Hal ini kerana negara tersebut terkenal dengan menara pencakar langit terutama di bandar-bandar besar.

Namun demikian, taman negara di bandar tersebut bagai penenang buat penduduk tempatan yang hidup dalam kesesakan.

Rata-rata penduduknya hanya mampu menginap di pangsapuri kecil bagai burung di dalam sangkar dek harga hartanah yang semakin melambung tinggi.

Ia diburukkan lagi dengan gaya hidup pantas rakyat Hong Kong termasuk waktu kerja yang panjang.

Mujur di sebalik kesesakan bangunan dan trafik di bandar pesat itu, terdapat jaringan ekstensif yang menghubungkan laluan mendaki merangkumi ratusan puncak bukit di sepanjang jajahan itu termasuk di pesisir garis pantai.

Difahamkan, kira-kira 40 peratus daripada Hong Kong merangkumi taman negara dilindungi dan hutan simpan semula jadi dengan keluasan dianggarkan seluas 443 kilometer persegi.

Landskap

Maka tidak hairanlah, ia menjadi tarikan buat pendaki, pelari dan peminat aktiviti perkhemahan tegar dari seluruh negara sepanjang tahun.

Bagi rakyat tempatan, Dai-yu Cheung, 29, keindahan landskap semula jadi tersebut banyak mengubah kehidupannya.

“Sebagai seorang jurugambar amatur, saya nekad mengambil keputusan untuk mendokumenkan kawasan-kawasan pedalaman yang belum diteroka di sekitar bandar tersebut.

“Saya sanggup mengetepikan kerja hakiki sebagai pereka grafik dan fokus kepada kerja separuh masa ini bagi menikmati kehidupan yang lebih sihat dan bahagia.

“Hal ini kerana apabila pergi mendaki, kami rasa lebih bebas, santai dan berjaya melupakan seketika segala masalah,” ujarnya.

Dia yang menetap bersama keluarga perlu mengurangkan perbelanjaannya demi kepuasan mendaki bersama rakan-rakan.

Kebiasaannya, Cheung akan pergi mendaki bersama rakannya AM Renault, 29, yang juga merupakan pendaki tegar.

Mereka menubuhkan laman Facebook dan Instagram, Yamanaka Yuko dengan memuat naik gambar serta video pendakian di sekitar Hong Kong.

Malah, mereka turut berkongsi tip dan laluan yang boleh dilalui kepada pengikut di media sosial berkenaan.

Daripada hobi berkenaan, mereka menggelar diri sebagai artis inspirasi kehidupan semula jadi.

Alam sekitar

Ujar Renault, mereka juga berpeluang menjalin kerjasama menjalankan kempen-kempen bersama persatuan alam sekitar dan jenama pakaian lasak.

Katanya, ia sebagai satu usaha pemuliharaan alam sekitar.

“Apa yang kami risaukan ialah masa depan laluan mendaki di sekitar Hong Kong ini kerana kekurangan perumahan di bandar besar memaksa kerajaan membina perumahan di sekitar taman negara ini.

“Hobi mendaki yang semakin berkembang ini diharapkan mampu menghalang pembangunan tersebut,” kongsinya yang turut melakukan kerja jurugambar sambilan.

Ia turut mendapat perhatian pelari denai terkemuka dari Hong Kong, Stone Tsang, 39, yang gemar mendaki puncak tertinggi Tai Mo Shan.

Baginya, berlari bebas di kawasan terbuka seperti di bukit-bukit tinggi mampu melegakan tekanan yang dihadapi.

“Apabila saya mendaki gunung, ia bagai terapi kepada diri saya. Ia mengubati jiwa saya,” ujarnya.

Malangnya, kini banyak laluan telah dilitupi simen konkrit bagi memastikan keselamatan pelari namun, Tsang meminta untuk dihentikan menerusi kempen di Facebook.

Katanya, bekas jurutera kerajaan dahulunya membina laluan menggunakan material semula jadi namun, kebanyakan kontraktor kini tidak memiliki pengetahuan untuk membina semula laluan yang baik.

Penggunaan simen konkrit itu asing bagi alam semula jadi malah ia menjadi licin dan akan mengundang hakisan tanah.

Tsang sedang giat berunding dengan kerajaan untuk memperkenalkan pakar dari negara luar bagi membaik pulih laluan secara semula jadi.

Dia berharap dapat menjadikan aktiviti mendaki sebagai tarikan pelancongan baharu di Hong Kong dan pada masa sama memelihara kawasan bergunung negara itu.

“Taman negara ini merupakan aset paling bernilai di Hong Kong.

“Ini bukan untuk kebaikan kita tetapi demi generasi masa depan,” tegasnya. 
– AFP