Pendakian sejauh 5 kilometer itu merupakan rutin biasa yang perlu ditempuhi oleh Dr. Nurkhaledatul Falah Nuzma Adil, 28, dan pasukannya untuk menghantar bantuan perubatan kepada penduduk Orang Asli di Cameron Highlands, Pahang.

Mereka merupakan petugas daripada Pasukan Bergerak Orang Asli (PBOA) Cameron Highlands turut dikenali sebagai klinik bergerak.

PBOA yang ditubuhkan khas oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada tahun 2012 itu bertanggungjawab memberi bantuan klinik ke perkampungan Orang Asli sama ada di pinggiran atau pedalaman bagi meningkatkan tahap kesihatan mereka.

Pasukan itu juga diwujudkan bagi meningkatkan tahap kesedaran Orang Asli terhadap penjagaan kesihatan yang baik.

Menurut Ketua Unit PBOA Cameron Highlands, Dr. Nurkhaledatul Falah, pasukannya bertanggungjawab memberi bantuan kesihatan kepada 16 buah kampung Orang Asli di Cameron Highlands.

“Pasukan kami seramai enam orang terdiri daripada pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat masyarakat, jururawat terlatih, pemandu dan pekerja rendah am.

“Bagi memastikan semua Orang Asli mendapat akses kesihatan, pasukan ini akan pergi ke semua lokasi termasuklah di kawasan pedalaman dengan mendaki selama dua jam sambil memikul beg yang memuatkan ubat-ubatan dan peralatan perubatan,” katanya ketika ditemui K2 di Klinik Statik Pos Lemoi, Pos Lemoi, Cameron Highlands, Pahang baru-baru ini.

Barang

Antara barangan yang dibawa bersama mereka ialah ubat-ubatan, susu, alat penimbang, buku rekod pesakit, bakul makanan untuk kanak-kanak kurang zat dan alat pemeriksaan serta alat pemberian vaksin.

Tambahnya, di Cameron Highlands terdapat tiga buah kampung Orang Asli yang berada jauh dan perlu melalui jalan yang agak sukar iaitu Kampung Lemoi, Telimau dan Chenan Cherah.

Klinik Statik Pos Lemoi merupakan klinik pusat untuk kegunaan ketiga-tiga kampung itu termasuklah menjadi tempat penyimpanan ubat-ubatan.

Kampung Lemoi dan Telimau boleh dimasuki dengan kenderaan yang memakan masa sekitar dua jam malah kedua-kedua kampung itu terletak berhampiran.

Bagaimanapun, tiada akses jalan untuk ke Kampung Chenan Cherah menyebabkan pasukan tersebut perlu meredah hutan selama dua jam untuk sampai ke tempat itu.

Jika ke kampung yang mempunyai jalan yang elok, mereka memerlukan masa selama sejam 30 minit untuk sampai ke situ dengan menaiki pacuan empat roda.

Sebanyak 95 peratus Orang Asli di Cameron Highlands merupakan suku Semai dan selebihnya Temiang.

Khidmat bakti

Ujar ibu kepada seorang cahaya mata itu, cabaran utama yang perlu dihadapi oleh mereka ialah ketiadaan akses jalan raya di kawasan pedalaman sehingga terpaksa berjalan kaki masuk ke dalam hutan.

“Walaupun begitu, ia memberi kepuasan kepada saya kerana dapat melakukan kerja di luar skop yang kebiasaannya dilakukan seorang doktor untuk merawat pesakit di klinik.

“Saya anggap ini sebagai khidmat bakti kepada masyarakat dan berasa sangat seronok apabila kanak-kanak berlari menyambut kedatangan kami,” ceritanya yang sangat menggemari aktiviti mendaki.

Dia yang sudah bertugas selama dua tahun dalam PBOA Cameron Highlands berkata, antara perkara yang dilakukan oleh pasukannya ialah melakukan rawatan, lawatan ke rumah bagi kanak-kanak yang kekurangan zat makanan dan juga ibu mengandung serta mengadakan program kesihatan bersama penduduk.

Ceritanya lagi, ada kampung yang tidak mempunyai bangunan klinik, maka pemeriksaan kesihatan tersebut dibuat atas tikar dan berbumbungkan pokok-pokok.

Sementara itu, salah seorang jururawat yang bertugas dalam unit PBOA Cameron Highlands, Noorfazila Ahmad Nordin, 30, berkata, kesedaran Orang Asli terhadap penjagaan kesihatan sudah semakin baik.

“Jika dahulu, mereka akan lari masuk ke dalam hutan jika melihat jururawat atau doktor.

Rai

“Berbeza kini, mereka meraikan kami dan menganggap pasukan ini sebahagian daripada keluarga,” tuturnya yang sudah lima tahun bertugas bersama PBOA.

Wanita yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu memberitahu, kebanyakan masalah kesihatan yang dihadapi oleh orang Asli di situ ialah demam, selesema, kurang berat badan, jangkitan paru-paru dan sakit-sakit badan kerana berkebun.

Bagaimanapun, masalah kurang berat badan sudah semakin baik kerana mereka diberi tunjuk ajar untuk mengamalkan pemakanan berkhasiat.

“Ibu yang mengandung cukup 36 minggu akan dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands dan ditempatkan di situ sehingga selamat bersalin.

“Ahli keluarga mereka juga boleh berada di sana dan diberikan makan serta tempat tinggal,” ujar ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.

Mengimbau kenangan lima tahun dahulu, Noorfazila berkata, perjalanan PBOA Cameron Highlands agak berliku memandangkan ketiadaan akses jalan untuk membawa kereta masuk ke beberapa tempat.

Lantas mereka terpaksa meredah hutan dan berjalan kaki sambil masing-masing membawa barang-barang bersama.

Ekoran itu, mereka akan berada di sesebuah kampung tersebut selama tiga hari.

Berbeza kini, mereka akan membuat giliran masuk ke beberapa kampung selama dua kali dalam sebulan dan akan balik terus pada hari yang sama.

Kebiasaannya mereka akan masuk ke kampung seawal pukul 7 pagi dan mula bergerak pulang sekitar pukul 5.30 petang.

Dalam pada itu, Tok Batin Kampung Lemoi, Zainal Bahsiapa memberitahu, tahap kesihatan Orang Asli kini berada dalam keadaan baik dan terkawal dengan adanya PBOA Cameron Highlands yang sentiasa menjaga dan memantau mereka.

“Pasukan ini memainkan peranan sangat penting bagi memastikan kami mendapatkan akses kesihatan walaupun tinggal jauh di pedalaman.

“Syukur setakat ini kami tidak menghadapi masalah kesihatan yang kronik cuma kanak-kanak sahaja yang sering selesema mungkin faktor cuaca di sini,” katanya yang bertugas selama 13 tahun selama Tok Batin di situ.

Ujar Zainal, kehadiran pasukan itu membuatkan penduduk berasa selamat kerana keadaan kesihatan mereka sentiasa dipantau.