Berbekalkan sebatang kayu hoki pendek berukuran 15 sentimeter, mereka terus menyelam ke dasar kolam berkedalaman dua meter itu untuk mendapatkan puck tersebut. Sekali-sekala permukaan kolam berkocakan apabila terdapat beberapa pemain menimbulkan kepala di permukaan air untuk mengambil nafas sebelum tiba gilirannya mengawal bola itu.

Begitulah gambaran permainan sukan hoki dalam air atau underwater hockey (UWH) yang masih lagi asing di Malaysia.

Keunikan sukan itu berjaya mencuri perhatian bekas atlet renang Selangor, Michell Ynna Laura Anak Chandi yang berusia 20 tahun.

“Mula-mula memainkannya saya berasa sukan ini sangat pelik kerana boleh dikatakan tiada sukan yang memerlukan bermain di bawah air. Ia sukar untuk digambarkan.

“Setelah dua minggu menyertai latihan bersama ahli Kelab Hoki Dalam Air Malaysia (KHDAM), minat itu mula timbul. Sebenarnya ia sukan yang mencabar tetapi sangat menyeronokkan,” katanya kepada Kosmo! di Pusat Sukan PJ Palms, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menurutnya, bergelar pemain hoki dalam air bukan satu perkara yang mudah kerana ia memerlukan ketahanan fizikal, pengawalan pernafasan yang bagus dan kemahiran menggelecek di dalam air.

“Biarpun seorang perenang. Saya juga beberapa kali mengalami kekejangan semasa latihan kerana ketahanan dan kekuatan yang diperlukan cukup berbeza dengan sukan renang.

“Pemain berlumba-lumba di bawah air sambil mengejar puck atau bola hoki dan membawanya ke gawang gol. Pada masa sama, kami perlu turun naik ke permukaan untuk mengambil nafas. Itu sangat mencabar,” jelas anak jati Sarawak itu yang telah menyertai sukan tersebut selama dua tahun.

Berkembang

Dikenali pada peringkat awal sebagai sukan octopush di peringkat antarabangsa, hoki dalam air sebenarnya sudah wujud sejak tahun 1954 di England, Britain. Sukan itu telah dimainkan di seluruh dunia dengan Persekutuan Aktiviti Dalam Air Dunia (CMAS) sebagai badan pengendali di peringkat global.

Kejohanan pertama telah diadakan di Kanada pada tahun 1980. Mengikut laman web CMAS, hoki dalam air dicipta oleh Alan Blake iaitu seorang penyelam skuba yang berasal dari Portsmouth, Britain bagi memenuhi aktiviti musim sejuk penyelam-penyelam skuba pada masa itu.

Terus berkembang sehingga ke Australia dan New Zealand, sukan itu diperkenalkan di Singapura pada tahun 2002, sekali gus ia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang mempopularkan sukan tersebut.

Kini terdapat beberapa negara lain yang sudah mempunyai pasukan profesional antaranya Filipina, Indonesia, China dan Hong Kong yang menyertai Kejohanan Hoki Dalam Air Asia (AUHC).

Bagaimanapun, sejak dua tahun lalu, Ishmael Fadullah Ho Wen Xiong, 30, dikatakan menjadi individu pertama yang mengembangkan hoki dalam air di Malaysia.

Ia bermula sejak dia pulang ke Malaysia setelah menamatkan pengajian undang-undang di Britain.

“Saya pulang ke Malaysia pada tahun 2011 dan mula mencari kelab atau organisasi untuk bermain sukan ini.

“Usaha itu gagal dengan yang paling dekat adalah di Singapura. Jadi saya melupakan ia buat seketika dan tumpukan kepada pekerjaan tetapi tetap aktif dalam sukan air lain seperti skuba dan renang,” kata pengasas KHDAM yang mesra dipanggil Ishmael Ho itu.

Namun, pada tahun 2014, Ishmael Ho berpeluang menghadiri jemputan terbuka daripada pasukan hoki dalam air Singapura untuk memperkenalkan serba sedikit sukan itu kepada perenang-perenang di Pusat Sukan PJ Palms.

Dari situ, impiannya yang dahulu ditinggalkan mula kembali mekar.

Sejak dari itu, Ishmael Ho tekad untuk menubuhkan kelab KHDAM. Kelab itu kini menerima penyertaan seramai 40 orang.

Lebih mengujakan mereka, sukan itu turut berada dalam senarai 56 jenis sukan yang akan dipertandingkan dalam Sukan SEA Filipina, tahun depan.

“Negara-negara seperti Filipina, Indonesia dan Singapura dipercayai bakal menghantar wakil ke Sukan SEA nanti.

“Jika diberi peluang menyertai Sukan SEA, kami akan melakukan yang terbaik,” tegasnya.

Bercerita tentang konsep permainan, Ishmael Ho berkata, hoki dalam air terdiri daripada pasukan lelaki dan wanita dengan setiap pasukan mempunyai 12 pemain.

Posisi

Namun, di peringkat antarabangsa, terdapat juga pertandingan berbentuk campuran lelaki dan perempuan.

“Dalam sesuatu permainan, hanya 10 orang yang akan diturunkan iaitu enam berada di kolam renang dan baki di bangku simpanan di tepi kolam.

“Berbeza dengan sukan lain, pemain gantian adakalanya tidak diturunkan. Sebaliknya sukan ini pasti berlaku penukaran kerana pemain akan kepenatan,” ujarnya yang mengusahakan sebuah syarikat pemetaan hartanah.

Terangnya, setiap permainan mengambil masa 15 minit bagi separuh masa pertama dan 15 minit bagi separuh masa kedua. Pemain-pemain diberikan rehat selama tiga minit di antara waktu itu.

Jelas bekas pelajar Kolej Brickfields Asia itu, biasanya posisi dimainkan adalah tiga orang di posisi pertahanan dan selebihnya akan berada di depan sebagai penyerang.

Antara peralatan yang digunakan dalam sukan itu ialah baju renang, sepasang kaki itik, bola hoki, sarung tangan, kayu hoki (diperbuat daripada material plastik keras), topi polo dan topeng snorkel.

Kolam yang diguna pakai juga berukuran 15 meter lebar dan 25 meter panjang dengan kedalaman air dua meter atau tiga meter.

Menurut Ishmael Ho, seperti sukan hoki, hoki dalam air juga memiliki gawang. Gawang tersebut berada di dasar kolam dan diperbuat daripada keluli dengan ketinggian 180 milimeter.

Sementara itu, salah seorang pemain yang turut menjadi jurulatih bagi pemain baharu, Roshan Babu Balakrishnan, 31, mengakui cabaran dalam sukan itu adalah kesukaran untuk berkomunikasi.

“Mata setiap pemain perlu peka dengan keadaan yang sedang berlaku di dalam air seperti kedudukan rakan, tempat bola atau puck itu berada dan paling penting serangan pihak lawan.

“Tidak boleh leka walau sekali pun kerana silap langkah seperti kurang pernafasan, bola hoki itu akan disambar oleh pihak lawan,” jelasnya.

Kemahiran

Tambahnya, kemahiran seperti pengawalan bola dalam air, pernafasan yang bagus dan kepantasan renang merupakan kelebihan buat pemain itu.

Menurutnya, pemain yang hebat mampu bertahan nafas di dalam air selama dua minit dan rata-rata pemain hanya berupaya bertahan selama seminit di dalam air.

Ujarnya, pemain bukan sahaja perlu mengawal kehadiran pihak lawan tetapi perkara yang perlu diambil kira adalah kecergasan tubuh badan semasa berada di dalam air.

“Ada yang hebat, dia boleh membawa bola terus ke gawang gol dengan melepasi beberapa pemain pihak lawan.

“Sebab itu setiap waktu perlu ada pemain berada di dasar kolam. Jika tersilap langkah dan kesemuanya naik ke atas permukaan tanpa isyarat, pihak lawan dengan mudah akan memasukkan bola ke dalam gol,” ujarnya.

Roshan Babu berkata, semasa perlawanan, aksi perebutan bola hoki itu pasti berlaku dan jika tidak berhati-hati akan mengundang kecelakaan.

Dalam pada itu Roshan Babu berkata, baginya, keistimewaan hoki dalam air adalah ia merupakan sukan yang sangat tenang.

“Ia umpama bersukan di dasar laut, bezanya kita menggunakan kolam renang.

“Apa yang lucu ialah ia boleh dikatakan sebagai sukan yang para pemainnya tidak mendengar sorakan penyokong dan penyokong juga tidak dapat melihat aksi pemain dengan jelas sekiranya tiada paparan televisyen rakaman di dalam air,” katanya.

Sukan hoki dalam air mungkin masih asing di Malaysia, namun ia sebenarnya sudah wujud sejak tahun 1954, manakala sebuah kelab sukan tersebut telah ditubuhkan di negara ini sejak dua tahun lalu.