Paling nostalgik, untuk kedua-dua perjalanan ke Mekah itu menggunakan kapal laut.

Walaupun usia agak lanjut, bapa kepada 15 orang anak ini masih mampu mengingati kisah pelayaran ke Tanah Suci yang menjadi kenangan manis sepanjang hayatnya.

Kali pertama beliau menunaikan ibadah haji, beliau pergi dengan bapa saudaranya. Panggilan haji kedua pula, beliau pergi bersama isteri kedua (isteri pertama meninggal dunia) serta saudara-mara dan rakan-rakan.

“Pada ibadah haji yang pertama, saya bersama bapa saudara serta jemaah lain menaiki Kapal Anshun dan keadaan Pelabuhan Pulau Pinang (Port Swetenham) sangat ramai dengan jemaah haji, sanak saudara yang datang,” imbau Utar. Kapal Anshun adalah antara dua kapal laut terawal yang digunakan untuk membawa jemaah haji yang bertolak dari Pelabuhan Pulau Pinang.

Satu lagi ialah kapal Anking. Kapal-kapal ini dikendalikan oleh syarikat The China Navigation Company.
Menurut Utar, kali pertama ke Tanah Suci, beliau dan bapa saudara serta sanak saudaranya tiba di pelabuhan tiga hari lebih awal.

Ada juga jemaah haji yang datang seminggu lebih awal. Mereka duduk di rumah Syeikh iaitu penempatan yang disediakan oleh Syeikh Haji. Syeikh Haji pada ketika itu merupakan ejen haji berlesen yang dipantau oleh Pusat Kawalan Haji Pulau Pinang.

Bekalan makanan

Tempoh pelayaran pergi balik yang panjang antara 14 hingga 16 hari membuatkan jemaah yang membawa bekalan makanan sendiri seperti beras serta periuk belanga untuk memasak. Menurut Utar, saiz kapal tersebut yang begitu besar sehinggakan mereka diasingkan mengikut kampung masing-masing.

Beliau menceritakan detik-detik awal menaiki kapal. “Selepas tiga hari naik kapal, saya mabuk laut sehingga sampailah ke Jeddah kerana tidak tahan gelora laut yang beralun dan berombak,” katanya yang masih lagi menyimpan pasport dan pas hajinya hingga kini. Bagaimanapun, bagi Utar, semua keletihan dan rasa tidak selesa semasa dalam pelayaran hilang sekelip mata sebaik sahaja melihat Kaabah.

Rasa syukur sehingga beliau menitiskan air mata. 
Hatinya juga semakin rindu untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci lagi.

“Jika diberi peluang, saya mahu pergi bersama-sama anak-anak. Tidak mahu pergi tanpa mereka,” katanya memberitahu beliau menggunakan wang hasil jualan padi dan tanaman untuk ke Mekah. 
Pada ketika itu, beliau menyara keluarganya dengan bekerja sebagai petani.

“Wang tambang kapal laut kira-kira RM800 sahaja, jadi saya kumpul duit antara tiga hingga empat tahun sebelum berangkat ke Tanah Suci,” katanya.

Antara detik manis Utar semasa dalam pelayaran ialah melihat pemandangan ‘ikan-ikan terbang’ yang berenang menghampiri kapal.

“Ia adalah keindahan alam yang menakjubkan,” kata Utar yang masih sihat, tidak bertongkat, malah masih boleh menunggang motosikal ke pekan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Bahagian Falsafah dan Tamadun Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Aiza [email protected] menjelaskan, era kapal laut jemaah haji pada ketika itu begitu rancak sehinggakan tempat berkumpulnya jemaah haji sebelum belayar yang terletak di Lebuh Acheh, George Town ataupun lebih dikenali dengan nama Tanjong. Lokasi itu mendapat jolokan sebagai Jeddah Kedua dalam kalangan jemaah haji dan penduduk di situ.

Suasana di Lebuh Acheh begitu meriah dengan kehadiran sanak saudara yang datang beramai-ramai dari seluruh pelosok Tanah Melayu.

Telegraf

Ada yang sampai kurang seminggu ataupun tiga minggu awal sementara menanti ketibaan kapal dengan tujuan menghantar jemaah berangkat ke tanah suci.

Memandangkan Lebuh Acheh adalah pusat tumpuan jemaah haji berkumpul, maka di situlah peranan Syeikh Haji. Syeikh Haji merupakan ejen haji berlesen yang dipantau oleh Pusat Kawalan Haji Pulau Pinang.

“Merekalah yang akan buat pas, pasport, beli tiket kapal dan akan menguruskan penempatan jemaah haji apabila tiba di Jeddah. Malah, mereka akan berhubung dengan Syeikh Haji di Jeddah serta menguruskan kotak Sahara iaitu sebuah peti simpanan untuk kegunaan jemaah haji. Lebuh Acheh katanya, menjadi pusat kegiatan ekonomi bagi masyarakat setempat.

“Apabila tibanya musim haji, ada antara penduduk di situ mengambil peluang berniaga seperti menjual barangan kelengkapan haji, makanan, pakaian, kain batik dan sebagainya. Ia seolah-olah menjadi pesta yang dibuka 24 jam ekoran kehadiran jemaah haji dan sanak saudara yang begitu ramai,” kata Aiza.

Sementara itu, kata beliau disebabkan penggunaan sistem telekomunikasi pada ketika itu belum meluas, terdapat sistem siaraya di atas kapal yang membolehkan jemaah haji untuk berhubung dengan anggota keluarga di tanah air dengan menggunakan sistem telegraf.

“Kebiasaannya, pusat telegraf akan menerima telegraf daripada jemaah haji supaya mesej itu disampaikan kepada keluarga apabila mereka tiba di pelabuhan.

“Itu sahaja kemudahan yang ada kerana perhubungan pada masa itu agak sangat sukar,” jelas Aiza.

Sesungguhnya, semangat luar biasa jemaah haji generasi lama mengharungi gelombang ganas ketika pelayaran menyahut panggilan ke Baitullah, Mekah, wajar dikongsikan kepada generasi hari ini. – Bernama