Ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semakin mendatang, perkara ini dianggap serius oleh SPR sekali gus mencetuskan persoalan tentang perspektif politik golongan belia masa kini.

Pakar sosiologi yang juga Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ma'rof Redzuan berkata, rakyat yang tidak menjalankan tanggungjawab mendaftar mengundi bermakna tidak menggunakan haknya sebagai rakyat.

"Ia salah satu hak rakyat dalam negara demokrasi kerana negara demokrasi bermakna negara yang pemerintahnya dipilih rakyat. Rakyat yang menentukan pemerintahan dan semuanya adalah berbalik kepada rakyat.

"Ia hak yang juga merupakan tanggungjawab. Jika tidak menjalankannya, apa lagi tanggungjawab kita sebagai rakyat," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Kosmo! minggu lalu melaporkan, Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah menyatakan pihaknya melihat bilangan yang belum mendaftar sebagai pengundi sebagai satu yang serius dan perlu diatasi secara efektif.

Mengikut rekod Jabatan Pendaftaran Negara, terdapat lebih 18 juta rakyat yang berumur 21 tahun dan ke atas layak menjadi pemilih namun sehingga suku ketiga 2016, seramai 14,079,751 juta orang warganegara Malaysia telah mendaftar sebagai pemilih.

Hilang minat

Statistik terkini menunjukkan terdapat 4,060,339 juta orang yang masih belum mendaftar sebagai pemilih.

Ditanya faktor ramai golongan muda tidak daftar mengundi, Ma'rof berpendapat, ia disebabkan golongan muda pada masa ini masih berada dalam zon selesa dan lebih sibuk mengutamakan hala tuju hidup masing-masing.

Selain itu, baginya, pendedahan tentang dunia politik yang terlampau banyak pada zaman ini terutamanya menerusi internet dan media sosial membuatkan mereka sudah hilang minat kepada politik dan kepentingannya.

"Mereka mungkin sibuk belajar dan bekerja untuk memperbaiki ekonomi dan survival diri dan keluarga. Golongan belia sekarang memang suka bercakap tentang politik, tetapi persoalannya adakah mereka mengundi atau tidak?

"Mengundi ialah hak rakyat dalam negara demokrasi. Gunakanlah hak itu," sarannya.

Ma'rof menambah, pihak parti-parti politik perlu memainkan peranan utama untuk menarik golongan belia mendaftar mengundi kerana mereka yang memerlukan sokongan.

"Media dan pihak SPR mungkin telah melakukan usaha-usaha menggalakkan orang ramai mendaftar pemilih, begitu juga parti-parti politik. Begitupun hakikatnya, parti-parti politik yang perlu berusaha lebih keras kerana mereka yang memerlukan undi itu sama ada untuk menang atau meningkatkan majoriti undi," katanya.

Penganalisis politik, Prof. Sivamurugan Pandian bersetuju, angka 4.06 juta itu besar dan pihak berwajib perlu menanganinya segera.

Sivamurugan berkata, orang ramai juga tidak seharusnya mendaftar pemilih pada saat-saat akhir kerana dibimbangi tidak sempat mengundi memandangkan satu tempoh diperlukan SPR untuk pewartaan senarai pemilih berdaftar.

Menurutnya, negara kita juga tidak menjadikan keluar mengundi sebagai kewajipan maka segalanya adalah bergantung kepada kesedaran warganegara itu sendiri.

"Ada sesetengah negara yang menjadikan rakyatnya menjadi pemilih berdaftar secara automatik apabila mencapai usia tertentu tanpa perlu mendaftar sendiri. Terdapat 22 buah negara di dunia contohnya, Australia yang mewajibkan keluar mengundi dalam pilihan raya dan kegagalan mengundi adalah satu kesalahan.

Kesedaran

"Saya tidak merasakan kita perlu sampai ke tahap itu lagi pada masa ini. Cuma, kesedaran itu perlu digerakkan oleh pelbagai pihak," katanya.

Tambahnya, ibu bapa yang telah daftar pemilih juga boleh memainkan peranan dengan mengingatkan anak-anak mereka untuk mendaftar pemilih sebaik sahaja anak-anak mereka memasuki usia 21 tahun.

"Sebagaimana ibu bapa peka untuk membuat kad pengenalan anak pada usia 12 tahun, begitu jugalah hendaknya dalam urusan daftar pemilih apabila mereka berumur 21 tahun," katanya.