Di tempat asalnya yang terletak di sebelah utara China, Hohhot, ibu kota wilayah autonomi Mongolia, majlis memperingati hari keputeraan Nabi Muhammad SAW diadakan secara tertutup oleh masyarakat minoriti Muslim tertumpu di masjid-masjid.

“Program seperti ceramah biasanya mengambil masa setengah hari biasanya bermula dari pukul 9 pagi sehingga waktu Zuhur dan kami akan makan tengah hari bersama-sama. Itu antara detik yang paling saya rindu.

“Seperti di Malaysia, sambutan Maulidur Rasul juga diterima baik oleh umat Islam di negara asal saya. Ia merupakan peluang untuk kami belajar sejarah dan karakter Nabi Muhammad. Ia juga dianggap sesi perjumpaan untuk umat Islam yang bertebaran dari seluruh ceruk negara kami.

“Ketika itu juga diedarkan tabung mengutip derma dan zakat kepada mereka yang mengunjungi masjid,” ujar wanita etnik Hui itu apabila ditemui Kosmo! pada program itu baru-baru ini.

Penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia peringkat falsafah dalam jurusan Pendidikan itu berkata, dia sering berulang-alik antara Malaysia dan China kerana mengikut suaminya yang merupakan ahli perniagaan dalam sektor hartanah di samping memenuhi tuntutan sebagai pelajar.

Ibu kepada sepasang cahaya mata berusia 13 tahun dan 15 tahun itu menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua sejak tahun 2014 tidak akan melepaskan peluang menghadiri majlis ilmu atau sambutan hari-hari kebesaran Islam bersama keluarganya.

“Saya sebenarnya mendapat tahu mengenai program ini menerusi bapa saudara yang menyertai satu kumpulan usrah di kawasan kejiranan di Gombak, Kuala Lumpur. Ia merupakan peluang yang harus direbut.

“Banyak aktiviti dan pengisian yang disusun dari pagi hingga lewat malam menjadikannya lebih dinamik untuk semua golongan dan menarik untuk diselami.

“Kami sendiri usai menghadiri sesi pagi pulang berehat sebentar ke rumah sebelum datang semula pada sebelah petang dan menunggu sehingga majlis tamat,” ceritanya.

Dia sekeluarga melihat agama Islam begitu dihargai di Malaysia. Beliau turut menyifatkan Malaysia merupakan negara yang bagus untuk didiami meskipun mempunyai masyarakat berbilang kaum dengan kebudayaan yang pelbagai.

Kebaikan

Menurutnya, dilahirkan sebagai muslim merupakan nikmat terbesar dalam kehidupan ini. Tetapi penting juga untuk mengenal Rasulullah sebagai pembawa risalah-Nya di samping mengingati dan menjadikan baginda sebagai contoh ikutan dalam setiap amal dan perbuatan.

“Kami berpeluang melihat maklumat infografik dan foto barangan peninggalan Nabi Muhammad menerusi galeri pameran khas yang dibina sempena sambutan tersebut.

Antara pengisian program yang disajikan kepada pengunjung ialah tausiyah bagaimana melahirkan cinta kepada Nabi Muhammad, penceritaan kelahiran sehingga kewafatan, majlis kenduri meraikan golongan fakir miskin, qasidah, maulid penawar rindu, solat berjemaah, tahlil dan bacaan yasin perdana.

Ia merupakan program kerjasama pelbagai pertubuhan antaranya Darul Mujtaba Kuala Lumpur, Women Global Network, Adam Youth Global, Akademi Kajian Rantau Nusantara dan Gabungan 15 Surau Bersaudara.

Seorang penceramah jemputan, Mudir Madrasah Syeikhul Ariffin, Melaka Ustaz Idris Muharam berkata, biarpun zaman telah berubah, mencontohi Rasulullah tidak begitu sulit seperti difikirkan kerana baginda telah menyediakan banyak jalan untuk kita mengikutinya.

Satu daripadanya ialah melakukan banyak kebaikan. Seperti hadis riwayat muslim yang berbunyi: “Janganlah kamu meremehkan suatu kebaikan sedikitpun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah berseri.”

Beliau turut menyifatkan kasih dan rindu kita kepada Rasulullah juga bukan ibarat bertepuk sebelah tangan kerana pernah suatu ketika Nabi Muhammad SAW menangis teresak-esak kerana merindukan satu golongan umat manusia akhir zaman.

Lalu para sahabat bertanya, apakah yang membuatkan baginda menitiskan air mata? Maka Rasulullah SAW bersabda, “Aku sangat rindu pada saudara-saudaraku.”

Sahabat bertanya, “Bukankah kami ini saudaramu wahai Rasulullah?”

Rindu

Kemudian baginda menjawab, “Kalian adalah sahabat seperjuanganku. Adapun saudara-saudaraku yang aku rindui itu adalah satu golongan yang datang setelahku.

“Mereka beriman denganku sedangkan mereka tidak pernah melihat diriku, aku sungguh rindu hendak bertemu mereka,” ucapnya.

Idris menambah, mencintai Rasulullah SAW akan membawa kita mencintai Allah kerana Dia juga mengasihi baginda.

“Apabila kita mengikut Nabi Muhammad SAW, Allah SWT akan mengasihi kita dan tidak akan menurunkan kemurkaannya serta sentiasa memberi rahmat-Nya. Rahmat ini termasuklah keamanan dan kedamaian,” tuturnya.

Dalam pada itu, Pengarah Mawlid Fest Malaysia Mawlid Fest Malaysia, Ustaz Mohd. Hasraa Hakimi Hassan berkata, Kebahagiaan Universal diangkat sebagai tema program sebagai terjemahan mudah bagi frasa Rahmatan lil alamin.

“Ia bagi memudahkan orang Islam dan bukan Islam faham bahawa Rasulullah SAW membawa cahaya kebahagiaan yang diperlukan oleh setiap insan iaitu nilaian ketauhidan (kebergantungan hati kepada Allah).

“Kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW akan meredakan apa jua krisis dan perpecahan kerana insan yang memiliki Rasulullah dalam hati mereka akan menuruti akhlak baginda.

“Akhlak Rasulullah perlu hidup dalam kehidupan harian bagi mereka yang mencari kebahagiaan hakiki dari sekecil bab seperti tidur, makan minum dan sebesar besar perkara iaitu asas mempelajari tauhid ihsan,” ungkapnya.