Terutama bagi yang masih mempunyai kedua ibu bapa, sudah tentu hati ingin berbakti sekali gus menjaga kebajikan serta berada dekat dengan mereka tatkala meniti usia emas.

Namun, kurang peluang pekerjaan dengan bidang kerjaya yang setara dengan pendidikan di desa mungkin menjadi antara batu penghalang yang membantutkan hasrat murni tersebut.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun baru-baru ini berkata, perpindahan melibatkan generasi muda luar bandar ke bandar perlu dikurangkan dalam usaha memastikan generasi itu dapat memainkan peranan penting memajukan kawasan luar bandar.

Bulan lalu, Ketua Pengarah PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa), Datuk Rokibah Abdul Latif berkata, migrasi modal insan khususnya golongan muda dari desa ke bandar akan terus berlaku selagi jurang pendapatan, teknologi dan peluang kerjaya di bandar semakin ke hadapan meninggalkan desa.

Pakar Falsafah dan Pengajian Ketamadunan di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Zaid Ahmad turut meluahkan kebimbangan terhadap situasi tersebut.

Gangguan ekosistem

Beliau khuatir ia akan mendorong pelbagai masalah di bandar di samping menyebabkan gangguan dalam ekosistem dalam kehidupan.

“Paling ketara ialah masalah pengabaian dan ‘ketidakupayaan’ anak-anak menjaga ibu bapa yang sudah tua kerana tinggal berjauhan.

“Gangguan ekosistem yang dimaksudkan ialah daripada aspek kesejahteraan dan jaringan sosial iaitu orang tua sepatutnya dijaga orang muda tidak dapat berlaku sebaiknya,” ujarnya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Justeru, adalah perlu mengambil pendekatan supaya penghijrahan itu dapat diperlahankan dengan usaha-usaha yang diambil perlu melihat kesan masa depan yang lebih jauh.

Beliau memberi cadangan, mungkin pada peringkat ini, pihak pembuat dasar perlu menumpukan kepada akses perhubungan yang lebih mudah ke bandar misalnya pembinaan tren yang laju dan cekap membolehkan golongan terlibat mudah berulang alik dari Kuala Lumpur ke tempat masing-masing.

Ia mungkin boleh dijadikan pilihan untuk seseorang terus menetap di tempat asal pada masa yang sama bekerja di bandar dengan perjalanan menaiki pengangkutan awam merentasi negeri misalnya di Pahang dan Perak dianggar mengambil perjalanan sekitar sejam hingga dua jam sehala.

Pembangunan manusiawi

Melihat aspek jarak, ia bukan mustahil dilakukan kerana radius yang paling jauh di antara negeri-negeri di Malaysia sekitar 500 kilometer berbanding di negara besar seperti Jepun dan China yang mencecah berkali-kali ganda dari pusat bandar utama.

“Pada masa yang sama, generasi muda dapat hidup dalam suasana kedesaan yang menjadi sebahagian daripada sistem nilai kita dan tidak tercabut dari akar umbi asal-usulnya.

“Generasi baharu juga dapat menyaksikan kehidupan asal yang penuh tradisi, nilai hidup bermasyarakat dan jika mereka merupakan individu berjaya, ia boleh menjadi inspirasi di samping menyumbang idea dan tenaga kepada warga desa lain,” katanya.

Beliau melihat usaha membawa industri melibatkan syarikat konglomerat ke desa mungkin boleh mempertimbangkan pemberian biasiswa kepada anak penduduk setempat melanjutkan pelajaran dalam bidang berkaitan.

Mungkin pada masa depan mereka boleh pulang berkhidmat untuk syarikat yang menaja di tempat asal masing-masing dan berbekal sentimen kecintaan terhadap tanah kelahiran membolehkan setiap keputusan yang dibuat mengambil kira kepentingan warga setempat.

Beliau menegaskan, segala pembangunan yang dibuat perlu lebih menumpukan aspek manusiawi berbanding pembangunan fizikal dan bangunan konkrit.

Beliau teringat, kisah rakannya yang merupakan seorang profesor di universiti luar negara yang telah pergi ke sebuah kampung di Negeri Sembilan sekitar tahun 70-an namun apabila dia kembali lebih tiga dekad kemudian, tempat tersebut telah hilang dan hanya tinggal belukar.

“Sedangkan, menurut rakan saya itu, kampung itu meriah dengan sawah bendang, kerbau dan aktiviti pertanian. Baginya ia merupakan kehidupan paling seimbang dengan manusia berinteraksi dengan alam.

“Paling ketara, kita sekarang menyaksikan kian banyak sekolah-sekolah di kampung berstatus Sekolah Kurang Murid kerana kebanyakan generasi yang berhijrah ialah berusia 20-an hingga 30-an,” katanya.

Katanya, Malaysia sebagai negara membangun masih belum terlewat untuk melihat semula perjalanan pembangunan negara sama ada kita telah melakukan sesuatu yang wajar demi menjamin kesejahteraan generasi akan datang.