Pada masa yang sama, alunan bunyi cengkerik di kawasan sekitar juga telah memecah kesunyian malam itu.

Dari satu sudut di dalam gua tersebut yang disinari dengan cahaya samar lampu suluh kelihatan seorang wanita sedang menikmati secawan kopi bersama beberapa temannya sambil bersembang sesama mereka.

Berbeza dengan malam-malam yang lain, bagi wanita tersebut, Salina Shafie, 30, malam itu memberi satu pengalaman baharu kepadanya.

Ketika orang lain memilih untuk bermalam di rumah atau hotel-hotel mewah untuk mengisi masa lapang mereka, namun tidak bagi Salina.

Salina telah memilih untuk merasai pengalaman bermalam di dalam Gua Jinjang Pelamin.

“Saya begitu gemar melakukan aktiviti luar. Setelah mengetahui akan kewujudan program bermalam di dalam gua ini, tanpa berfikir panjang saya telah mendaftar untuk menyertainya.

“Ini adalah pengalaman pertama saya bermalam di dalam gua. Pada awalnya perasaan takut itu ada, tetapi rasa itu hilang begitu sahaja apabila melihat ramai lagi rakan lain turut menyertainya,” katanya yang berasal dari Sitiawan, Perak kepada K2 ketika ditemui di gua itu baru-baru ini.

Dalam pada itu, dia yang bekerja sebagai Juruteknologi Makmal Perubatan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Alam, Selangor berkata, dia teruja untuk bermalam di dalam gua tersebut kerana lokasi tersebut pernah menjadi tempat tinggal masyarakat zaman prasejarah neolitik itu.

Baru-baru ini seramai 20 peserta telah mengikuti program bermalam di dalam gua yang diadakan di Gua Jinjang Pelamin di Merapoh, Pahang.

Kelainan

Ia merupakan program percubaan pertama bermalam di gua di Merapoh yang dianjurkan sebuah persatuan alam sekitar Pertubuhan Save Merapoh Caves.

Salina berkata, melalui program itu, dia dapat menambah ilmu pengetahuan mengenai zaman prasejarah di negara ini.

“Penganjur program tidak membiarkan malam kami di dalam gua ini terbuang begitu sahaja. Malah, mereka turut menceritakan tentang sejarah gua dan menunjukkan beberapa bukti penemuan yang menunjukkan bahawa gua ini pernah menjadi lokasi tempat tinggal masyarakat zaman prasejarah,” katanya.

Tambahnya, dia juga bersedia untuk mengikuti program ini lagi sekiranya pihak penganjur ingin melakukan aktiviti yang sama di gua lain pula.

Menurut pengasas Pertubuhan Save Merapoh Caves, Laili Basir berkata, Merapoh merupakan satu tempat yang unik kerana selain mempunyai sejarahnya yang tersendiri, di situ juga terdapat banyak gua yang boleh diterokai.

“Aktiviti bermalam di dalam gua ini adalah kesinambungan program kesedaran Selamatkan Merapoh (Save Merapoh) beberapa tahun lalu. Kita nak masyarakat terutamanya generasi muda lebih peka untuk bersama menjaga gua daripada terus diteroka untuk tujuan yang bermotifkan keuntungan.

“Melalui program ini, banyak ilmu yang boleh dikongsi bersama. Maklumat kesedaran tentang menjaga gua di luar amat kurang. Jadi kami menganjurkan program ini bagi memberi satu kelainan kepada pengunjung yang ingin meneroka gua di Merapoh,” katanya.

Laili berkata, Merapoh mempunyai banyak gua dan mereka memilih Gua Jinjang Pelamin untuk bermalam kerana gua itu mudah untuk dimasuki dan mempunyai sejarahnya yang tersendiri.

Gua Jinjang Pelamin juga pernah menjadi lokasi penempatan masyarakat zaman Neolitik pada 5,000 tahun yang lalu.

Gua tersebut mendapat nama sedemikian kerana formasi dalamannya yang menyerupai bentuk jinjang pelamin.

“Program ini menawarkan pengalaman kepada para peserta bagaimana orang Neolitik hidup di dalam gua.

“Manusia zaman neolitik pernah wujud di gua ini bukan sekadar cerita dongeng tetapi ada fakta saintifik yang menyokong hujah tersebut.

“Artifak-artifak seperti tembikar, sisa makanan dan lain-lain yang digunakan oleh orang zaman Neolitik dijumpai di dalam gua ini. Usia artifak ini juga telah disahkan oleh pelbagai universiti dan juga Jabatan Muzium Negara,” katanya.

Mentah berdarah

Tambahnya, sepanjang program itu berlangsung selama dua hari satu malam, peserta bukan sahaja dibawa untuk menerokai isi perut gua tersebut tetapi mereka juga akan didedahkan tentang sejarah serta penemuan artifak di dalam gua.

Kebanyakan nama gua yang berada di sekitar kawasan Merapoh ini diberi berdasarkan struktur, keunikan dan tarikh gua itu dijumpai.

Dalam pada itu, bagi memastikan tidak ada kesan pada gua, maksimum peserta yang dibenarkan menyertai program itu dalam satu-satu masa adalah seramai 20 orang sahaja.

Jelasnya, setiap peserta juga akan diberitahu tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di dalam gua ketika bermalam.

“Bermalam di dalam gua tidak sama seperti berkhemah di kawasan terbuka. Kawasan gua lebih tertutup dan ada juga kehidupan lain di dalam gua. Oleh itu, unggun api tidak boleh dilakukan di dalam gua kerana asap yang terhasil akan mengganggu serangga, kelawar dan kambing gurun yang turut menghuni gua ini.

“Selain itu, di dalam gua juga tidak boleh ada elemen bahan makan mentah berdarah bagi menghalang kehadiran haiwan. Kebiasaannya apabila bermalam di dalam gua peserta akan membawa makanan yang sedia untuk dimakan,” katanya.

Seorang lagi peserta, Fadhilah Imaludden, 29, dari Sabak Bernam, Selangor berkata, dia sanggup ke Merapoh seorang diri untuk menyertai program tersebut.

Tegasnya, program yang diketahuinya menerusi laman sosial Facebook itu adalah sesuatu yang menarik untuk diikuti memandangkan dia juga gemarkan aktiviti lasak.

“Memandangkan saya tidak pernah menyertai aktiviti bermalam di dalam gua, jadi saya mengambil keputusan untuk datang bagi mencuba pengalaman baharu.

“Kami bukan sekadar bermalam di dalam gua tetapi kami turut dibawa meneroka Gua Jinjang Pelamin dan Gua Hari Malaysia.

“Kami juga dibawa oleh pemandu arah untuk mandi-manda di sungai yang ada di dalam Gua Jinjang Pelamin. Airnya sungguh jernih dan itu merupakan satu pengalaman baharu buat saya apabila berpeluang untuk mandi di sungai yang wujud di dalam gua,” katanya yang bekerja sebagai doktor.

Mengenai Gua Hari Malaysia yang terletak berhampiran Gua Jinjang Pelamin, dia bersama peserta yang lain mengambil masa lebih lima jam untuk menerokai gua tersebut.

Gua tersebut terletak kira-kira 6 kilometer dari Gua Jinjang Pelamin. Namanya diperolehi kerana dipercayai ditemui pada ulang tahun Hari Malaysia.

Kesimpulannya, menerusi program ini, banyak maklumat berguna yang telah dikongsikan mengenai gua-gua di Merapoh ini yang boleh meningkatkan pengetahuan para peserta tentang sejarah selain menyelami kehidupan di dalam gua.

Kehidupan masyarakat zaman Neolitik diselami dengan bermalam di dalam Gua Jinjang Pelamin, Merapoh, Pahang yang merupakan salah satu penempatan manusia kira-kira 5,000 tahun lalu.