Pusat asuhan tersebut mengalu-alukan anak-anak tahanan penjara, pengawal keselamatan, penduduk tempatan termasuk staf penjara sendiri.

Relevannya pusat asuhan itu ditubuhkan sehingga mendapat reaksi positif daripada penduduk setempat dengan menyifatkan pusat tersebut sebagai eksperimen sosial yang inovatif dan berjaya.

Menurut Gabenor Penjara Bollate, Massimo Parisi, pusat asuhan tersebut pada awalnya dibuka sebagai fasiliti baharu untuk menambah baik kebajikan pekerja di penjara itu.

Namun, ia tidak dimanfaatkan sebaiknya kerana rata-rata pekerja di penjara tersebut enggan menggunakan kemudahan berkenaan.

Disebabkan itu, Parisi tekad untuk membukanya kepada orang awam dan menerima respons memberangsangkan dalam kalangan penduduk setempat.

Positif



Pusat asuhan Biobab mengambil anak-anak banduan sebagai pelajar di pusat itu.

"Ia merupakan kejutan yang sangat besar bagi kami apabila melihat reaksi orang ramai yang menyambut baik pengenalan pusat asuhan ini.

"Mereka mula membawa anak-anak ke penjara dan pada masa sama berupaya menangkis prejudis masyarakat terhadap penjara," ujarnya.

Kemunculan anak-anak tempatan di sini memberi kesan positif, malah menjadikan pusat asuhan tersebut lebih mengujakan.

Sejak Disember tahun lalu, penjara itu telah membuka bahagian baharu yang menempatkan banduan wanita bersama bayi mereka di pusat asuhan itu.

"Percampuran antara kedua-dua ibu dan anak itu dapat menyampaikan mesej indah mengenai kepentingan hubungan kekeluargaan," tambahnya lagi.

Selain itu, pusat asuhan tersebut membawa masuk tenaga pakar dalam menguruskan aktiviti berasaskan alam semula jadi.

Ia juga sebagai satu medium untuk memanfaatkan ruang laman dan taman permainan di kawasan penjara.



Tenaga pengajar di pusat asuhan Biobab melakukan aktiviti berasaskan alam semula jadi.

Seorang ibu, Federica Ridolfi mengakui pada mulanya dia teragak-agak untuk menghantar anaknya ke pusat tersebut.

"Sebaik melihat bangunan laman yang dihias indah, akhirnya saya faham konsep projek tersebut.

"Walaupun ia dibangunkan di kawasan penjara, anda tidak perlu mengharungi kawalan penjara dan tidak perlu berasa takut," ujarnya.

Sementara itu, seorang tenaga pendidik, Simona Gallo memberitahu, melayan anak-anak di pusat tersebut memberikan ketenangan dan pada masa sama merapatkan hubungan kemanusiaan.

"Anak-anak ini datang dari pelbagai latar belakang dan mereka sudi berkongsi pengalaman yang menyeronokkan bersama.

"Pada pendapat saya, anak-anak banduan di sini wajar menikmati hari mereka dalam persekitaran normal, sama seperti kanak-kanak lain.

"Ia juga menjadi sebahagian daritanggungjawab pihak penjara dengan matlamat asal berfungsi sebagai sebuah pusat rehabilitasi.



Guida gembira melihat anak-anak golongan banduan dapat membesar secara normal seperti kanak-kanak lain.

Penjara Bollate terletak di pedalaman Milan yang terkenal dengan projek inovatif seperti restoran banduan yang dibuka kepada umum iaitu restoran In Gallera.

Sebagai tanda kejayaan pusat tersebut, pendaftarannya telah ditutup dengan penyertaan 24 orang kanak-kanak.

Kata Pengarah The Stripes iaitu syarikat bersama yang mengusahakan fasiliti itu, Dafne Guida, setakat ini tiada lagi masalah berbangkit timbul antara penjaga dan anak-anak.

Selain itu, Guida menambah, pusat tersebut menawarkan perkhidmatan rangsangan dalam diri anak-anak banduan bagi menangkis perkembangan pembesaran yang negatif dalam diri mereka.

"Kami yakin mereka dapat bersosial dan melalui pengalaman pembelajaran dari sudut pandang kognitif yang lebih berstruktur.

"Selain itu, banduan dalam kalangan wanita dapat melihat anak-anak mereka membesar sama seperti kanak-kanak lain dengan sempurna," ujarnya. - AFP