Bermula daripada asuhan, didikan dan polisi nasionalis oleh kerajaan, seseorang individu tidak akan berbelah-bahagi untuk menumpahkan kesetiaannya. Namun, persoalan itu sukar diberi jawapan berbentuk hitam putih bagi seorang kanak-kanak bernama Ramlee.

Suatu hari, Ramlee memberitahu kawan-kawannya yang dia tidak pernah menyambut hari jadinya sendiri. Kawannya bertanya: “Khoothoot kha, Khun pen khon ak rai kha- Maaf, awak orang apa?” Ramlee teragak-agak untuk menjawab.

Ada tiga jawapan berlegar-legar di benak fikirannya dan dia tidak tahu mana satu harus didahulukan.

Bagaimanapun, kisah itu sebahagiannya adalah fiksyen kerana Ramlee sebenarya tidak wujud, melainkan sebagai satu karakter dalam novel Republik Sungai Golok. Ramlee adalah metafora kepada penulis novel tersebut, Isma Ae Mohamad.

Penulis bertemu dengan pemilik nama itu di kota Bangkok, Thailand baru-baru ini yang menjadi tempat Isma mencari rezeki sejak tujuh tahun lalu.

Kami mengatur pertemuan di Soi 57, Ramkamhaeng sebelum bergerak ke sebuah gerai di kawasan berhampiran Terusan Khlong Saen Saep.

Kawasan itu mempunyai ramai penduduk Melayu dari Selatan Thailand, memudahkan orang Islam mencari makanan halal dan pusat Islam yang berhampiran. Isma turut menyewa di kawasan berhampiran.

Meskipun lahir di Patani, Isma dibesarkan di Pasir Mas, Kelantan sehingga tamat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia.

Bapanya orang Patani, manakala ibunya orang Malaysia dan mereka menetap di negeri Cik Siti Wan Kembang. Dia menamatkan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bunut Susu di Pasir Mas.

Sepanjang tempoh tersebut, Isma kerap berulang-alik ke kampungnya di selatan Negara Gajah Putih itu.

Pengalaman hidupnya antara sempadan menjadikan Isma tidak seperti warga Thailand yang lain. Dia lebih fasih berbahasa Melayu berbanding bahasa Thai.

Ditambah pula dengan warna-warni sosiopolitik di selatan negara itu. Pengalaman hidup dan pandangannya mengenai tanah air tercinta diabadikan di halaman-halaman novelnya.

Namun begitu, novel pertama hasil karyanya bukanlah mengenai kehidupan atau tanah air sendiri. Novel Anak-Anak Karen (judul asal: Laskar Cinta) yang diterbitkan pada 2010 mengisahkan mengenai etnik Karen yang berjuang menuntut kemerdekaan di Myanmar.

“Perjuangan etnik Karen di Myanmar tidak jauh beza dengan etnik Melayu di Patani. British berjanji untuk memberi kemerdekaan kepada negeri Karen ketika ingin melepaskan tanah jajahannya, tetapi janji tinggal janji, negeri Karen kekal di bawah Myanmar dan pemberontakan berterusan hingga kini,” katanya kepada K2 ketika ditemu bual baru-baru ini.

Kritik sosial

Republik Sungai Golok yang mengisahkan tentang kehidupannya dan isu-isu di kawasan sempadan Malaysia dan Thailand adalah karyanya ketiga. Dalam novel itu, watak Ramlee menjadi metafora dirinya yang hidup sebagai diaspora Patani di Kelantan.

Dalam novel berkenaan, Isma membawa kritikan sosial mengenai isu-isu penyeludupan, keselamatan, pendidikan untuk kanak-kanak tanpa dokumentasi dan hubungan kekeluargaan yang melangkaui sempadan politik antarabangsa yang dirasainya sendiri semasa kecil, serta pandangan orang Malaysia terhadap dirinya.

“Dari segi politik, Saya kaitkan Republik Sungai Golok dengan hubungan sejarah Patani dan Kelantan suatu ketika berada dalam satu entiti politik yang dipanggil Patani Besar, tetapi kedua-dua negeri ini semakin jauh antara satu sama lain.

“Semasa saya kecil, hubungan itu masih lagi rapat, namun pada pandangan saya, Kelantan kini sudah condong ke arah Kuala Lumpur dan Patani pula cenderung ke arah Bangkok,” tuturnya.

Dilema identiti menjadi tema utama Republik Sungai Golok, apatah lagi kepada seorang kanak-kanak yang bukan orang Malaysia, namun terasing daripada rakan senegara yang lain.

Dilema

Dilema itu antara lain adalah kesan langsung Perjanjian Inggeris-Siam 1909 yang memisahkan Selatan Thailand dan utara Tanah Melayu kepada dua entiti politik yang berbeza. Ramlee turut mengkritik sikap angkuh penjajah Inggeris yang menggariskan sempadan itu tanpa mempedulikan penduduk tempatan.

“Tekanan sebagai pelajar asing tanpa izin terus menghimpit perasaan saya semasa di sekolah menengah.

“Saya tak dapat menyertai banyak kegiatan kerana bukan warganegara. Lebih tertekan bila tengok kawan-kawan sekelas isi pelbagai borang,” ujarnya.

Dua gelas teh ais membasahkan tekak kami pada hari yang terik itu.

Menyambung kembali bicara, Isma berkata, minatnya dalam bidang penulisan bermula sejak di bangku sekolah lagi.

“Saya minat membaca dan mengkaji penulisan orang lain. Penulis yang saya gemari tulisannya ialah Karim Raslan dan saya merungkai penulisannya, dengan cara itulah saya belajar menulis.

“Selepas itu saya mula menghantar penulisan yang memfokuskan isu Patani dan selatan Thailand ke majalah seperti Dewan Masyarakat,” tambahnya. Katanya, novel Republik Sungai Golok dikembangkan daripada cerpen berjudul Cerita Dari Sungai Golok yang terbit dalam majalah Tunas Cipta, Dewan Bahasa dan Pustaka pada bulan Disember 2013.

Republik Sungai Golok mempunyai sekuelnya sendiri. Sawasdee Bangkok, novel terbaharu itu menyorot kehidupan Ramlee di kota itu.

Sawasdee Bangkok ialah kisah bulan-bulan pertama saya berhijrah ke sana. Dalam novel berkenaan, sebahagian adalah benar dilalui untuk menceritakan tak mudah untuk hidup di ibu kota lebih-lebih lagi sebagai orang Patani yang miskin dan tak berpendidikan tinggi,” ujarnya.

Isma berkelana ke Bangkok untuk mendalami bahasa Thai dengan memasuki kelas bahasa dalam usaha untuk belajar menjadi warga Thai yang baik. Isma turut menyatakan perubahan pendiriannya mengenai soal negara dan kenegaraan dalam dua novel itu.

Kini, Ramlee sedang menyiapkan novel yang menjadi trilogi kepada Ramlee. Ia khusus tentang kehidupan pendatang Patani yang ramai sekitar daerah Ramkhamhaeng, Bangkok.

Romantika sejarah

Selain daripada novel mengenai pengalaman hidupnya, Isma turut menghasilkan karya sejarah Patani.

Novel Ratu-Ratu Patani yang merupakan novel kedua adalah satu caranya memodenkan Hikayat Patani dan memasukkan catatan-catatan luar mengenai negerinya itu.

Ia berkisar mengenai zaman keemasan Kesultanan Patani ketika era Ratu Hijau dan ratu-ratu lain pada kurun ke-16.

“Novel itu saya tulis antara lain sebagai menjawab sebuah filem yang dihasilkan iaitu Queen of Langkasuka oleh penerbit tempatan. Filem itu diceritakan dari sudut pandangan orang Siam dan menunjukkan seolah-olah sejarah Patani tamat pada era itu, walhal Patani masih ada sehingga hari ini,” tegasnya.

Novel itu bersambung dengan dua judul lain, Patani 1688-1750: Tahun-Tahun Pancaroba dan Patani 1909.

Kami berpisah di jeti Ramkamhaeng selepas tamat sesi temu bual.

Seperti norma anak perantau, Lebaran lalu menandakan tibanya masa untuk pulang ke kampung. Isma pulang ke Kelantan bagi menyambut Lebaran bersama keluarga.

Mata pena Isma yang berani membuka semula halaman sejarah yang kian dilupakan menjadi contoh bahawa sejarah tidak semestinya ditulis oleh orang yang menang, kerana orang yang kalah juga boleh menulis sejarah.

Dari Sungai Golok ke kota Bangkok, Isma Ae Mohamad yang dibesarkan di Pasir Mas, Kelantan abadikan pengalaman diaspora dalam novel.