesyen bagi peminat-peminat tata rias.

Namun, media-media sosial kini menjadi penanda aras fesyen di negara membangun Asia Selatan itu sekali gus memecah tembok-tembok kelaziman terutamanya di bandar-bandar.

Menurut pemilik salon warga Lebanon, Michael Kanaan yang berpangkalan di Pakistan sejak lebih sedekad lalu, pendapatan yang kian meningkat dan pendedahan kepada budaya global telah membawa kepada permintaan yang tinggi.

“Lelaki Pakistan kini menjadi semakin metroseksual. Ini semua kerana internet, satelit dan televisyen,” kata Kanaan.

Pakar ekonomi, Minhajul Haque berkata, lelaki-lelaki Pakistan juga kini sering menjadi subjek dalam kempen-kempen pengiklanan online lantas memperhebat lagi trend ini.

“Sekarang banyak strategi pemasaran bijak dalam memasarkan produk kecantikan lelaki sekali gus permintaan meningkat mendadak,” terangnya.

Berhabis

Humayun Khan, 49, berkata, dia tidak kisah untuk berhabis demi kelihatan menarik dan isterinya juga menyokong minat baharunya itu.

“Kuku saya dikilatkan, rambut saya dipotong, wajah saya dirawat dan urusan saya selesai hari ini. Lagi dua minggu, saya datang kembali.

“Jika saya tidak kelihatan menarik, isteri tidak menyukai saya,” katanya tertawa.

Pakar penggayaan, Ghulfam Ghori berkata, lelaki Pakistan kini semakin mengambil berat tentang penjagaan kulit, membuang bintik-bintik hitam pada wajah, rawatan jerawat dan solekan semasa menghadiri majlis seperti undangan perkahwinan.

“Lelaki sekarang sangat prihatin tentang kulit mereka sehingga merasa penting melakukan rawatan wajah. Sebelum ini ia suatu yang bukan kebiasaan, tetapi kini trend itu semakin berkembang,” kata Ghori.

Rupa-rupanya bukan sekadar salon yang semakin digilai oleh golongan lelaki dalam kosmopolitan Pakistan yang semakin berkembang.

Zafar Bakhtawari yang merupakan Pengerusi D. Watson Group, salah satu rangkaian farmasi terbesar Pakistan menerangkan:

“Saya boleh katakan bahawa terdapat revolusi di Pakistan apabila golongan lelaki amat mementingkan kecantikan, wajah, rambut dan pakaian. Ini satu revolusi yang hebat,” katanya. – AFP