Azzrulkhan Hasrullah yang mesra disapa Adam itu disyaki menghidap poliomielitis yang menyebabkan kedua-dua kakinya kudung sejak usia setahun.

Poliomyelitis atau polio merupakan penyakit virus yang menyerang sistem saraf sehingga mengakibatkan kelumpuhan.

Disebabkan itu, sejak kecil lagi, anak keempat daripada sembilan beradik itu bergantung kepada kekuatan lengan untuk berjalan.

Biarpun membesar dalam keadaan dan suasana persekitaran serba kekurangan, pelajar ijazah sarjana muda jurusan Komunikasi Massa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu membuktikan bahawa golongan orang kelainan upaya (OKU) juga mampu melakukan sesuatu yang luar biasa.

Adam membuka mata dunia apabila dia menjayakan misi pendakian hingga ke Kem Induk Everest, Nepal dengan hanya mengesot.

Misi Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B) Kem Induk Everest 2018 itu diketuai oleh Aliff Abdullah sebagai ketua perubatan dan Irwan Yusof, pengurus ekspedisi bersama jurulatih Adam, Ardi Dullam.

Berbekalkan kekuatan lengan, Adam mengesot badannya hingga ketinggian 5,350 meter selama hampir 14 hari.

Video kejayaan Adam tular di media sosial selepas ia dimuat naik oleh penaja ekspedisi tersebut, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin dalam laman Facebooknya baru-baru ini.

Permulaan

Bagaimanapun, minat dalam aktiviti itu bermula daripada keinginan Adam untuk menikmati kehidupan yang adil, sama seperti insan lain.

“Pada mulanya, saya tertarik melihat rakan-rakan yang memuat naik gambar di media sosial berkaitan aktiviti pendakian terutamanya panorama dari atas puncak bukit.

“Walaupun sebelum ini saya tidak pernah bersukan pun tetapi saya sebagai OKU juga mahu merasai keseronokan dan cabaran aktiviti pendakian ini.

“Malangnya, permintaan saya kerap ditolak oleh rakan kerana mereka bimbang akan keselamatan saya,” jelas pemuda kelahiran Kuching, Sarawak itu.

Bagaimanapun, setelah berminggu mendesak hampir semua kenalannya di media sosial, akhirnya seorang sahabat daripada golongan OKU mengajaknya untuk mendaki di Bukit Broga, Semenyih, Selangor.

Tanpa pengetahuan kedua-dua ibu bapanya, Adam akhirnya mendaki bukit tersebut buat pertama kalinya.

Jelas Adam, pada mulanya dia tidak begitu yakin untuk mendaki bukit tersebut kerana khuatir akan keupayaannya selain risau pandangan negatif masyarakat terhadap keadaan dirinya.

Sebaliknya, pendaki lain memberikan sokongan moral dan dorongan kepada Adam untuk meneruskan pendakian hingga ke puncak walaupun pakaiannya koyak rabak ketika itu.

Dari situlah, Adam mendapat suntikan semangat untuk meneruskan sukan pendakian secara serius.

Walaupun pada awalnya ditentang oleh kedua-dua orang tuanya kerana disifatkan sebagai berbahaya, Adam kemudian membuktikan bahawa sukan ekstrem itu boleh dijalaninya.

Sejak itu, Adam terus menerus menawan beberapa puncak bukit dan gunung popular di Malaysia seperti Gunung Nuang, di Hulu Langat, Selangor; Gunung Irau, di Brinchang, Cameron Highlands, Pahang; Bukit Besi, Kuala Lumpur; Bukit Batu Condong, Selangor termasuk Gunung Kinabalu, di Kota Kinabalu, Sabah.

“Bila difikirkan balik, saya sendiri tidak sangka dapat menjayakan misi pendakian ke Kem Induk Everest baru-baru ini.

“Tapi apabila mengenangkan pengorbanan lima orang ahli pasukan yang lain, saya gagahkan jua untuk menamatkan misi pendakian itu,” kongsinya yang turut menggemari sukan dalaman seperti catur.

Cabaran

Katanya, pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi sepanjang pendakian ke Kem Induk Everest sejak memulakan pendakian dari Lukla. Dengan hanya mengesot, Adam perlu melakukan pendakian panjang, trek berbatu kerikil dan berbukit, salji selain suhu yang berada pada paras -8 darjah Celsius.

Selain itu, Adam dan pasukannya juga terpaksa mendaki dengan menempuh ribut pasir ketika berada di Dingboche, Nepal.

Disebabkan Adam mendaki dengan mengesot, dia perlu kerap membersihkan hidung kerana pepasir memenuhi ruang hidungnya.

Jelas Adam, dia perlu membersihkan hidungnya secara kerap kerana ia akan mengganggu pernafasan hingga akhirnya menyebabkan sesak nafas sekiranya dibiarkan.

Bukan itu sahaja, Adam juga melewati laluan becak sehingga seluruh tubuhnya dipenuhi tahi yak.

Bahkan, sepanjang pendakiannya, perkara yang kerap mengganggu fikiran Adam ialah penyakit akut ketinggian (AMS).

“Semasa kami sedang naik, terdapat seorang pendaki warganegara China diusung ke bawah kerana telah meninggal dunia disebabkan AMS.

“Walhal, sebelum itu individu tersebut bersama pasukannya dilihat sihat, mampu mendaki dan memotong kami,” katanya.

AMS merupakan simptom yang kerap menyerang pendaki apabila berada di paras ketinggian tertentu.

Penyakit tersebut menyebabkan cecair memenuhi kepala dan paru-paru yang mengakibatkan seseorang pening serta muntah-muntah sehingga akhirnya membawa maut.

Tambah Adam, ujian lain yang menantinya ialah makanan. Disebabkan ia disediakan oleh orang yang bukan beragama Islam, Adam dan rakannya cuba mengelak makan ayam atau daging.

Sepanjang misi tersebut dia hanya makan nasi berlaukkan telur rebus semata-mata.

Keadaan tersebut sedikit sebanyak menjejaskan stamina dan tenaga Adam kerana tidak mendapat sumber makanan secukupnya.

Kongsi Adam, persiapan bagi menghadapi misi menawan Kem Induk Everest itu telah dilakukan sejak dua tahun lalu.

Namun, bagi memastikan dirinya cukup bersedia melaksanakan misi tersebut, Adam melakukan latihan intensif selama sebulan.

Antara latihan yang dilakukan termasuk berenang, teknik membobok dalam air, mendaki bukit dan gunung termasuk berjalan mengelilingi padang.

Adam menyifatkan kejayaan menawan Kem Induk Everest baru-baru ini merupakan salah satu sumbanganya sebagai rakyat Malaysia walaupun berstatus OKU.

Hal ini kerana, pendaki lain dari seluruh dunia yang turut sama berusaha menawan gunung Everest mengagumi usaha yang dilakukan Adam.

Malah, terdapat beberapa ketika juga mereka memuji kerja keras Adam demi menawan gunung tertinggi di dunia itu.

Katanya, dia berasa cukup berbangga membawa nama Malaysia sepanjang ekspedisi tersebut.

“Kalau masyarakat lihat golongan OKU ini sebagai beban dalam masyarakat, memang sampai bila-bila pun kami akan jadi beban.

“Akan tetapi, sekiranya kami diberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sistem sosial, pasti pelbagai manfaat dapat kami sumbangkan,” jelasnya.