Biarpun melahirkan anak luar nikah hasil hubungan sulit dengan bekas teman lelakinya, namun gadis kelahiran Sabah itu bersyukur kerana kehadiran bayi itu sekurang-kurangnya berjaya mengubah kehidupan liarnya.

“Dahulu, kehidupan saya dipenuhi dengan noda hitam. Disebabkan terlalu menginginkan kehidupan mewah, saya sanggup menjual tubuh dan maruah.

“Saya mula menjadi perempuan simpanan ketika berumur 20 tahun. Pada waktu itu, saya masih lagi bergelar seorang mahasiswi.

“Bermula daripada pemberian hadiah, Nasir (bukan nama sebenar) lelaki yang dikenali di sebuah kelab malam kemudian melamar saya untuk menjadi wanita simpanannya,” jelas Nurul.

Cerita wanita itu, biarpun pada mulanya dia akui agak takut dengan perbuatan jijik itu, namun sebaik dihujani dengan kemewahan, dia mula leka.

Jual barang

Katanya, walaupun dilimpahi dengan kemewahan, namun dia tetap tidak mengabaikan pelajaran sehingga dia berjaya mendapat segulung ijazah dalam jurusan pengurusan perniagaan.

“Saya tahu kemewahan yang dikecapi tidak akan bertahan lama, lebih-lebih lagi di luar sana ramai lagi gadis seksi dan cantik.

“Sudah pasti suatu hari nanti Nasir akan meninggalkan saya. Sekurang-kurangnya dengan ijazah ini, saya boleh gunakan untuk menyara diri kelak,” jelasnya.

Seperti yang dijangka Nurul, Nasir meninggalkannya beberapa bulan kemudian dan semua kemewahan yang diberi seperti rumah dan kereta ditarik balik.

“Saya bagaikan hilang arah, namun saya bernasib baik kerana pada waktu itu Nasir terlupa untuk mengambil semula gelang kaki dan cincin yang diberikannya dahulu.

“Berbekalkan wang hasil jualan barangan kemas itu, saya bina hidup baharu dengan menyewa sebuah rumah di Bangsar.

“Bagaimanapun, disebabkan sudah terbiasa dengan kehidupan mewah, saya mencari lelaki miang berduit yang inginkan tubuh gadis seperti saya,” jelasnya.

Berbekalkan rupa paras yang menarik dan kulit putih gebu, Nurul kemudiannya menjadi perempuan simpanan kepada Rosly (bukan nama sebenar).

Biarpun pada waktu itu Rosly berumur 60 tahun, namun Nurul sanggup menjadi perempuan simpanannya hanya kerana wang.

“Hidup saya lebih mewah berbanding dengan Nasir. Boleh dikatakan setiap bulan saya akan terbang melancong ke luar negara.

“Bagaimanapun, kemewahan tersebut tidak berpanjangan apabila Rosly meninggal dunia dua tahun kemudian akibat serangan jantung,” jelasnya.

Pemergian Rosly seakan memberi kesedaran buat Nurul untuk meninggalkan dunia hitamnya itu.

“Saya mengambil keputusan untuk keluar mencari kerja dan tak sangka saya diterima bekerja di sebuah syarikat terkemuka di Lembah Klang dengan mudah walaupun tidak mempunyai pengalaman sebelum ini,” jelasnya.

Dua bulan bekerja, Nurul berkenalan dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Jeremi (bukan nama sebenar). Walaupun bibit-bibit cinta mula terbit di hatinya, namun dia cuba menangkis perasaan tersebut.

Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan status Jeremi yang merupakan suami orang.

“Entah bagaimana, Jeremi meluahkan perasaan hatinya terhadap saya dan saya benar-benar terkejut.

“Katanya, dia kesunyian kerana isteri dan anak-anaknya duduk berjauhan. Atas desakan nafsu, kami menjalinkan hubungan cinta.

“Kehidupan kami boleh dikatakan tidak ubah seperti suami isteri. Kami tinggal serumah dan berkali-kali terlanjur sehingga saya hamil,” ceritanya.

Gugur kandungan

Tambah Nurul, ketika disahkan hamil, Jeremi mengarahkan dia supaya menggugurkan kandungan.

“Namun, saya mengambil keputusan untuk tidak melakukanya kerana tidak mahu menanggung dosa.

“Sebaik Jeremi mengetahui hasrat saya itu, dia bertindak meninggalkan saya,” jelasnya.

Cerita Nurul lagi, biarpun ditinggalkan terkontang-kanting, namun dia tetap berkeras untuk terus menjaga kandungan itu.

“Saya nekad kembali ke pangkuan keluarga.

“Walaupun pada mulanya kedua-dua orang tua saya begitu marah di atas kesilapan yang dilakukan, namun saya bersyukur kerana mereka kemudiannya memberi sokongan sehingga saya selamat melahirkan anak,” jelasnya.

Menurut Nurul, hendak menyesal sekalipun tidak berguna kerana semuanya sudah berlaku.

“Kini saya sedang mengumpul semangat untuk menempuh hari-hari mendatang.

“Apa-apapun, saya bersyukur kerana tidak terus hanyut dibuai nafsu. Syukur bayi ini menyedarkan saya,” jelasnya.

Nurul bergelar perempuan simpanan sejak menuntut di menara gading untuk menjalani kehidupan mewah sehingga melahirkan bayi hasil hubungan luar nikah dengan teman lelaki.