Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan tekanan perasaan berpotensi menggantikan penyakit kardiovaskular sehingga menyebabkan ketidakmampuan seseorang untuk bekerja.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 pula mendedahkan 29.2 peratus atau lebih kurang 4.2 juta rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas menghidap pelbagai masalah mental.

Jumlah tersebut amat membimbangkan kerana berlakunya peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding tahun 2006.

Berdasarkan kes-kes yang dilaporkan, kita harus menerima hakikat bahawa masyarakat kini berdepan dengan pelbagai jenis tekanan sehingga menyebabkan mereka gagal mengawal tingkah laku dan bertindak di luar batasan.

Mengamuk

Terkini, tular di media sosial seorang guru mengamuk ketika mesyuarat sedang berlangsung dipercayai gara-gara tidak diberi tempat duduk setelah membuat bayaran sebanyak RM70.

Susulan insiden berkenaan, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyarankan warga pendidik untuk menjalani pemeriksaan kesihatan berkala bagi memastikan kesiapsiagaan melaksanakan tugas pada tahap terbaik.

Cadangan tersebut dipersetujui pelbagai pihak kerana hanya melalui pemeriksaan dapat mengesan masalah kesihatan yang mungkin timbul terutamanya berkaitan mental sekali gus membolehkan usaha pencegahan dapat dilakukan.

Seorang pengguna media sosial, Alfred Khaw, 23, berkata, pemeriksaan kesihatan mental secara berkala perlu diwajibkan seiring dengan cabaran yang perlu ditempuh oleh warga pendidik.

“Masalah kesihatan mental merupakan isu yang serius dan membimbangkan. Ia amat berkait rapat dengan tekanan di tempat kerja.

“Sekiranya pemeriksaan tidak dilakukan, nescaya kita tidak dapat mengenal pasti tahap keseriusan tekanan yang dialami dan tiada langkah pencegahan dapat dilakukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Justeru, Alfred berpandangan, sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan mengeluarkan pekeliling mewajibkan warga pendidik untuk menjalani pemeriksaan kesihatan terutamanya mental secara berkala.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, pemeriksaan kesihatan terutama mental dalam kalangan guru amat penting memandangkan bebanan kerja dan persekitaran semakin berubah.

“Seseorang guru itu mungkin sihat secara fizikal tetapi mereka mungkin berdepan dengan masalah mental terutama ketika melaksanakan tugas sebagai seorang pendidik.

“Bebanan kerja yang bertambah dan perubahan persekitaran cenderung membuatkan seseorang mengalami tekanan perasaan,” katanya.

Menurut Fauziah, sekiranya tekanan tersebut tidak dapat dikawal maka motivasi seseorang guru itu merudum sehingga menyebabkan tahap pencapaian mendidik menurun.

“Kita bimbang, sekiranya keadaan ini dibiarkan dikhuatiri mereka akan bertindak di luar kawalan,” katanya.

Fauziah menyarankan supaya warga pendidik tidak terus hanyut dengan tekanan sebaliknya melibatkan diri dengan perkara-perkara positif selain mendapatkan seseorang untuk meluahkan tekanan yang dihadapi.

Pemeriksaan

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd. Razak berkata, Kementerian Pendidikan perlu menyegerakan cadangan pemeriksaan kesihatan mental kepada warga pendidik kerana tahap tekanan yang dihadapi boleh menjejaskan prestasi mereka.

“Pihak kementerian perlu menjalankan kaji selidik terlebih dahulu untuk melihat tahap keseriusan tekanan yang dihadapi para guru.

“Sekiranya didapati mereka berdepan dengan tekanan yang keterlaluan, tindakan pencegahan dan rawatan perlu segera diambil,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, Kamarozaman berkata, hanya guru-guru yang berkhidmat di sekolah yang mempunyai pelajar 2,000 orang ke atas dicadangkan menjalani pemeriksaan kesihatan mental.

Katanya, setiap sekolah mempunyai tahap tekanan yang berbeza. Sekolah yang memiliki 2,000 pelajar ke atas, tekanan yang dihadapi guru jauh lebih besar.

“Bukan semua guru perlu diwajibkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mental sebaliknya hanya sekolah-sekolah yang berpotensi menyumbang kepada tekanan guru sahaja,” ujarnya bahawa kos pemeriksaan kesihatan perlu ditanggung oleh pihak kementerian seiring untuk menjaga kebajikan warga pendidik.