Pada hari tersebut, alunan selawat dan qasidah berkumandang di pelosok dunia sebagai tanda memperingati Rasulullah.

Malah, seluruh umat Islam mengambil kesempatan tersebut bagi menzahirkan rasa cinta terhadap baginda.

Namun demikian, pendakwah bebas, Ustaz Syed Abd. Kadir Syed Hussin Aljoofre berkata, kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad itu seharusnya dipupuk secara konsisten dan bukan hanya pada hari-hari tertentu sahaja.

Katanya, rasa cinta itu bukan bermusim malah wajar disuburkan dalam diri masyarakat secara berterusan.

“Orang kata tak kenal maka tak cinta. “Jadi untuk melahirkan rasa cinta terhadap Rasulullah, terlebih dahulu kita perlu mengenali keperibadian Rasulullah, sifat-sifatnya dan sirah baginda.

Selawat

“Selepas berjaya mengenali Rasulullah dengan mendalam, barulah kita akan konsisten meletakkan baginda di dalam hati dan sentiasa berterusan memperingatinya,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Syed Abd. Kadir menambah, rasa cinta itu juga boleh dipupuk menerusi amalan dalam keluarga khususnya melibatkan anak-anak.

Katanya, slot berselawat boleh diletakkan dalam jadual aktiviti seharian bersama sasaran jumlah selawat setiap hari. Sebagai contoh, umat Islam disaran berselawat sekurang-kurangnya lima kali setelah selesai solat fardu dan akhirnya untuk satu hari mereka dapat berselawat sebanyak 25 kali.

Penetapan jumlah selawat harian itu dianggap sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) supaya masyarakat tidak sesekali alpa memperingati nabi. Pesannya lagi, jadikan kisah sejarah Rasulullah sebagai cerita sebelum tidur untuk anak-anak.

Dari situ, kanak-kanak yang dibesarkan dengan sirah-sirah Rasulullah akan melihat baginda sebagai hero dan menjadikannya idola dalam hidup sehingga mereka meningkat dewasa kelak.

Selain itu katanya, umat Islam juga disaran untuk tidak melepaskan peluang menghadiri majlis ilmu yang membincangkan mengenai perihal baginda lebih-lebih lagi dengan kebangkitan teknologi moden.

Lapor Kosmo!, Yayasan Restu menganjurkan Pameran Rehlah Nabawiyyah bertempat di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Shah Alam baru-baru ini.

Ia merupakan pameran yang menampilkan teknologi tiga dimensi, hologram, replika dan video yang memaparkan perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW.

Terdapat 21 segmen disediakan pada pameran yang berkeluasan 1,858 meter persegi itu. Ia mampu memuatkan kira-kira 300 pengunjung pada satu-satu masa. Antaranya segmen peristiwa Gua Hira’, mukjizat Israk Mikraj, pertemuan Nabi Muhammad de­ngan Rahib Buhayra dan peperangan disertai Rasulullah serta replika rumah dan barangan peribadi baginda.

Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata, pameran tersebut memberi peluang kepada pengunjung yang hadir untuk merasai sendiri kisah hidup Rasulullah SAW dalam pelbagai bentuk.

Tarikan

“Ia merupakan tarikan utama kepada pengunjung selain memberi ruang penghayatan secara menyeluruh dan pemahaman berkesan mengenai kisah sejarah baginda.

“Objektif pameran ini adalah berkonsepkan ilmu dan dakwah yang memanfaatkan teknologi moden menerusi medium paling efektif.

“Pameran ini juga selari dengan aspirasi Yayasan Restu dalam menyebarkan ilmu al-Quran dan usaha dakwah yang berterusan untuk dimanfaatkan ummah,” katanya pada sidang akhbar Pameran Rehlah Nabawiyyah di Shah Alam baru-baru ini.

Menurut Abdul Latiff, pameran tersebut menelan belanja hingga RM1 juta dengan menggunakan kepakaran tenaga tempatan termasuk daripada universiti awam seperti Kolej Universiti Islam Se­langor. Ujarnya, perancangan pameran tersebut telah dijalankan sejak tiga tahun lalu dengan kajian dan penyelidikan di Mekah, Madinah dan Jeddah.

Pameran Rehlah Nabawiyyah dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang dengan tiket berharga RM25 bagi dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak, warga emas dan Orang Kelainan Upaya.