PADA pukul 7.18 pagi, tanggal 24 Julai 1915, beberapa buah feri sedang bersiap sedia untuk berlepas bagi membuat perjalanan menelusuri Sungai Chicago, Illinois di Amerika Syarikat dan salah satunya ialah kapal SS Eastland.

Cuaca sejuk dan lembap pada hari itu tidak menghalang kira-kira 7,300 penumpang dan kru untuk berkumpul di Jeti Eastland dan bersedia untuk menaiki feri.

Perjalanan pada hari itu melibatkan sejumlah pekerja kilang dari syarikat elektronik, Hawthorne Works serta ahli keluarga masing-masing yang mengikuti rombongan dianjurkan kilang tersebut untuk bersiar-siar dengan menaiki feri.

Feri SS Eastland merupakan salah sebuah daripada lima feri yang disewa oleh kilang Hawthorne Works bagi membawa 7,300 pekerja dan keluarga mereka bersiar-siar menelusuri Sungai Chicago menuju Tasik Michigan sejauh 38 kilometer.

Reka bentuk

Bagaimanapun, satu tragedi menyayat hati telah berlaku apabila feri SS Eastland dilaporkan terbalik di Sungai Chicago sehingga mengakibatkan lebih daripada 800 orang penumpang mati lemas.

Feri SS Eastland dimiliki oleh syarikat perkapalan, St. Joseph-Chicago Steamship yang menjalankan urusan pengangkutan membawa penumpang dari Chicago ke Tasik Michigan.

Semasa feri SS Eastland dibina pada tahun 1903, reka bentuk feri tersebut telah dibina untuk membawa hanya 650 orang penumpang sahaja.

Bagaimanapun, jumlah penumpang yang semakin meningkat menyebabkan pihak pengurusan telah membuat pengubahsuaian terhadap reka bentuk feri pada tahun 1913 agar ia mampu membawa 2,500 penumpang pada satu-satu masa.

Seorang arkitek telah menegur reka bentuk yang diubah pada feri tersebut kerana dikatakan tidak selamat.

Bagaimanapun, teguran itu tidak diendahkan sehingga menyebabkan kemalangan maut yang mengorbankan ratusan penum­pang berlaku pada 24 Julai 1915.

Semasa hari kejadian, sejumlah lima buah feri termasuk SS Eastland telah disewa oleh pihak pe­ngurusan kilang elektronik, Hawthorne Works untuk membawa seramai 7,300 orang pekerja mereka bersama ahli keluarga masing-masing untuk beriadah.

Walaupun pada ketika itu, kapasiti penumpang telah pun meme­nuhi jumlah yang sepatutnya, terdapat desakan agar feri SS Eastland membenarkan sejumlah lagi penumpang menaikinya.

Ada laporan mendakwa, terdapat segelintir penumpang dilihat berkumpul di bahagian sisi feri untuk bergambar, sekali gus mengakibatkan feri tersebut menjadi tidak seimbang.

Tuntut pampasan

Dalam pada itu, terdapat kemungkinan punca menyebabkan feri itu terbalik disebabkan oleh tindakan jurutera, Joseph Erikson, membuka salah satu tangki balast yang berfungsi untuk menyeimbangkan feri.

Semasa feri itu terbalik, kebanyakan penumpang yang berada di atas dek tercampak ke sungai.

“Dalam sekelip mata, permukaan sungai itu menjadi hitam dengan manusia yang bergelut untuk menyelamatkan diri.

“Suara tangisan ketakutan dan jeritan penumpang yang terkapai-kapai akibat lemas memenuhi permukaan Sungai Chicago di kawasan kejadian,” ujar laporan Harlan Babcock, wartawan dari akhbar Chicago Herlad.

Seorang jururawat, Helen Repa yang kebetulan berada tidak jauh dari lokasi kejadian mendakwa, dia terdengar bunyi kecoh dan jeritan yang kuat tidak jauh dari tempat dia berada sebelum dimaklumkan oleh seorang anggota polis tentang kejadian feri terbalik itu.

Repa bergegas ke lokasi keja­dian dan melihat sendiri beribu-ribu penumpang feri bergelut untuk menyelamatkan diri selepas tercampak ke dalam sungai, manakala sebahagian lagi terperangkap di dalam perut feri.

“Terdapat penumpang terutamanya kanak-kanak terapung di dalam sungai tersebut,” ujar Repa.

Dalam pada itu, terdapat saksi mendakwa melihat segelintir kru feri melompat ke atas jeti selepas menyedari feri tersebut mula terbalik.

Penyelamat dan orang awam yang berada di tempat kejadian segera memecahkan bahagian perut feri dan berjaya mengeluarkan 40 penumpang yang terselamat.

Amat memilukan, apabila usaha menyelamat menemui 800 mayat penumpang yang disahkan mati akibat lemas dengan kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak.

Penyelam polis yang turut serta dalam operasi menyelamat membawa naik satu demi satu mayat turut sebak dengan nasib malang penumpang feri berkenaan.

Tindakan undang-undang te­lah diambil ke atas syarikat feri berkenaan yang menerima lebih daripada 800 tuntutan pampasan oleh keluarga mangsa yang keseluruhannya berjumlah AS$46,000 (RM186,967).