SEBAIK sahaja bot memulakan perjalanan dari jeti BioGeoTrail Sungai Kubang Badak Mangrove Langkawi Geopark, Langkawi, Kedah matanya terpukau dek keindahan paya bakau yang masih subur menghijau di sepanjang sungai.

Baginya perjalanan selama dua jam menyusuri perhentian-perhentian di sungai itu cukup memberikan pengalaman berbeza, seakan menelusuri terowong masa ke zaman dahulu. Biarpun hanya berkesempatan mengunjungi enam daripada 13 perhentian keseluruhannya, ia sudah begitu menakjubkan.

Itulah pengalaman yang dirasai oleh pelajar separuh masa, Nur Syafiqah Abdul Rahman, 20, ketika menyertai lawatan ke lokasi pelancongan taman geologi baharu di Langkawi itu.

Menurut gadis berasal dari Temerloh, Pahang itu, ini merupakan kali pertama dia berkunjung ke Kampung Kubang Badak dan tidak menyangka ia mempunyai sejarah tersendiri selain mempunyai keindahan biodiversiti paya bakau yang masih terjaga.

“Lawatan ke Langkawi kali ini amat mengujakan kerana saya dapat mempelajari sesuatu yang baharu selain menyaksikan sendiri lokasi yang menyimpan sejarah negara sejak 5,000 tahun lalu.

“Malah, dalam lawatan ini juga saya dan rakan-rakan lain dapat merasai sendiri pelbagai aktiviti di setiap hentian selain memahami pelbagai ilmu yang berbeza dari segi biodiversiti, geologi dan sejarah,” katanya ketika ditemui K2 pada sesi lawatan ke destinasi menarik itu bersama Kementerian Pengangkutan sempena Cabaran 24 Jam #FuntasticLIMA19 baru-baru ini.

Tambah anak ketiga daripada lima adik-beradik itu, pelancongan bio-geo ini adalah satu pendekatan berbeza bukan sahaja memberikan pengalaman bercuti tetapi mencetus minat terutama untuk mengenali sejarah negara.

Empat elemen

BioGeoTrail Sungai Kubang Badak Mangrove Langkawi Geopark merupakan lokasi pelancongan terbaharu yang juga taman hutan geologi keempat di Langkawi.

Lokasi yang dibangunkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama penyelidikan oleh Pusat Penyelidikan Langkawi Universiti Kebangsaan Malaysia (PPLUKM) itu mula dijumpai sejak tahun 2017 sebelum menjadi destinasi pelancongan geo terbaharu setahun selepas itu.

Terletak di barat laut Langkawi, BioGeoTrail Sungai Kubang Badak Mangrove Langkawi Geopark mempunyai 13 tapak lawatan khas yang mempunyai elemen warisan, geologi, biodiversiti dan budaya yang unik di kawasan Kubang Badak.

Mempunyai keluasan lebih 500 hektar, lokasi ini juga dibangunkan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai dan mempromosikan cerita menarik berhubung keempat-empat elemen berkenaan khususnya di Langkawi.

Menurut, Pengarah Pemasaran BioGeoTrail Sungai Kubang Badak Mangrove Langkawi Geopark, Rusasmizal Mohamad Ghazali, semua lokasi lawatan di Sungai Kubang Badak mempuyai tarikan yang tersendiri. yang perlu dirasai oleh pelancong.

“Lokasi lawatan ini bermula dengan Kampung Sungai Badak sendiri yang sebenarnya merupakan lokasi bersejarah penempatan masyarakat Siam suatu ketika dahulu yang bukan sahaja membentuk penempatan tetapi juga menjadi hab pembuatan kapal dan sampan.

“Seterusnya perjalanan lawatan ini akan membawa pelancong ke lokasi lain yang merangkumi empat tempat tarikan biodiversiti, tiga lokasi geologi, tiga hentian sejarah dan selebihnya lokasi berlibur,” ujar bapa kepada dua cahaya mata itu.

Tambahnya yang juga anak jati Kampung Sungai Badak itu, tarikan di BioGeoTrail Sungai Kubang Badak Mangrove Langkawi Geopark amat berbeza dari sudut pendekatan dan elemen yang diketengahkan.

Nilai eksklusif

Hurainya lagi, selain biodiversiti paya bakau, terdapat juga lokasi penghasilan kayu arang yang diusahakan pada 100 tahun dahulu, gua yang menempatkan kira-kira tujuh spesies kelawar selain lokasi selam dasar yang masih mempunyai keindahan biodiversiti terumbu marin yang subur.

“Bagaimanapun buat masa ini kita hanya mengehadkan kunjungan kepada 2,000 pengunjung dalam setahun kerana pihak pengurusan yang juga merupakan komuniti Kampung Kubang Badak mahu menjaga nilai eksklusif lokasi itu.

“Ia juga bertujuan bagi memastikan pemeliharaan kawasan itu lebih konsisten selain memastikan nilai biodiversiti dan geologi tidak terjejas berikutan pembangunan yang drastik,” ujarnya.

Sementara itu, Felo Penyelidikan Utama PPLUKM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo menjelaskan, penemuan dan penyelidikan di Kampung Kubang Badak itu membuka lembaran baharu dalam sejarah Nusantara secara umumnya.

Jelasnya, selain mempunyai sejarah tersendiri dan keindahan biodiversiti yang masih terpelihara, hasil kajian dan rekod sejarah di beberapa lokasi lain di situ juga melepasi ribuan tahun.

“Kajian yang dilakukan oleh kumpulan saya yang terdiri daripada enam penyelidik PPLUKM menemui beberapa lokasi yang menunjukkan peninggalan penempatan masyarakat Siam yang juga tapak perindustrian pembuatan kayu arang.

“Kita juga menemui bekas lapisan cengkerang laut setebal satu meter pada ketinggian 10 meter dari aras laut yang merupakan kesan ketinggian paras air sekitar 5,000 tahun dahulu selain fosil hidupan kuno iaitu trilobit yang merupakan haiwan paling tua dijumpai di Malaysia dengan usia lebih 500 juta tahun,” jelasnya.

Tambahnya lagi semua penemuan ini menjadikan BioGeoTrail Sungai Kubang Badak Mangrove Langkawi Geopark sebagai lokasi pelancongan geo keempat selepas Kilim Geoforest Park, Gunung Machinchang dan Tasik Dayang Bunting.

Menurutnya lagi menerusi kerjasama LADA, pembangunan Sungai Kubang Badak juga merupakan salah satu usaha untuk membangunkan komuniti di kawasan itu menerusi ekopelancongan.