Penduduk Botswana sering memuat naik foto wanita muda itu bersama kapsyen memuji-muji kepimpinannya.

Mana tidaknya, wanita berusia 30 tahun itu melakar sejarah tersendiri apabila dilantik sebagai menteri paling muda di Botswana pada April lalu.

Kenewendo merupakan salah seorang menteri baharu yang dilantik oleh presiden negara itu, Mokgweetsi Masisi yang mahukan golongan muda memegang jawatan penting dalam negara.

Memegang portfolio Menteri Industri dan Perdagangan, Kenewendo menggalas tugasnya dengan baik dan cukup dikagumi rakyat Botswana.

Setiap hari, orang ramai akan menulis tweet tentang Kenewendo dan memuji kepimpinan wanita itu biarpun pada usia yang sangat muda.

Biarpun disukai rakyat Botswana, wanita itu tidak terlepas daripada menjadi mangsa cemuhan dan kritikan segelintir individu yang tidak berpuas hati dengan pelantikannya.

Kritikan

Hal ini kerana, ramai yang tidak percaya bahawa wanita muda seperti Kenewendo mampu diangkat serta dilantik sebagai seorang menteri.

Begitu pun, wanita itu tidak terkesan dengan kritikan-kritikan tersebut kerana dia percaya bahawa usia hanyalah angka.

“Saya percaya bahawa usia tidak melambangkan apa-apa.

“Saya percaya kepada impian dan ia boleh dicapai sekiranya anda berusaha untuk mengejarnya,” ujar Kenewendo.

Dilahirkan di Kampung Motopi, wilayah Boteti, Kenewendo sememangnya seorang kanak-kanak yang pintar dan

keluarganya juga percaya kepintaran Kenewendo akan menjadikan dia sebagai salah seorang individu yang berjaya di dunia.

Pada tahun 2011, wanita itu diundang untuk menyertai satu acara bersama Michelle Obama yang meraikan pemimpin wanita di Afrika.

Sebagai seorang wanita, Kenewendo sering berasa terpanggil untuk memperjuangkan isu-isu kewanitaan di negaranya.

Dia mewujudkan sebuah program kepimpinan wanita iaitu Molaya Kgosi yang bertujuan untuk melahirkan barisan pemimpin dalam kalangan wanita muda di Botswana.

Program tersebut telah diperkenalkan kepada beberapa buah sekolah di sekitar Botswana.

Menurut wanita berambut panjang itu, dia sentiasa mengintai peluang untuk menjadikan wanita sebagai pemimpin dunia.

“Isu-isu berkaitan wanita merupakan minat utama saya dan inilah yang mahu saya perjuangkan.

“Saya percaya bahawa kita harus melabur untuk menjadikan wanita sebagai pemimpin dan berikan mereka kuasa supaya mereka boleh memajukan diri dan dihormati,” ujarnya dalam satu temu bual bersama akhbar This Is Africa.

Banggakan negara

Sebelum ini, pemegang ijazah sarjana dalam bidang ekonomi dari Universiti of Sussex, United Kingdom itu bertugas sebagai pakar ekonomi di Ghana.

Pada tahun 2012, dia tersenarai sebagai antara 10 Individu Paling Berpengaruh Di Afrika oleh Junior Chamber Botswana dan ia membanggakan negara itu.

Pada tahun 2016 pula, Kenewendo menerima anugerah Botswana Change Makers Awards bagi kategori kepimpinan dan perniagaan.

Kenewendo mengakui, dia teruja dengan pelantikannya sebagai menteri dan akan membantu golongan muda serta wanita di Botswana untuk mendapatkan peluang pekerjaan bagi memajukan kehidupan mereka.

Pada usia 30 tahun, Bogolo Joy Kenewendo dilantik sebagai Menteri Industri dan Perdagangan di Botswana sekali gus memecahkan rekod sebagai menteri paling muda di negara itu.