Tanpa panorama orang ramai bekerja keras menarik tali yang mengikat kaki-kaki lembu untuk dijatuhkan seperti acara korban tipikal, tiada juga lembu yang dihenyak jemaah ketika berhempas pulas untuk menumbangkan haiwan itu ke tanah.

Kegusaran orang awam dikejar lembu naik minyak juga hampir tiada kerana padang ragut itu dikandang ampuh dengan batang-batang besi utuh.

Mesin sembelihan pula mengambil alih tugas sebahagian besar tenaga manusia dalam memudahkan urusan korban sehingga 20 ekor lembu pada Hari Raya Aidiladha. Dengan menekan salah satu tombol, mesin yang sudah berisi lembu hidup itu diarahkan ke arah kiblat untuk sembelihan oleh imam yang sudah bersedia dengan pisau tajam.

Begitulah keunikan ibadah korban di Masjid Puncak Alam yang berbeza daripada ibadah korban tradisional di masjid-masjid. Ia dilengkapi pusat penyembelihan haiwan ternakan berciri moden dan sistematik berkeluasan 462 meter persegi.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Masjid Puncak Alam paling dikenali dengan pusat penyembelihan di masjid dan kaedah korban modennya di negara ini. Sebuah mesin hidraulik binaan tetap di pusat penyembelihan itu telah memudahkan kerja-kerja sembelihan di masjid tersebut sejak tiga tahun lalu.

Tombol

Mesin hidraulik berserta sistem di pusat penyembelihan itu direka oleh pereka cipta peralatan berteknologi Zulkifli Haron daripada Zull Design Autotronic.

Kewujudan pusat sembelihan itu ditunjangi oleh Pengerusi Masjid Puncak Alam, Tan Sri Rozali Ismail yang juga selaku pencetus idea, penyumbang dan pewakaf utama. Mesin tersebut dibeli pada harga RM150,000 manakala kos keseluruhan pusat penyembelihan ialah lebih RM260,000.

Pegawai Teknikal Masjid, Mohd. Zain Wafir Kamarul Anowa yang bertanggungjawab mengendalikan mesin tersebut berkata, penggunaan mesin itu membolehkan proses sembelihan lembu berlangsung lebih singkat.

“Ketika mula mengendalikan mesin ini pada tahun 2015, saya berasa teruja kerana tidak pernah menyaksikan sesuatu seperti ini. Saya tidak pernah menyangka korban dapat dipraktikkan secanggih ini.

“Proses untuk lembu masuk ke pintu mesin sehingga ia selesai disembelih cuma mengambil masa antara lima hingga 10 minit,” katanya ketika ditemui Kosmo! di masjid tersebut baru-baru ini.

Mohd. Zain menjelaskan, mesin yang diperbuat daripada besi keluli tahan karat itu mempunyai beberapa tombol seperti pintu, perut, badan, tengkuk, sangkar dan platform.

“Tombol pintu ditekan untuk membuka dan menutup pintu mesin setelah seekor lembu memasukinya. Proses penghimpitan pula dilakukan dengan menekan tombol perut, badan dan tengkuk bagi besi memegang bahagian-bahagian tubuh haiwan itu. Tombol badan membantu membuat haiwan itu berdiri sekiranya ia stres dan duduk.

“Apabila tombol sangkar diaktifkan, mesin yang pada asalnya dalam kedudukan tegak akan mengiring atau dibaringkan ke kanan, sekali gus lembu dalam kedudukan tumbang. Kemudian, tombol platform ditekan untuk mengarahkan lembu dan mesin ke arah kiblat sebelum imam menyembelih haiwan itu,” katanya.

Saliran

Mohd. Zain berkata, biasanya korban di masjid itu melibatkan tidak kurang 15 ekor lembu tetapi pada tahun ini sembelihan 20 ekor lembu akan dilakukan pada hari raya pertama Aidiladha dan lima ekor lembu lagi pada Sabtu atau hari raya keempat.

Berkesempatan mengunjungi masjid itu baru-baru ini, Kosmo! dapati pusat penyembelihan itu boleh disifatkan moden dan berkelengkapan komprehensif. Dibina dengan reka bentuk terbuka, pengudaraannya juga selesa dengan kipas-kipas di dinding.

Imam Masjid Puncak Alam, Afif Izwan Nordin berkata, sistem yang terdapat pada pusat penyembelihan itu bukan sahaja memudahkan urusan korban dengan mengurangkan penggunaan tenaga manusia bahkan lebih selamat dan bersih.

“Boleh dikatakan 80 peratus proses penyembelihan sehingga melapah dan memotong di pusat penyembelihan ini menggunakan bantuan teknologi.

“Jika korban tradisional mungkin memerlukan 10 orang untuk menumbangkan seekor lembu, kaedah ini mungkin memerlukan cuma empat orang iaitu tiga orang memegang kepala dan seorang tukang sembelih, bilangan ini tidak termasuk seorang jurukawal mesin,” katanya.

Bukan itu sahaja, Afif Izwan berkata, pusat penyembelihan itu juga dilengkapi rel besi penyangkut daging lembu di atas siling bagi memudahkan proses melapah serta sistem saliran darah lembu korban yang menapis darah beku dan lelemak bagi menghindari pencemaran persekitaran.

“Bagi korban tradisional, kebiasaannya kapak digunakan untuk memotong tulang tetapi di sini, kami menggunakan mesin pemotong tulang yang direka khas,” katanya.

Australia

Menurutnya, banyak pihak telah melakukan kunjungan untuk menyaksikan amalan korban moden di pusat penyembelihan antaranya Jabatan Mufti Negeri Selangor, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan masjid-masjid sekitar Kuala Lumpur.

“Pusat penyembelihan masjid ini juga pernah digunakan untuk sembelihan kambing Australia oleh satu pihak dari Australia dan telah mendapat kebenaran oleh pihak audit dari negara itu yang mendapati pusat penyembelihan ini menepati piawaian mereka. Mereka hanya menggunakan tempat ini untuk sembelihan dan bukan mesin kerana setakat ini mesin kita hanya digunakan untuk sembelihan lembu,” ujarnya.

Afif berkata, sebelum ini, pusat penyembelihan ini hanya digunakan setahun sekali apabila tiba perayaan Aidiladha, namun sejak tiga bulan lalu, pihak masjid telah mempromosikan perkhidmatannya kepada orang awam yang berminat menggunakannya untuk sembelihan.

“Setakat ini, sudah ada pihak lain yang menggunakannya untuk tujuan kenduri. Mereka perlu membawa lembu ke sini untuk sembelih kerana mesin ini berbinaan tetap,” ujarnya.

Sementara itu, jurutera di Zull Design Autotronic, Muhammad Asyraff Zulkifli berkata, mesin tersebut dipanggil mesin hidraulik kerana dioperasi menggunakan minyak hidraulik.

“Namun, kami biasanya hanya datang ke situ untuk melakukan servis penyelenggaraan minyak itu setahun sekali. Kebiasaannya minyak tersebut tahan lama, namun jika minyak sudah tidak elok, kita akan gantikan minyak yang baharu.

“Berat mesin hidraulik itu ialah lima tan dan diperbuat daripada besi keluli tahan karat. Boleh dikatakan, mesin yang dibeli oleh masjid tersebut adalah yang terbaik yang pernah kami hasilkan,” katanya.

Selain itu katanya, rel besi penyangkut lembu itu pula menggunakan teknologi winch yang mana dapat mengangkut bebanan berat sehingga tiga tan.

“Pagar kandang pula yang berukuran antara enam hingga 12 meter (m) direka boleh dibuka pada setiap 1.5m, sekali gus memudahkan urusan pengalihan dan pergerakan lembu tanpa perlu digerakkan jauh,” katanya.