Dalam al-Quran walaupun Allah SWT tidak menyebut secara langsung tentang misi penciptaan haiwan di atas muka bumi ini, namun ia mempunyai hikmah yang tersendiri iaitu sebagai lambang kasih sayang.

Bagaimanapun, sehingga kini kes-kes penganiayaan haiwan masih berlaku tanpa noktah. Seringkali dilaporkan kucing yang dipotong kakinya kerana mencuri, diracun, dipijak sehingga mati, diikat, dikurung, diseksa dan pelbagai lagi.

Tidak cukup dengan itu, baru-baru ini Kosmo! melaporkan dua lelaki tergamak membunuh kucing betina yang bunting dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering di sebuah kedai dobi di Taman Gombak Ria, Gombak, Selangor.

Pulih akhlak

Ia mencetuskan rasa marah netizen sehingga rata-rata menggesa tindakan tegas diambil ke atas pemuda berkenaan yang dilihat terlalu kejam dan melampau.

Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid menyifatkan, perbuatan tersebut amat kejam dan tidak melambangkan sifat kemanusiaan.

“Sepatutnya sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran mereka tahu membezakan perkara yang baik dan buruk tetapi berlaku sebaliknya.

“Perbuatan ini amat kejam dan sebagai rakyat Malaysia kita tidak boleh bertolak ansur dengan perlakuan di luar batas norma kemanusiaan,” katanya.

Khalid memberitahu, kes sedemikian berlaku disebabkan kurangnya kesedaran sivik dan didikan agama sehingga mereka tidak peduli dengan sensitiviti makhluk di sekeliling.

“Kurangnya kesedaran sivik dan didikan agama menyebabkan mereka kurang kasih sayang dan secara tidak sedar sanggup bertindak melampaui batas,” katanya ketika dihubungi. Tambah Khalid, tidak ada jalan yang lebih efektif bagi membendung permasalahan berkenaan melainkan memulihkan akhlak pesalah menerusi perintah khidmat masyarakat.

Menurut Khalid, tiga elemen yang diterapkan dalam perintah khidmat masyarakat iaitu hukuman, pemulihan dan penginsafan dilihat kombinasi yang mampan dalam meningkatkan kesedaran pesalah.

“Kita mempunyai banyak rumah kucing terbiar yang memerlukan tenaga pekerja sukarela. Justeru, pesalah ini perlu ‘dihantar’ melakukan kerja-kerja sukarela seperti membersihkan kucing, membina kandang dan mengecat.

“Hanya dengan kerja-kerja sukarela sebegini akan memupuk sifat kemanusiaan yang telah pudar daripada jiwa mereka,” ujarnya lagi.

Khalid turut mencadangkan supaya perintah khidmat masyarakat itu dilakukan sekurang-kurangnya dua kali seminggu atau sehingga satu tempoh diputuskan oleh Jabatan Khidmat Masyarakat. Dalam pada itu, Khalid menasihatkan supaya masyarakat melunaskan hak dan etika terhadap haiwan peliharaan mereka seperti kucing.

“Sebagai manusia, ada hak dan etika yang perlu kita lunaskan terhadap haiwan-haiwan tersebut. Jangan pandang remeh tentang hal ini kerana Islam sendiri tidak pernah memandang remeh terhadap tanggungjawab dan hak terhadap haiwan.

Penguatkuasaan

“Jangan biarkan ia membiak sehingga tidak terkawal. Bawa kucing-kucing ini ke klinik haiwan untuk memandulkannya. Jagalah kebajikan mereka dengan penuh kasih sayang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan dua lelaki itu dan berharap supaya hukuman setimpal dikenakan ke atas pesalah. Katanya, Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) wajar dikuatkuasakan tanpa kompromi terhadap mereka yang menganiaya haiwan.

Menurut Arie, mengikut akta berkenaan pesalah boleh dikenakan penalti bermula RM10,000 hingga Rm100,000 atau penjara sehingga tiga tahun.

“Bagaimanapun kita melihat terdapat halangan penguatkuasaan di peringkat pendakwaan yang sering menggugurkan kes dengan pelbagai alasan.

“Halangan ini tidak sepatutnya wujud kerana ia melibatkan nyawa dan hukuman setimpal wajar dikenakan ditambah dengan sebatan supaya masyarakat takut untuk bertindak sedemikian.” katanya.