Projek itu terpaksa dihentikan susulan protes untuk menggulingkan diktator Hosni Mubarak pada tahun 2011.

Selain itu, projek tersebut terjejas ekoran pergolakan politik dan ekonomi yang melanda negara berkenaan.

Bagaimanapun, kerja-kerja pemulihan di masjid era Kesultanan Mamluk itu kembali disambung pada bulan lalu.

Kerja-kerja untuk memulihara Masjid al-Maridani yang dibina pada abad ke-14 pula baharu sahaja bermula.

Masjid yang terletak di ibu kota Mesir itu diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak tahun 1979 dan sering dirujuk sebagai Kaherah yang bersejarah dengan 600 senarai monumen.

Namun, tugas untuk memulihkan bangunan yang rosak sejak beberapa dekad lalu itu sangat sukar.

Pihak berkuasa Mesir juga bergelut dengan masalah kewangan selepas kejadian rusuhan dan serangan jihad yang menghalang kemasukan pelancong serta mengurangkan aliran pendapatan penting negara.

Bangunan lama

Kota Kaherah mempunyai banyak monumen cantik, masjid dan makam selain jalan sempit yang sesak dengan kedai perhiasan, kafe serta rumah lama tradisional.

Ketua Agensi Kebudayaan Aga Khan, Luis Monreal berkata, membaik pulih kawasan itu adalah satu projek yang tidak berkesudahan.

“Ia seperti melukis sebuah pesawat penumpang, apabila anda selesai satu sisi, anda perlu mula pada sisi yang lain,” katanya.

Sebahagian daripada Yayasan Aga Khan telah mengusahakan projek pemulihan di kawasan itu sejak awal tahun 2000.

Selepas kejatuhan Mubarak pada tahun 2011, banyak bangunan tradisional diroboh dan digantikan dengan bangunan enam hingga lapan tingkat.

Sementara itu, kes kecurian semakin berleluasa apabila barangan berusia ratusan tahun hilang daripada masjid.

Sekiranya kegiatan itu berkurang sekalipun, pihak berkuasa berkata, ibu kota Mesir tersebut masih berdepan dengan pencemaran kerana jalan-jalan raya dipenuhi sampah sarap.

UNESCO telah memberi amaran keras sejak beberapa tahun lalu bahawa bandar Kaherah yang mempunyai banyak sejarah semakin rosak.

Pada tahun 2017, Jawatankuasa Warisan Dunia menggesa pihak berkuasa Mesir mengambil langkah wajar untuk menghentikan kerosakan di lokasi tapak warisan di bandar tersebut.

Dalam lawatan untuk memantau kerja pemulihan baharu pada Oktober lalu, Menteri Antikuiti, Khaled el-Enany menekankan isu bajet sebagai salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh daerah tersebut.

“Sering dikatakan bahawa barangan antik Islam berada dalam keadaan yang tidak baik, ia adalah fakta,” katanya sambil menambah bahawa kegagalan sistem pembetungan dan monumen di kawasan kediaman juga mendatangkan isu.

Kementerian Antikuiti memperoleh hasil daripada kekayaan monumen bersejarah Mesir.

Walaupun, sektor pelancongan meningkat sejak kejatuhan mereka pada 2011, seramai 8.2 juta orang yang melawat Mesir pada tahun 2017.

Namun, ia masih jauh di belakang jumlah 14.7 juta pelancong yang berkunjung ke negara itu pada tahun sebelum pemberontakan berlaku.

Selain memperoleh pendapatan daripada sektor itu, kebanyakan kerja pemulihan juga bergantung kepada dana asing.

Kazakhstan menyumbang sehingga 4.8 juta euro (RM22.8 juta) untuk membiayai kerja membaik pulih Masjid al-Zahir Baybars.

Kesatuan Eropah pula menyumbang 1.2 juta euro (RM5.7 juta) untuk Masjid al-Maridani manakala Yayasan Aga Khan sebanyak 133,000 euro (RM632,000).

Penglibatan

Arkitek Alaa al-Habashi berkata, masa adalah intipati dalam usaha untuk memelihara kawasan tersebut.

“Ia tidak boleh tergendala jika kita mahu kekal dalam Senarai Warisan Dunia.

Satu-satunya cara untuk memerangi kerosakan secara berkesan adalah dengan mendapatkan penglibatan rakyat,” katanya

Selain kediaman pada abad ke-16 miliknya yang dikenali sebagai Bayt Yakan, Habashi menjalankan seni kolektif dan menganjurkan persidangan sekitar bandar bersejarah itu.

Yayasan Aga Khan juga merangka satu projek yang sama tetapi pada skala yang jauh lebih besar berhampiran Masjid al-Maridani.

Ia termasuk laluan di kawasan kejiranan dan latihan untuk kemudahan pelancong.

“Usaha ini akan menjana aktiviti ekonomi dan pelancongan tetapi projek itu juga mempunyai dimensi sosial,” kata Ketua Kerjasama Antara Delegasi Kesatuan Eropah ke Mesir, Ibrahim Laafia.

Namun, banyak tugas mengalami kekangan birokrasi.

Semua projek perlu menempuh bidang kuasa yang bertindih antara pihak berkuasa tempatan di Kaherah serta Kementerian Antikuiti, Pelancongan, Perumahan dan Kesejahteraan Agama.

Pada tahun 2015, pihak berkuasa Mesir mewujudkan jabatan pertama yang bertanggungjawab menjaga barangan antik.

Pengarahnya, Riham Arram berkata, walaupun perkembangan di bandar agak perlahan, tugas memelihara sejarahnya masih lagi menjadi satu cabaran yang besar. – AFP