Terletak dalam zon Tawau di Pantai Timur Sabah, perjalanan dari Lapangan Terbang Tawau ke pekan Semporna mengambil masa kira-kira sejam.

Kawasan lautnya berada pada kedudukan strategik ‘ladang’ penanaman terbaik rumpai laut di dunia, di mana ia berkongsi plat lautan dengan selatan Filipina dan utara Sulawesi.

Setelah kira-kira 35 minit mendaki bukit yang berketinggian 600 meter itu, rasa penat lelah mendaki hilang serta-merta apabila mata dijamu dengan pemandangan indah yang belum pernah penulis lihat di mana-mana sebelum ini.

Itulah keunikan Pulau Bohey Dulang yang bermaksud air dalam bahasa Bajau bohey, yang berbentuk seperti dulang besar.

Menariknya mengenai Pulau Bohey Dulang, pelancong boleh mendaki bukit bagi melihat pemandangan lautnya yang kelihatan seperti sebuah dulang besar serta berlatarbelakangkan kepulauan bukit-bukau yang indah.
 
Dengan jarak perjalanan menaiki bot kira-kira 30 minit dari jeti di pekan Semporna, pelancong akan tiba di pulau yang terletak dalam Taman Marin Tun Sakaran itu.

Bagi yang ingin melakukan aktiviti island hopping ke pulau-pulau lain di sekitar selepas itu, anda tidak perlu risau mengenai pemakaian atau kasut yang perlu dipakai kerana terdapat perkhidmatan sewaan kasut mendaki yang dikenakan caj hanya RM5 sepasang.

Pelancong seterusnya boleh terus melakukan pendakian santai dan sedikit meletihkan bagi pendaki amatur, pada trek yang mudah itu dengan ditemani oleh bunyi-bunyian air mata air serta suara penghuni hutan yang mengujakan. 

Selesai mendaki di Pulau Bohey Dulang, perjalanan penulis diteruskan ke Pulau Sibuan yang terkenal sebagai lokasi untuk aktiviti menyelam skuba dan snorkeling.

Terletak di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), pelancong tidak perlu risau untuk ke situ kerana pulau tersebut dikawal rapi oleh pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sepanjang masa.

Seorang pelancong dari China, Xu Melody, 30, memberitahu, antara pulau yang dilawatinya di perairan Semporna, Pulau Sibuan merupakan yang paling cantik baginya.

“Kejernihan airnya menjadikan aktiviti snorkeling menjadi sesuatu yang menarik selain pemandangan pulaunya yang indah serta warna laut yang menghijau.

“Saya pasti akan memberitahu rakan-rakan di China supaya datang ke Semporna untuk menikmati percutian di pulau yang tidak akan dilupakan seumur hidup mereka,” katanya yang berada di Sabah selama lima hari.

Aktiviti laut

Usai aktiviti island hopping pada hari pertama, hari kedua diteruskan pula dengan perjalanan ke Pulau Mataking dengan jarak kira-kira 45 minit hingga sejam dari jeti pekan Semporna.

Bagaikan berada di luar negara dan sebuah syurga dunia!

Itulah yang boleh digambarkan tatkala penulis menjejakkan kaki di kawasan darat Reef Dive Resort Pulau Mataking. Ia merupakan sebuah resort mewah persendirian yang akan membuatkan anda terlupa seketika mengenai segala kerumitan hal kerja, sambungan internet atau kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur.

Pasir memutih dengan air laut jernih yang menampakkan pelbagai jenis ikan amat sesuai untuk aktiviti snorkeling, selam skuba mahupun sekadar berjalan-jalan di tepi pantai atau makan malam romantik bagi pasangan berbulan madu.

Tarikan utama yang terdapat di situ sudah tentu sudut buaian yang dipasang di pesisir pantai yang sudah pasti menjadi spot utama untuk bergambar, sama ada ketika matahari terbenam atau ketika matahari tegak di atas kepala.
Meskipun niat di hati ingin berada lebih lama di situ, namun kami perlu berkejar ke pulau-pulau sekitar untuk aktiviti seterusnya yang telah dijadualkan.

Bot

Kepada para pelancong yang berhasrat untuk bercuti di pulau-pulau di sekitar perairan Semporna, anda boleh membuat tempahan dengan Borneo World Dive untuk pelbagai aktiviti termasuk island hopping, selam skuba, mahupun memancing.

Perkara itu diakui oleh seorang anak kelahiran Semporna, Datin Saadiah Abdul Rashad, 40, seorang penyelam skuba tegar yang kerap melakukan aktiviti tersebut bersama suaminya.

“Pulau pilihan saya untuk menyelam skuba sudah tentu Pulau Sipadan kerana kepelbagaian hidupan laut, termasuk anak jerung selain terumbu karangnya yang cantik dan terpelihara.

“Meskipun sibuk menguruskan perniagaan di bandar Tawau, saya pasti akan melakukan aktiviti ini setiap kali pulang ke kampung halaman di Semporna,” ujar wanita berketurunan Bajau itu.

Menurut Pengarah Urusan Hadrytech World Travel & Tours Sdn. Bhd., Norazlin Mohd. Noor, pihaknya menyediakan perkhidmatan sewaan bot untuk semua aktiviti tersebut.  

Misalnya dalam sehari, pelancong boleh memilih untuk melawat ke beberapa pulau  mengikut kedudukan geografi dan jaraknya dikira secara trip harian.

“Dengan kapasiti sebuah bot yang boleh memuatkan seramai 15 orang, pelancong dinasihatkan membuat tempahan sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal bagi mengelakkan sebarang kerumitan,” ujarnya.

Tambah wanita itu, kebanyakan pelancong memilih Pulau Sipadan, Mabul dan Kapalai untuk aktiviti selam skuba. 

“Bagaimanapun, bagi yang ingin pergi ke Pulau Sipadan, mereka perlu mendapatkan permit terlebih dahulu. Tidak perlu risau kerana kami akan menguruskan hal tersebut dalam tempoh sebulan awal,” tuturnya.

Sesungguhnya, keindahan pulau-pulau sekitar perairan laut Semporna sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Anda perlu datang sendiri untuk merasai nikmat berada di pulau yang seolah-olah terasing dari dunia luar, dengan air lautnya yang jernih dan berwarna biru kehijauan, serta melihat sendiri kehidupan suku kaum pribumi yang ‘terpelihara’ daripada arus permodenan.

Lupakan semua kisah tragedi penculikan kumpulan pengganas atau lanun penceroboh dari Filipina di kawasan sekitar yang pernah menghiasi dada-dada akhbar tempatan sebelum ini.

Ini kerana operasi pemantauan pasukan keselamatan sentiasa dilakukan setiap masa. Tidaklah sesebuah percutian itu dianggap sebagai sebuah pengembaraan yang berharga jika anda langsung tidak merasa pelbagai perasaan yang bercampur-baur, bukan?

Justeru itu, kenapa tidak memasukkan Semporna dalam senarai hajat sebagai destinasi pilihan percutian pulau anda yang seterusnya?