Orangnya biasa-biasa sahaja, tubuh tuanya kurus, kedut di wajahnya berselirat, berkumis nipis namun kudratnya masih kuat. Itu tanggapan pertama apabila bersua muka dengan Abdul Kadir yang mesra dipanggil Pok Dir.

Sebaik membuka mulut bertutur dalam loghat Kelantan, orang ramai akan mudah berasa mesra serta tertarik mendengar Pok Dir berseloroh serta mengusik. Kata-katanya tidak dilontarkan semberono malah pemilihan perkataannya berhati-hati.

Anak jati kelahiran Kampung Berhala Lima, Peringat, Kota Bharu pada 1 Jun 1940 itu kini menghabiskan usia emasnya bersama isteri tercinta, Hasmah Yusof, 53, melalui perkahwinan kali kelima. Hidup Pok Dir yang kelihatan biasa itu nyata menyimpan pelbagai peristiwa hitam dan putih.

Pertemuan bersama Pok Dir selama empat jam berjaya menyelami pahit manis kehidupannya bermula daripada membawa diri kerana merajuk, menjadi pelakon tambahan dalam beberapa filem arahan Tan Sri P. Ramlee sehingga terlibat insiden hampir maut dalam rusuhan 13 Mei 1969.

“Saya menganggap perjalanan hidup saya ini adalah aturan Allah. Ceritanya bermula pada tahun 1961, apabila hasrat mengahwini kekasih hati dikecewakan oleh ibu bapanya. Pada masa itu usia saya sekitar 20 tahun.

“Ibu bapa kekasih saya tidak merestui hasrat kami untuk bernikah. Malah mereka sanggup mengatakan daripada beri izin bernikah dengan saya, baik anak dara mereka itu disalai di atas api. Merajuk dengan keadaan itu saya membawa diri keluar dari negeri ini,” katanya.

Dia yang berasa kecewa teramat sangat mengambil keputusan meninggalkan Kota Bharu dan menumpang van membawa akhbar Utusan Melayu (kini Utusan Malaysia) ke ibu kota.

“Saya menumpang van Utusan Melayu itu dan pada masa itu hanya ada wang 20 sen dalam poket. Sampai di Raub, van tersebut berhenti untuk makan tetapi saya tidak mahu turun kerana tiada duit.

“Pekerja surat khabar itu berkeras mengajak saya ikut mereka untuk makan. Mereka membayar makanan saya sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Bahana bawa diri kerana merajuk,” ujarnya sambil diikuti gelak kecil.

Ke Singapura

Tiba di Kuala Lumpur, dia tinggal di rumah rakannya dikenali dengan panggilan Setapa di Kampung Semarang, Chow Kit.

“Setapa merupakan tukang pegang payung Sultan Kelantan pada masa itu, jadi dia yang memperkenalkan saya kepada S.M Salim (Allahyarham Tan Sri S.M Salim). Allahyarham seorang yang berhati mulia. Saya pernah menumpang di rumahnya di Kampung Baru pada masa itu.

“S.M Salim tanya jika saya ingin berlakon, jadi saya kata okey. Tapi katanya hanya jadi pelakon tambahan. Saya kemudian mengikutnya ke Singapura sebelum diberi peluang membintangi filem arahan P. Ramlee seperti Kanchan Tirana, Ali Baba Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok serta banyak lagi,” katanya.

Walaupun usianya semakin lanjut, Pok Dir tetap mengingati dengan jelas peristiwa-peristiwa besar yang terjadi dalam hidupnya.

“Kenangan manis yang paling tidak dapat saya lupakan ialah dalam filem Ali Baba Bujang Lapok. Menariknya filem itu apabila P. Ramlee mengarahkan kami dijirus dengan minyak panas berasap. Minyak itu memang menggelegak tetapi tidak panas hasil kebijaksanaan P. Ramlee.

“Saya merupakan penyamun pertama yang dijirus dengan minyak panas oleh Marjina (lakonan seniwati Datuk Sarimah Ahmad). Rahsia bagaimana minyak berasap itu menjadi tidak panas saya enggan dedahkan kepada umum,” katanya yang berkongsi rahsia itu dengan penulis selepas itu.

Menyusup

Habis berlakon di Singapura, Pok Dir kembali ke Kuala Lumpur pada tahun 1969 dan tinggal di sebuah rumah No. 230, Lorong Kiri, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Dia bekerja sebagai pembuat rumah bersama dua rakan senegeri iaitu Wan Mohamad Wan Abdullah dari Kampung Limbat, Kota Bharu dan Yaakob dari Kampung Laut, Tumpat, Kelantan.

“Pada masa itu keadaan agak kecoh dengan rusuhan kaum 13 Mei dan semua rakyat dikenakan perintah berkurung. Suatu hari, pihak keselamatan melonggarkan perintah berkurung dan kami bertiga mengambil keputusan menonton filem Hindustan di panggung wayang Federal, Chow Kit.

“Itu kali terakhir saya bertemu Yaakob sebelum dia dipercayai maut dalam satu kejadian rusuhan,” katanya yang menyeka air mata setiap kali teringatkan kejadian hitam tersebut.

Selepas mengambil masa beberapa ketika, Pok Dir meneruskan cerita. Sebelum tayangan filem tersebut bermula pada pukul 12 tengah hari dia melihat terdapat iklan berbahasa Cina dan India. Bagaimanapun, hanya orang Melayu sahaja yang ada dalam panggung wayang itu.

“Kami tidak memahami tulisan itu dan terus menonton sehingga pukul 3 petang sebelum hanya satu pintu keluar di buka iaitu di bahagian belakang panggung. Menyedari ada sesuatu yang tidak kena saya dapati terdapat sekumpulan lelaki berpedang mahu menetak sesiapa sahaja yang keluar.

“Kami mendapat akal untuk menyusup ke bawah mayat yang bergelimpangan. Kami bertiga terselamat dalam kejadian tersebut, namun semasa cuba melarikan diri kami terserempak dengan kejadian seorang wanita mengandung diserang,” katanya.

Kasihan melihat keadaan wanita tersebut, mereka cuba membantu sebelum turut menjadi mangsa tetakan kumpulan tersebut.

“Itulah kali terakhir saya bertemu dengan Yaakob. Saya tersedar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 3 petang keesokan harinya dalam keadaan seluruh badan berbalut. Saya difahamkan, jururawat memasukkan 138 beg darah ke dalam tubuh.

“Saya sangka sudah berada di syurga pada masa itu kerana melihat jururawat memakai baju putih. Jururawat memaklumkan saya menjadi mangsa tetak selain seluruh badan dikelar dan disapu dengan garam seperti menyiang ikan,” imbasnya.

Menurut Pok Dir yang mempunyai sijil fotografi dari Institut Kemahiran Belia Negara Peretak, Kuala Kubu Bharu, Selangor luka terkena garam memang pedih tetapi secara tidak langsung garam itu menghentikan pendarahan.

Peristiwa pahit hampir lima dekad lalu itu benar-benar menguji dirinya apabila dia hanya mampu bangun dari katil tiga minggu kemudian dan ‘menghuni’ wad di HKL selama tiga bulan 10 hari sebelum dibenarkan pulang.

Keamanan

“Paling menyedihkan saya tidak lagi bertemu Yaakob selepas itu, ada bertanya khabar di rumah keluarganya di Tumpat tetapi dia tidak pernah pulang. Perit pengalaman itu, apabila diingat pada mulanya memang rasa marah tetapi saya kira tidak wajar menyimpan amarah itu hingga kini.

“Malah semasa kejadian itu saya perasan rata-rata penyerang itu bukan kaum Cina tempatan. Dalam setandan pisang mesti ada yang buruk,” katanya.

Menurut Pok Dir, dalam kejadian berbeza ada rakannya berketurunan Melayu disorokkan oleh Cina tempatan di Kampung Semarang, Chow Kit di atas loteng selama berminggu-minggu bagi mengelak menjadi mangsa rusuhan itu.

“Rakan saya disorokkan di atas loteng dan diberi makan, minum sehingga keadaan kembali aman. Nasihat saya kepada golongan muda hari ini, jagalah keamanan sedia ada,” katanya.

Ternyata jiwanya masih kekar untuk meneruskan kehidupan sebelum menamatkan zaman bujang. Pok Dir berkahwin sebanyak lima kali namun tidak pernah mempunyai zuriat sendiri.

“Saya bernikah dengan Hasmah pada tahun 1992. Kini saya bahagia menjalani kehidupan dengannya, dia memahami jiwa saya. Isteri-isteri sebelum ini mahukan anak tetapi saya tidak boleh berikan zuriat. Jadi perkahwinan tersebut berakhir dengan perceraian,” ujarnya menutup bicara.

Abdul Kadir Mamat atau lebih dikenali sebagai Pok Dir antara pelakon tambahan filem Ali Baba Bujang Lapok yang masih hidup.