Mula mengumpul mahkota dan tiara sejak 28 tahun lalu, Amir Azhar yang lebih mesra disapa Amet mempunyai lebih 200 replika mahkota pertandingan-pertandingan ratu cantik dari seluruh dunia.

Dia turut mempunyai pelbagai koleksi berkaitan ratu cantik termasuklah buku skrap, gambar, majalah, selempang peserta dan keratan akhbar.

Rentetan itu, telah mendorong lelaki berusia 53 tahun itu untuk membuka Amet’Pageant Hut Mini Gallery di rumahnya di Langkawi. Ia dibuka secara rasmi sejak beberapa bulan lalu.

Menariknya, anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu merupakan pencinta ratu cantik sejak di bangku sekolah rendah lagi pada tahun 1970-an.

“Saya masih ingat, ketika darjah satu cikgu memberi tugasan untuk menghasilkan buku skrap mengenai hobi sedangkan pada usia sementah itu, apalah yang saya tahu mengenai hobi.

“Kemudian, tanpa sengaja saya telah ternampak majalah Life yang memaparkan tentang kejayaan ratu cantik Thailand, Apasara Hongsakula, lantas ia memberi idea untuk mengumpul keratan majalah berkaitan ratu cantik sebagai hobi pada masa lapang,” cerita anak sulung daripada lima beradik itu.

Tambahnya, dia sanggup menyimpan sebahagian wang saku persekolahan sebanyak RM1 sehari untuk membeli majalah setiap bulan.

Setiap kali pulang dari sekolah, Amet akan membelek majalah dan akhbar untuk mengetahui mengenai perkembangan ratu cantik dan tabiat itu diteruskan sehingga kini.

Sejak itu, Amet aktif mengumpul apa sahaja berkaitan ratu cantik termasuklah replika mahkota pertandingan ratu cantik paling berprestij di dunia iaitu Miss Universe dan Miss World.

Terapi

Akui pemegang Diploma Pengurusan Hotel dan Katering, Universiti Teknologi Mara, Dungun, Terengganu itu, dia begitu teruja dengan mahkota kerana sinarannya yang bergemerlapan sehingga pantang melihat replika itu pasti dia berkeinginan untuk membelinya.

Paling disukai ialah kesemua replika mahkota Miss Universe dan Miss World sehingga dia tidak akan sesekali memberi sewa kepada orang berbanding mahkota-mahkota yang lain.

“Saya mula membeli mahkota pada tahun 1999 kerana ketika itu sudah bekerja dan mampu membeli replika mahkota yang diingini.

“Replika paling mahal yang pernah saya beli berharga sekitar RM4,000 kerana ia ditempah dengan hiasan batu swarovski dan pembuatannya cukup kemas,” katanya yang pernah bertugas sebagai butler peribadi duta Malaysia di Amerika Syarikat (AS) selama dua tahun.

Menurutnya, replika-replika mahkota Miss Universe dan Miss World hanya boleh didapati menerusi tempahan khas dengan rupanya mirip mahkota sebenar yang dimahkotakan kepada pemenang-pemenang ratu cantik berkenaan.

Ujar Amet yang juga berpengalaman selama 28 tahun dalam bidang perhotelan, koleksi tiara dan mahkotanya didapati dalam pelbagai cara seperti tempahan khas, belian online serta dibeli ketika melancong atau ketika keluar membeli-belah.

Kebanyakan mahkota itu dibeli secara online di kedai yang terletak di New York, AS.

Tuturnya, pembelian mahkota secara online perlu dilakukan berhati-hati kerana dia pernah beberapa kali tertipu apabila menerima produk tidak menyerupai apa yang ditunjukkan pada gambar.

Kini dia berasa lega kerana sudah menemukan kedai dan pembekal yang boleh dipercayai mampu menawarkan pembuatan mahkota berkualiti.

Bagi Amet, dia tidak kisah tentang jenis mahkota untuk dikumpul. Apa yang penting ia cantik, harga berpatutan dan berkenan di hatinya.

Dek kerana kecintaan yang mendalam, Amet akan menatap mahkota-mahkota itu terlebih dulu sebelum tidur yang seakan-akan menjadi terapi ketenangan.

Hobi Amet mendapat sokongan keluarga walaupun pada peringkat awal arwah bapanya, Zainol Othman seolah-olah tidak menyokong tetapi pada masa yang sama tidak juga melarang.

“Kira-kira lima tahun lalu, saya pergi membeli-belah untuk persiapan hari Raya Aidilfitri bersama arwah ayah di Pekan Rabu, Alor Setar, Kedah. Ketika itu, saya ternampak tiara yang diletakkan secara tersorok di satu sudut kedai.

“Rupa-rupanya ia milik arwah isteri penjual baju Melayu itu yang merupakan bekas mak andam,” tuturnya yang merupakan peminat kepada ratu cantik Miss Universe 1988, Porntip Nakhirunkanok dari Thailand; Miss Universe 1991, Lupita Jones dari Mexico dan Miss Asia Quest 1981, Bernadine Rosemarie Fernando Ramanayake yang mewakili Sri Lanka.

Istimewa

Pemilik kedai itu bersedia menjual tiara itu pada harga RM50 sahaja tetapi malangnya ketika itu Amet sudah kehabisan wang.

Lantas, Amet meminta penjual itu menyimpannya kerana dia akan kembali semula untuk mendapatkan tiara tersebut.

Perbualan mereka didengari oleh arwah bapa Amet yang secara diam-diam membeli mahkota tersebut tanpa pengetahuannya.

“Tindakan arwah ayah membuatkan saya sangat terharu sehingga menangis menerima pemberian istimewa itu. Ayah telah meninggal dunia pada tiga tahun lalu,” ujarnya.

Sepanjang mengumpul barangan ratu cantik sejak berdekad-dekad lamanya, Amet tidak boleh melupakan kenangan pahit sewaktu bertugas di AS apabila kediamannya di Langkawi telah dipecah masuk dan banyak barang dicuri termasuklah beberapa mahkota kesayangannya.

Arkib

Namun, dia menganggap ia sebagai sebahagian ujian dalam perjalanannya meneruskan hobi unik itu.

Sebaliknya, kekecewaan itu terubat dengan kenangan-kenangan manis yang terpahat seperti berpeluang menyaksikan secara langsung pertandingan Miss Universe 2005 di Bangkok, Thailand dan Miss Universe 2008 di Nha Trang, Vietnam.

Dia juga berasa puas apabila, galeri tersebut kini menjadi arkib dan tempat rujukan bagi memberi maklumat kepada orang ramai mengenai sejarah pertandingan ratu cantik.

“Saya banyak menerima kunjungan pelajar-pelajar institusi pendidikan tinggi yang ingin mendapatkan maklumat bagi menyiapkan tesis mereka.

“Tidak kurang juga, ahli keluarga dan rakan-rakan bekas ratu cantik yang datang ke galeri untuk melihat sejarah perjalanan orang tersayang dalam pertandingan tersebut,” katanya turut meminati ratu cantik dari Malaysia iaitu Datin Josephine Fonseka, Datin Elaine Daly, Datuk Yasmin Yusoff dan Lina Teoh.