Itu merupakan antara soalan yang sering ditanya secara berterusan kepada Umay Ilead, setiap kali dia memperkenalkan dirinya sebagai orang Siam ketika melanjutkan pengajian di ibu kota suatu ketika dahulu.

Alah bisa tegal biasa, gadis berumur 25 tahun itu akan menjawab soalan yang ditanya oleh rakan-rakannya dengan ramah.

Biarpun Umay kini berkhidmat sebagai seorang jururawat di sebuah pusat perubatan di negeri kelahirannya, Perlis, namun dia tidak terlepas daripada diajukan soalan seperti itu setiap kali identitinya sebagai anak Siam diketahui.

“Saya merupakan masyarakat Siam yang dilahirkan di Kampung Jejawi Sematang, Kangar, Perlis. Kawasan ini dipenuhi dengan sejumlah populasi Siam.

“Kebanyakan orang Siam di sini bekerja sebagai pesawah selain melakukan kerja-kerja kampung yang lain untuk menyara kehidupan harian mereka,” jelasnya memulakan bicara.

Menyingkap kembali kisah hidupnya, Umay berkata, ketika di alam persekolahan, ibunya sering menghantarnya ke kelas bahasa Siam yang diajar oleh Sami Buddha tempatan atau didatangkan khas dari Thailand sebaik tamat sesi persekolahan.

“Biarpun menetap di Malaysia, namun masyarakat di sana masih mengamalkan dan memegang utuh budaya serta tradisi masyarakat Siam.

“Selain mampu berkomunikasi menggunakan bahasa Siam dengan fasih, kami juga masih mengenakan pakaian tradisional selain makanan turun-temurun.

“Biasanya, pakaian tradisional akan dipakai untuk menghadiri majlis perkahwinan ataupun festival,” jelasnya.

Cerita gadis berkulit putih melepak itu lagi, disebabkan masih mempunyai hubungan dengan keluarga yang jauh di negara Gajah Putih itu, sebahagian keluarga Siam akan pulang ke kampung halaman untuk merayakan perayaan mereka seperti pesta Songkran jika tiada halangan.

Dokumentasi

Umay merupakan salah seorang daripada 60,000 masyarakat Siam yang menjadi warganegara Malaysia. Meskipun sejarah mereka di negara ini lebih panjang berbanding etnik Cina dan India, namun tidak banyak cerita mengenai orang Siam di sini yang didokumentasikan untuk pengetahuan umum.

Atas kesedaran itu, dua orang pensyarah dari Universiti Malaya (UM) mengambil inisiatif menghasilkan sebuah buku yang menampilkan kebudayaan dan warisan masyarakat Siam Malaysia.

Pensyarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Dr. Mala Rajoo Sathian dan Pensyarah Fakulti Bahasa dan Linguistik, Rosenun Chesof memulakan penyelidikan mereka mengenai masyarakat berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Penyelidikan tersebut membolehkan mereka menghasilkan Buku Siamese in Malaysia: Beyond 60 Years of Heritage yang mengetengahkan aspek budaya, identiti, tradisi dan bahasa masyarakat Siam di Malaysia yang masih diamalkan kaum itu sehingga ke hari ini.

Buku tersebut diterbitkan oleh Yayasan Buku Teks Sains Sosial dan Kemanusiaan Thailand. Ia bermula dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara UM dan Kedutaan Besar Thailand di Malaysia yang menaja buku itu.

Kedua-dua mereka turun padang melawat kampung-kampung Siam di utara tanah air untuk tujuan penulisan dan dokumentasi visual. Elemen gambar diketengahkan dalam buku tersebut bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kehidupan fizikal orang Siam.

“Masyarakat Siam mula datang ke utara Tanah Melayu sejak kurun ke-18 kerana peperangan yang berlaku antara kerajaan Kedah dan Siam pada ketika itu.

“Ramai dalam kalangan tentera Siam yang ditinggalkan di sini. Dalam rekod pengasas penempatan British di Pulau Pinang, Francis Light pula dicatatkan tentang kehadiran kira-kira 100 orang Thai dan Burma yang berdagang di Pulau Pinang.

“Sejak itu, mereka bekerja sebagai petani dan tinggal di sini sehingga selepas merdeka,” katanya pada pelancaran buku Siamese in Malaysia: Beyond 60 Years of Heritage di Kedutaan Besar Thailand di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir Duta Thailand ke Malaysia, Narong Sasitorn dan Senator Dewan Negara berketurunan Siam, Aknan Ehtook.

Samut Khoi

Menurut Mala Sathian, antara perkara menarik yang ditemuinya sepanjang penghasilan buku itu ialah buku cerita rakyat berusia ratusan tahun, Samut Khoi yang banyak dalam pegangan mereka.

“Biarpun begitu, buku tersebut tidak boleh lagi dijumpai dalam kalangan masyarakat Siam di Thailand sendiri.

“Masyarakat Siam ialah contoh kepada kepelbagaian budaya di negara ini. Mereka masih menjaga tradisi mereka meskipun berasimilasi dengan masyarakat lain,” ujarnya.

Dapatan itu sangat unik bagi Mala Sathian kerana diaspora kaum minoriti yang tinggal berhampiran sempadan antara Malaysia dan Thailand lebih prihatin terhadap budaya sendiri dan pada masa yang sama menghormati budaya serta norma majoriti.

“Seperti orang-orang Melayu yang pergi ke sekolah agama pada waktu petang, begitu juga mereka akan menghadiri kelas bahasa Thai selepas bersekolah di Wat (kuil Buddha) di kampung-kampung mereka,” tambahnya.

Mala Sathian berkata, keunikan lain yang didapati ialah kepelbagaian dialek antara masyarakat Siam yang berbeza-beza mengikut negeri.

Dalam pada itu, Rosenun Chesof yang berasal dari Yala, Thailand, memberitahu, antara perkara mengejutkan yang ditemuinya ialah keaslian Festival Songkran dalam kalangan Siam Malaysia berbanding sambutan yang sama di Thailand.

“Pesta Songkran di Malaysia lebih tradisional dan mengekalkan semangat asal pesta itu. Ia tidak sama dengan Songkran yang telah dikomersialkan di Thailand untuk tujuan pelancongan.

“Saya berani cakap kepada kawan-kawan saya di Thailand, kalau hendak tengok budaya Siam Buddha yang sebenar, pergilah ke Malaysia,” tambahnya yang berkata, elemen pakaian tradisional juga turut lebih menonjol dalam kalangan masyarakat Siam di negara ini.

Rosenun berkata, dia amat terkejut dengan suasana aman damai yang dinikmati etnik itu di Malaysia jika dibandingkan dengan keadaan Melayu di selatan Thailand.

Dua pensyarah dari Universiti Malaya (UM) ambil inisiatif mendokumentasikan tradisi masyarakat Siam Malaysia yang mula datang ke utara Tanah Melayu sejak kurun ke-18 untuk pengetahuan umum melalui buku Siamese in Malaysia: Beyond 60 Years of Heritage.