Kelihatan beberapa orang mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk bersenam dan berjoging di pekarangan stadium tersebut.

Dari satu sudut di ruangan meletak kereta di stadium itu, seorang wanita berbaju putih terlihat sedang mendongakkan wajahnya ke langit untuk melihat dron yang sedang terbang di udara.

Pada masa yang sama, tangannya pantas mengawal alat kawalan untuk menerbangkan dron miliknya itu.

Jika bagi sesetengah individu, pagi hujung minggu adalah waktu terbaik untuk berehat di rumah tetapi berbeza buat Intan Suraya Mohamed Aladin, 34.

Kunjungannya ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada pagi itu adalah untuk bersama teman-temannya yang lain daripada komuniti Dron DJI Malaysia untuk merakam gambar keindahan seni bina stadium tersebut di saat mentari pagi menyinari bumi.

DJI adalah merujuk kepada jenama dron yang popular.

“Stadium ini mempunyai pemandangan yang menarik jika gambarnya dirakam dari pelbagai sudut berbeza. Apabila menggunakan dron saya dapat merakam gambar dari udara dan dapat melihat keseluruhan kawasan stadium ini.

“Merakam pemandangan di saat matahari baru bersinar juga dapat memberi kelainan pada gambar,” katanya yang bekerja sebagai pengurus pemasaran di sebuah syarikat swasta.

Tunjuk ajar

Baginya, gambar dari sudut atas yang dirakam dengan menggunakan dron menghasilkan gambar yang lebih cantik.

“Saya sanggup membelanjakan wang sekitar RM3,500 untuk membeli dron jenis DJI Mavic Air untuk tujuan ini.

“Tidak dapat dinafikan pada awalnya agak susah untuk mengawal dron ini. Tapi saya belajar sendiri melalui YouTube cara untuk mengawalnya. Setelah menyertai komuniti DJI Malaysia, rakan-rakan yang lebih berpengalaman turut memberi tunjuk ajar,” katanya yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Dalam pada itu, Nazarizal Mohammad, 40, berkata, komuniti Dron DJI Malaysia yang diasaskannya bersama seorang lagi rakan, Rusdi Effandy Rustam Afandi terdiri daripada mereka yang mempunyai hobi merakam gambar menggunakan dron.

Jelasnya, komuniti ini baru sahaja ditubuhkan tahun lalu. Sejak ditubuhkan, pada setiap hujung minggu jika ada kelapangan, mereka akan bertemu dan pergi ke tempat-tempat menarik untuk merakam gambar menggunakan dron masing-masing.

“Komuniti ini terdiri daripada pelbagai latar belakang iaitu peguam, jurutera, broker saham dan lain-lain lagi tetapi kami mempunyai hobi yang sama.

“Kami semua bukanlah jurugambar profesional tetapi kerana minat ini kami bersatu.

“Kami sebelum ini langsung tidak mengenali antara satu sama lain. Melalui hobi ini menjadikan kami sebagai kawan untuk bertukar-tukar pendapat dan membantu antara satu sama lain dalam menghasilkan gambar menarik melalui dron,” katanya.

Tambahnya, setiap hujung minggu hampir 20 daripada ahli komuniti itu akan berkumpul di lokasi-lokasi menarik bagi merakam gambar.

Dalam pada itu, Nazarizal menjelaskan, gambar yang dihasilkan melalui dron amat berbeza dan mempunyai seninya yang tersendiri.

Keindahan

Melalui hobi sebegitu, ia menjadi satu cara untuk mereka menunjukkan keindahan Malaysia ke mata dunia sekali gus dapat menarik kehadiran pelancong asing.

Setiap gambar yang dihasilkan oleh dron akan dimuat naik ke halaman Instagram masing-masing dan kemudiannya boleh dilihat oleh orang ramai dari serata dunia.

Selain itu, hasil-hasil gambar terbaik juga dimuat naik ke halam Instagram komuniti tersebut iaitu di @djimalaysia.

“Malaysia sebenarnya mempunyai banyak lokasi yang indah dan menarik. Negara kita mempunyai banyak bangunan yang mempunyai seni bina yang cukup mempesonakan.

“Jadi kami akan merakamnya dari sudut-sudut gambar yang sukar dirakam oleh kamera biasa,” katanya yang bekerja sebagai jurutera.

Baginya, menghasilkan gambar yang cantik memberi kepuasan yang tersendiri kepada pilot-pilot dron iaitu gelaran kepada pengemudi atau pengawal dron.

Melalui dron, gambar yang dihasilkan adalah dari sudut mata burung yang sukar untuk dilihat oleh manusia.

Jadi gambar yang dihasilkan itu mempunyai keunikannya yang tersendiri.

Dalam pada itu, Nazarizal yang juga tersenarai dalam 20 The Most Influential Drone Pilots 2018 di dunia oleh laman Drone Multimedia menjelaskan, minatnya terhadap dron bermula pada tahun tahun 2017.

Jelasnya, dia tertarik untuk merakam gambar dengan menggunakan dron setelah melihat kecantikan gambar yang dirakam oleh pilot dron dari Emiriyah Arab Bersatu dan Rusia.

“Saya melihat gambar mereka di Instagram. Melalui foto yang dihasilkan mereka telah mencetuskan minat saya untuk merakam gambar menggunakan dron.

“Pada tahun yang sama, saya membeli sebuah dron yang berharga sekitar RM3,000 untuk berbuat demikian,” jelasnya.

Nazarizal menjelaskan, untuk mengawal dron, ia tidaklah sesukar mana.

Langgar pokok

Kesukaran untuk mengawal dron mungkin hanya pada peringkat awal, namun jika seseorang itu sudah mahir untuk mengawalnya, ia akan menjadi mudah.

“Apa yang penting ketika mengawal dron adalah bersabar dan jangan panik. Jika kita melakukan sedikit kesilapan, dron itu mungkin akan hilang kawalan.

Tambahnya, di Malaysia terdapat beberapa lokasi yang tidak boleh dron diterbangkan antaranya di pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya, kawasan lapangan terbang dan beberapa kawasan lain.

Komuniti Dron DJI Malaysia hanya akan menerbangkan dron di kawasan yang dibenarkan sahaja.

Selain itu, untuk dron yang mempunyai berat di bawah 20 kilogram ia tidak memerlukan lesen untuk diterbangkan.

Terang Nazarizal, dron DJI kebiasaannya mampu terbang setinggi 500 meter dan bergerak sejauh 7 kilometer.

Dalam pada itu, kongsi Rusdi Effandy, 45, yang merupakan broker pasaran kewangan, kerana minat, dia telah membelanjakan hampir RM20,000 untuk membeli dron.

Jelasnya, dia memiliki empat jenis dron jenama DJI iaitu model Mavic Pro, Mavic Air, Spark dan Phantom.

“Pada mulanya saya gemar merakam gambar dengan menggunakan kamera digital DSLR. Tapi apabila menggunakan kamera itu, sukar untuk saya merakam gambar dari sudut yang tinggi.

“Ada masanya saya perlu memanjat bangunan untuk merakam gambar. Tetapi sejak beralih arah menggunakan dron pada tahun 2017, saya boleh merakam gambar dari sudut yang tinggi dengan mudah,” katanya yang berasal dari Kuching, Sarawak.

Keunikan foto yang dirakam dron mampu menonjolkan sudut-sudut indah dari ruang udara Malaysia ke mata dunia.