Lebih menyedihkan, ibu tunggal itu terpaksa mengharungi tempoh berpantang selama 40 hari dalam kereta selepas melahirkan anak keduanya itu.

“Kematian suami memang memberi tamparan kuat dalam hidup saya sekeluarga. Setelah pemergiannya, saya hilang punca pendapatan.

“Semua perbelanjaan makan minum, saya usahakan sendiri biarpun pada masa itu saya sedang mengandung dan tidak mempunyai perkerjaan tetap.

“Selepas hilang punca pencarian, saya terpaksa keluar dari rumah sewa kerana tidak mampu membayarnya. Jadi, saya tiada pilihan melainkan terpaksa berteduh dalam kereta,” ujarnya ketika ditemui K2 di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Angel’s Home, Taman Putra Impiana, Puchong, Selangor baru-baru ini.

Katanya, sepanjang tempoh berpantang tersebut, pada waktu malam dia tumpang berteduh di tempat letak kereta pusat beli-belah atau di masjid berdekatan.

Menurut Fasizan, kesusahan dan dugaan yang dihadapi itu bertambah ringan selepas berjumpa dengan Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia, Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang.

“Saya memang tidak mengenalinya tetapi ada terbaca di media sosial yang Uncle Kentang ini seorang yang baik hati dan selalu tolong orang susah.

“Jadi hati ini tergerak untuk hubunginya setelah mendapat nombor telefonnya daripada rakan-rakan rapat. Alhamdulillah selepas berjumpa dengannya dan menceritakan masalah, dia menempatkan saya dan anak-anak di sini untuk sementara,” katanya yang juga mempunyai seorang anak autisme berumur 12 tahun.

Keperluan

Menurut Fasizan, kini dia sedang mencari pekerjaan untuk menampung perbelanjaan harian demi membesarkan kedua-dua anaknya itu. Dengan adanya pusat jagaan itu, beban hidupnya dapat diringankan apabila anak-anaknya mendapat penjagaan, sementara dirinya keluar untuk berusaha mencari rezeki.

Pusat Jagaan Kanak-Kanak Angel’s Home percuma ini diwujudkan oleh dua syarikat hartanah bagi membantu keluarga yang tidak berkemampuan terutamanya ibu dan bapa tunggal untuk mendapatkan khidmat pengasuh atau penjagaan anak-anak mereka semasa keluar bekerja.

Syarikat tersebut adalah Gplex Realty Sdn. Bhd. dan Googolplex Holdings Berhad.

Angel’s Home yang menyediakan penjagaan harian itu dikendalikan oleh Persatuan Kebajikan GPLEX iaitu sebuah organisasi bukan kerajaan di bawah Gplex Realty Sdn. Bhd.

Inisiatif itu melibatkan kerjasama dengan Chee Heng yang bertindak sebagai penasihat pusat tersebut.

Menurut Naib Pengerusi Persatuan Kebajikan GPLEX, Janice Chao Guan Nam, penubuhan Pusat Jagaan Angel’s Home pada Mac lalu dibuat selepas melihat keperluannya dalam masyarakat.

“Kita dapati ada banyak rumah anak yatim dan pusat kebajikan diwujudkan tapi tidak ada rumah spesifik untuk membantu ibu atau bapa tunggal yang hadapi masalah tak ada siapa nak jaga anak mereka apabila keluar bekerja.

“Rumah ini akan jadi pusat jagaan kepada anak-anak golongan itu dan juga kepada mereka betul-betul tidak mampu menanggung kos pengasuh,” katanya.

Tambahnya, kelengkapan dalam rumah teres dua tingkat termasuk televisyen, kabinet dapur, katil di setiap bilik tidur dan barang mainan disediakan penaja, sukarelawan dan ahli Persatuan Kebajikan GPLEX.

Selidik latar belakang

Mengenai pendaftaran, Janice memberitahu, setiap permohonan untuk meletakkan kanak-kanak di situ akan diselidik ahli jawatankuasa persatuan dan sukarelawan bagi memastikan hanya mereka yang layak menikmati manfaat percuma ditawarkan.

“Ahli jawatankuasa akan pergi ke rumah mereka dan selidik dulu latar belakang ibu atau bapa tunggal supaya dapat pastikan hanya yang benar-benar layak menikmati inisiatif ini.

“Khidmat jagaan kanak-kanak ini dibantu oleh dua kakitangan dari pukul 8 pagi hingga 6.30 petang setiap Isnin hingga Jumaat,” katanya.

Tambah Janice, had umur kanak-kanak yang boleh menghuni Pusat Jagaan Angel’s Home adalah tiga hingga 12 tahun dan mengehadkannya kepada 20 orang sahaja.

Bagaimanapun, jelas Janice, sekiranya terdapat ibu tunggal yang mengalami masalah kewangan dan mempunyai anak di bawah umur kelayakan akan dipertimbangkan.

“Lazimnya, kami tidak menawarkan khidmat menjaga kanak-kanak di bawah umur satu tahun untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” ujarnya yang memberitahu pusat tersebut berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Jelas Janice lagi, sekiranya operasi pusat jagaan tersebut berjalan lancar, pihaknya menyasarkan akan membuka satu lagi pusat jagaan di tempat lain bagi membantu lebih ramai golongan memerlukan.

Pada masa sama, Janice berkata, kos bulanan pusat yang menawarkan khidmat jagaan itu ditanggung pihaknya dan juga kakitangan syarikat yang menyumbang sebanyak dua peratus daripada pendapatan mereka bagi tujuan kebajikan.

Dalam pada itu, Penjaga Pusat Jagaan Angel’s Home, Suzleen Suleiman berkata, pusat jagaan tersebut menyediakan makan pagi, makan tengah hari dan minum petang.

“Ibu dan bapa hantar anak mereka ke sini sangat beruntung kerana bukan sahaja dibekal makanan percuma, malah turut mendapat mainan.

“Keselamatan pula terjamin kerana, pihak pengurusan ada menyediakan kamera litar tertutup pada setiap penjuru rumah dan mempunyai pekerja yang selalu mengawasinya,” tuturnya yang sudah berpengalaman hampir lima tahun bekerja dalam dunia kebajikan.

Jelas Suzleen, cabaran yang dihadapi sepanjang menjadi penjaga adalah untuk menarik minat ibu dan bapa menghantar anak-anak mereka tempat itu.

“Ada dalam kalangan ibu dan bapa masih tertanya-tanya bagaimana pusat ini mampu beroperasi secara percuma.

“Bagaimanapun, selepas diberi penerangan bahawa pusat ini berada di bawah tajaan dua syarikat hartanah yang ingin membantu keluarga yang kurang kemampuan, mereka mula faham,” ujarnya.