Kebanyakan penduduk di bandar tersebut sibuk dengan kegiatan harian masing-masing tanpa menyedari akan berlaku satu kejadian dahsyat yang meragut ratusan nyawa.

Tepat pada pukul 2.40 petang, suasana yang tenang itu tiba-tiba bertukar menjadi huru-hara apabila berlaku satu letupan kuat melibatkan sebuah tangki gas sehingga mengakibatkan kebakaran besar yang menjejaskan kawasan seluas 2.58 kilometer persegi di bahagian timur Ohio.

Kejadian letupan tangki gas tersebut bermula daripada salah satu daripada empat tangki gas setinggi 17 meter yang mengandungi 2.5 juta liter padu cecair gas asli milik syarikat East Ohio Gas Co.

Letupan yang kuat diikuti kebakaran besar itu akhirnya turut memusnahkan tiga tangki gas yang lain sekali gus memburukkan lagi keadaan.

Semasa kebakaran berlaku, suhu bebola api yang terhasil berada pada paras bacaan 1,648 darjah Celsius dan menyebabkan objek-objek yang terdapat di sekitarnya menjadi cair.

Bebola api

Menurut salah seorang saksi kejadian, ketika letupan tangki gas itu berlaku, satu gegaran kuat diikuti dengan ledakan bebola api terhasil dan boleh dilihat pada jarak sekurang-kurangnya sejauh 11 kilometer.

Tingkap-tingkap pada kediaman penduduk yang tinggal berhampiran dilaporkan turut pecah selain mengakibatkan loceng Gereja St. Vitus yang terletak sejauh kira-kira 1.6 kilometer bergoncang dengan kuat.

Kesannya, kira-kira 131 orang dilaporkan terbunuh dengan 21 mangsa tidak dapat dikenal pasti identiti mereka kerana mayat mereka rentung sama sekali.

Kebanyakan mangsa yang terbunuh merupakan individu yang enggan keluar meninggalkan kediaman masing-masing. Selepas letupan berlaku, kebanyakan penghuni memilih untuk berlindung di dalam kediaman kerana berasa lebih selamat.

Namun, keputusan penduduk bandar itu untuk berlindung di dalam kediaman membawa musibah ekoran api marak dengan cepat dan memusnahkan rumah-rumah mereka.

Letupan tangki gas yang berlaku pada hari Jumaat, tanggal 20 Oktober 1944 itu mungkin akan menyebabkan jumlah kematian jauh lebih tinggi jika sesi persekolahan di sebuah sekolah yang terletak kira-kira satu kilometer daripada lokasi kejadian sedang berjalan.

“Mujur kejadian itu berlaku selepas tamat sesi persekolahan dan jika tidak, pasti jumlah mangsa terbunuh jauh lebih tinggi membabitkan murid-murid sekolah,” ujar salah seorang penduduk terselamat.

Hal tersebut kerana, kejadian itu menyebabkan beberapa buah blok bangunan sekolah berkenaan runtuh dengan sebahagiannya terbakar sejurus selepas letupan berlaku.

Perbuatan sabotaj

Hasil siasatan awal mendapati, pihak berkuasa tidak dapat mengenal pasti punca sebenar yang menyebabkan letupan pada tangki gas itu berlaku.

Bagaimanapun, salah seorang saksi menyatakan bahawa, kejadian itu berpunca akibat kebocoran pada salah satu tangki diikuti dengan percikan api.

Siasatan pihak berkuasa juga tidak menolak kemungkinan punca kejadian adalah disebabkan oleh perbuatan sabotaj yang dilakukan oleh pihak Jerman dalam kejadian yang berlaku ketika Perang Dunia Kedua sedang hangat pada waktu itu.

Kejadian letupan dan kebakaran itu yang dapat dikawal oleh anggota bomba dalam masa 24 jam telah menyaksikan kemusnahan besar membabitkan dua buah kilang, 79 kediaman dan 200 buah kenderaan dengan jumlah mangsa terjejas berjumlah 10,000 orang.

Hampir separuh daripada mangsa terkorban termasuk yang tidak dapat dikenal pasti telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Highland Park di Cleveland.

Bagi mangsa yang terselamat, pihak syarikat East Ohio Gas Co. telah diarahkan untuk membayar pampasan berjumlah AS$3 juta (RM12 juta) terhadap penduduk terjejas yang kehilangan harta benda serta bayaran berjumlah AS$4.5 juta (RM18 juta) kepada 55 buah keluarga mangsa pekerja syarikat yang terbunuh dalam kejadian tersebut.