Perjalanan ‘maraton’ pertamanya menyaksikan kembaranya ke 35 buah bandar di 27 buah negara dan baru-baru ini pula dia mengunjungi Asia Tenggara sebagai sebahagian daripada perjalanan jelajah dunia keduanya.

“Lawatan ini adalah sebahagian daripada projek yang saya namakan Planet Earth, as viewed from a wheelchair (Bumi dari pandangan kerusi roda). Ia tidak mudah bagi saya, malah saya tidak terfikir bahawa ia akan menjadi begitu sukar (ketika mulakan perjalanan),” katanya ketika ditemui Bernama di kedutaan Ukraine, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Podrezan berada di Malaysia sebagai sebahagian daripada misi lawatannya ke Asia Tenggara.

Podrezan yang mengembara bersama isterinya, Nataliya Griaznova, 53, seorang doktor fizikal dan pakar perubatan rehabilitasi menggunakan perbelanjaan sendiri untuk kebanyakan lawatan mereka ke luar negara.

Kemalangan jalan raya yang teruk pada November 1991 menyebabkan Podrezan tidak dapat berjalan setelah lumpuh dari pinggang hingga ke bahagian bawah tubuh.

Tidak mahu kecacatan menjadi penghalang untuk melakukan perkara yang digemarinya seperti melancong, dia yang berasal dari Kiev iaitu ibu kota Ukraine memulakan kembaranya mengelilingi dunia pada September 2011.

“Jika seseorang dalam keadaan seperti saya hanya duduk di kerusi roda tanpa berbuat apa-apa sepanjang hari, kami hanya mensia-siakan waktu yang tidak ternilai daripada kehidupan kami.

“Keadaan begitu sangat menyedihkan kerana kehidupan yang kita miliki adalah perkara yang paling berharga di dunia ini,” ujar lelaki itu menceritakan kecekalannya untuk mencapai impian.

Mengambil laluan Obor Olimpik Musim Panas 2004 sebagai panduan, perjalanannya ke 35 buah bandar di 27 negara berjaya dilengkapi dalam tempoh tujuh tahun yang berakhir pada Julai 2018.

Antara negara yang telah dilawatinya ialah Denmark, Itali, Switzerland, Britain, Qatar, India, Korea Selatan dan banyak lagi.

Secara kebetulan, ketika Podrezan berada di Switzerland pada November 2017, dia berpeluang bertemu presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Balch di ibu pejabat IOC di Lausanne yang menyatakan bahawa projek Podrezan sebagai sesuatu yang unik.

Sokongan

Perjalanannya ke seluruh dunia pastinya menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan. Mengimbau kembali lawatannya ke Taj Mahal di Agra, India, Podrezan berkata, monumen cinta itu adalah antara destinasi impiannya sejak sekian lama.

Bagaimanapun, bak kata orang - dekat tapi jauh - dia tidak dapat masuk ke dalam Taj Mahal kerana tempat itu tidak dilengkapi kemudahan untuk golongan orang kelainan upaya (OKU) termasuk pengguna kerusi roda seperti dirinya.

“Memang sangat mengecewakan. Saya mengembara beribu-ribu kilometer untuk ke sana (Taj Mahal), tetapi tidak dapat masuk ke dalamnya,” katanya kesal.

Menyentuh mengenai kembaranya, Podrezan, yang merupakan personaliti pelancongan Ukraine pada 2003 berkata, dirinya menerima sokongan padu daripada masyarakat diplomatik dan Menteri Luar Ukraine, Pavlo Klimkin sepanjang perjalanannya.

Dia juga mendapat sokongan kedutaan Ukraine di setiap negara yang dikunjunginya, lantaran itu memudahkan pasangan itu bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

Semasa lawatannya, Podrezan turut mengkaji mengenai kemudahan awam yang disediakan untuk golongan OKU di negara-negara yang dikunjunginya.

“Saya juga mempelajari bagaimana monumen kebudayaan dan sejarah disesuaikan untuk golongan OKU di bandar-bandar seperti Copenhagen (Denmark), Florence (Itali), Seoul (Korea Selatan) dan London (Britain),” tambahnya.

Dinamik

Podrezan juga meneliti dan mempelajari pelbagai teknologi serta konsep yang digunakan di negara-negara lain untuk menampung keperluan OKU dengan tujuan memperkenalkan kemudahan itu di Kiev kelak, terutamanya di tapak bersejarah yang menarik pelancong.

“Ketika Kesatuan Soviet menguasai Ukraine pada masa dahulu, infrastruktur bagi OKU sama sekali tidak wujud. Kita hanya ada rumah khas untuk golongan berkenaan yang juga ditawarkan kepada kalangan pesara. Jadi, Ukraine yang merdeka dari Kesatuan Soviet pada 1991 terpaksa bermula dari awal.

“Bagi saya, perjalanan masih jauh untuk mencapai ke tahap terbaik, namun apa yang membuatkan saya optimis adalah dinamik yang kita kongsi agak baik dan dari segi transformasi, bukan sahaja terdapat perubahan dalam infrastruktur fizikal tetapi juga mentaliti rakyat,” katanya.

Podrezan berkata, sejak dia menunjukkan kesungguhan untuk memperbaiki taraf hidup OKU termasuk membuka pusat pemulihan, pihak berkuasa di Kiev membina kemudahan mesra golongan tersebut di tempat utama seperti National Ukrainian Drama Theatre, National Palace of Arts dan Academic Theatre.

Semangat Podrezan untuk meneruskan hidup dan kehidupannya yang luar biasa walaupun mengalami kecacatan fizikal bahkan memberi inspirasi kepada pembuat filem Ukraine Serhiy Krutsenko untuk mengarah filem tempatan berdasarkan kisah Podrezan.

Terdahulu, Krusenko membuat filem berdurasi 20 minit mengenai Ukraine yang mengandungi satu babak tentang Podrezan. Melihatkan potensi kisah kehidupan Podrezan yang menarik, beliau membuat sebuah filem berskala penuh berdurasi 60 minit dengan tajuk Stronger than Angel.

“Filem itu kini sedang disunting dan diberi sentuhan terakhir di Amerika Syarikat. Kami berharap ia dapat ditayangkan di Ukraine pada musim panas ini.

“Ia mengisahkan kehidupan sebenar, mengenai saya dan golongan berkerusi roda,” katanya.

Malaysia

Menyorot kehidupannya sebaik disahkan lumpuh dahulu, Podrezan yang menggunakan kerusi roda menghadapi pelbagai halangan untuk bergerak di tempat-tempat awam.

“Hanya ada tangga (tiada tanjakan) dan tiada tandas khas atau kemudahan yang khusus untuk pengguna kerusi roda di tempat-tempat awam, begitu juga pengangkutan awam.

“Tetapi masalah utama adalah sikap masyarakat dan kerajaan terhadap saya pada ketika itu kerana mereka melihat saya sebagai warganegara kelas dua,” katanya.

Tidak sanggup dianggap sebagai warganegara kelas dua dan menjalani kehidupan yang tidak produktif, Podrezan dan isterinya berazam mengubah sikap orang ramai terhadap golongan OKU dengan membuka pusat pemulihan di Kiev pada 1995 untuk membantu golongan OKU agar lebih berdikari.

Ia adalah pusat pemulihan pertama ditubuhkan di Ukraine.

“Pusat pemulihan kami membuka dunia baharu untuk golongan kurang upaya,” kata Podrezan.

Mengulas lawatannya ke Malaysia pula, Podrezan berkata, dirinya tidak tahu banyak perkara tentang Malaysia sebelum datang ke negara ini.

“Saya hanya tahu mengenai Malaysia setelah sampai di sini, apa yang menarik perhatian saya adalah kepelbagaian etnik dan budaya.

“Malah, di sesetengah tempat terdapat masjid, berdekatannya pula ada gereja, kuil Buddha dan Hindu. Ternyata rakyat negara ini yang pelbagai kaum dan agama mengutamakan aspek saling hormat-menghormati,” tambahnya. – Bernama