Kasutnya tidaklah mahal, namun warna asal kasut itu yang putih kini sudah tidak menawan hatinya. Tambahan pula Muhammad Aswad adalah seorang pembersih dan tidak boleh melihat sesuatu yang kotor membaluti tubuhnya.

Dalam keadaan runsing, Muhammad Aswad, 26, segera membuka aplikasi Instagram pada telefon pintarnya. Selepas dua minit membelek aplikasi itu, dia menemukan penyelesaian kepada masalahnya ketika itu.

Keretanya kemudian dipandu menuju ke lokasi pusat cucian kasut itu yang terletak di Jalan Liew Weng Chee, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

“Saya merupakan seorang pemandu Grab sepenuh masa dan penampilan yang kemas serta bersih adalah menjadi keutamaan. Ini kerana, saya berdepan dengan banyak penumpang dalam sehari dan penampilan umpama cerminan keperibadian saya.

“Jadi apabila kasut yang dipakai nampak kotor, saya perlu terus bersihkan ia sebelum mengambil pelanggan baharu. Hasil pencarian di media sosial, saya telah menemui sebuah spa baik pulih kasut di ibu kota yang boleh menyelesaikan masalah saya dalam kadar segera. Hanya dalam tempoh kira-kira 30 minit, kasut saya sudah bersih dan sedia dipakai kembali,” katanya mengimbas tentang pengalamannya menggunakan perkhidmatan itu ketika ditemui kru K2 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mendapatkan khidmat spa membaik pulih kasut merupakan antara trend anak muda mutakhir ini terutamanya dalam kalangan yang mementingkan penjagaan sepatu seiring kepesatan komuniti penggemar-penggemar kasut sneaker.

Kompleks

Spa sebegitu menawarkan perkhidmatan restorasi kasut secara menyeluruh meliputi mencuci, menyegar, memperbaiki koyak atau tanggal dan mewarna untuk pelanggan yang mahu mencantikkan atau mengubah warna kasut. Tidak hairanlah jika ia boleh mengembalikan kondisi kasut anda seperti baharu.

Cypherzsneakerslab Spa di Jalan Liew Weng Chee merupakan antara spa yang menawarkan perkhidmatan sebegitu.

Baru sahaja dibuka pada awal Oktober lalu, pakar dalam pembersihan dan restorasi kasut ini pantas menjadi bualan anak muda ibu kota.

Malah, mereka turut menjual barangan penjagaan kasut seperti berus cucian kasut pada harga yang berpatutan bagi pelanggan yang ingin membersihkan kasut mereka sendiri di rumah.

Pengasasnya, Mohd. Fakhrul Izhar Abd. Ghaffar, 33, menjelaskan, idea untuk membuka pusat sehenti kasut ini tercetus selepas melihat rakan-rakannya menyuarakan keluhan amat sukar untuk membersihkan kotoran pada bahagian kasut.

“Kasut yang kita gunakan setiap hari itu sebenarnya adalah merupakan satu binaan yang kompleks dan apabila ia kotor, sukar untuk dibersihkan terutamanya pada bahagian yang sempit ataupun di celah-celah jahitan.

“Malah, ada juga kawan-kawan yang menganggap cucian kasut tidak penting seperti mencuci pakaian, justeru aktiviti membersihkan kasut amat jarang mereka lakukan,” kongsinya.

Kepuasan

Tambah Mohd. Fakhrul Izhar, syarikatnya menyediakan perkhidmatan membaik pulih atau restorasi kasut terutamanya bagi mereka yang ingin menukar warna kasut ataupun menghilangkan kesan kuning yang selalu terjadi pada kasut berwarna putih.

“Khidmat seperti ini menjadi keutamaan di Cypherzsneakerslab Spa kerana agak payah untuk pelanggan melakukannya di rumah. Malah, peralatan yang diperlukan amat mahal dan sukar untuk dicari. Jadi lebih baik mereka menghantar kasut mereka ke sini sahaja.

“Untuk menyelesaikan masalah ini juga memerlukan kepakaran dan teknik yang betul. Jika tiada kemahiran yang diperlukan, mungkin hasil restorasi kasut yang dilakukan tidak memuaskan,” katanya.

Mohd. Fakhrul Izhar berkata, rata-rata pelanggannya semenjak spa itu dibuka adalah dalam kalangan belia.

“Golongan ini selalunya memastikan kasut mereka sentiasa nampak bersih dan segar. Minat terhadap kasut jenis sneaker juga amat mendalam, jadi tidak hairanlah mereka kerap menghantar kasut ke sini,” tambahnya.

Fakhrul Izhar berpandangan, perkhidmatan yang bagus memerlukan modal dan komitmen yang tinggi agar kepuasan pelanggan dapat diutamakan.

Oleh itu, bagi mendapatkan hasil yang memuaskan, mereka perlu menggunakan bahan-bahan yang berkualiti tinggi untuk menjamin kepuasan pelanggan mereka.

Hal demikian adalah kerana ia akan menjanjikan hasil cucian ataupun restorasi yang menakjubkan, sekali gus membuat pelanggan berpuas hati dengan hasilnya.

“Kelengkapan yang kami gunakan tidak mudah untuk didapati dan memang tiada dijual dalam negara. Kualiti yang dihasilkan menjanjikan hasil yang terbaik, jadi kami memilih untuk menggunakan barangan import untuk kepuasan pelanggan kami.

“Dari bahan pencuci termasuklah pewarna, kami menggunakan bahan yang diimport khas dari Amerika Syarikat,” katanya.

Kesegaran

Pembantu Cypherzsneakerslab Spa, Khairul Nizam Map Room, 22, berkata, bagi tugas untuk proses mencuci kasut, ia dimulakan dengan pembersihan kering bagi membuang habuk atau pasir.

“Kemudian keseluruhan permukaan kasut akan digosok menggunakan berus bulu kuda dan pencuci khas sehingga tiada kotoran sebelum ia dijemur dan dikeringkan.

“Apabila kasut yang dibersihkan sudah kering, ia akan disembur dengan sedikit pewangi agar dapat mengembalikan kesegaran seperti baru dibeli. Kemudian ia akan dimasukkan ke dalam plastik bagi mengekalkan kebersihannya sebelum dipulangkan kepada pelanggan,” ujar Khairul Nizam.

Jelasnya, keseluruhan proses mencuci hanya mengambil masa 30 hingga 40 minit dan ia sudah boleh dipulangkan kembali kepada pelanggan.

Biarpun kasut mungkin dianggap hal kecil bagi sesetengah orang, namun Khairul Nizam menganggap tugas yang diamanahkan pelanggan adalah satu tanggungjawab yang besar.

“Kami akan pastikan setiap kasut yang dihantar oleh pelanggan siap pada masa yang ditetapkan. Namun, itu tidak bermakna kami boleh melakukan kerja itu dalam keadaan sambil lewa,” katanya.

Bukan sahaja tubuh badan manusia dimanjakan di spa, kini kasut juga ‘dibelai’ di spa tersendiri yang menawarkan khidmat menyeluruh seperti mencuci, menyegar, membaiki dan mencantikkannya.