Beberapa pekerja pejabat di bandar raya menceritakan pengalaman menakutkan berhadapan dengan ulat parkir yang dulunya hanya meminta beberapa ringgit untuk menjaga kereta. Kini, mereka berani memeras ugut.

Seorang pegawai pentadbiran berumur 29 tahun menceritakan kejadian menakutkan dialaminya baru-baru ini semasa meletakkan keretanya di Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur tempat dia bekerja dengan sebuah agensi kerajaan.

Pengalaman buruk

“Seorang remaja lelaki yang kurus dan tinggi meminta RM20 daripada saya,” dakwa Wong Siow Mei.

“Saya tanya dia kenapa saya perlu bayar kepadanya. Dia menunjukkan dengan jarinya ke arah dua buah kereta, sebuah daripadanya cermin pecah dan sebuah lagi empat tayar dibocorkan. Saya terus bayar.”

Itulah kali terakhir Siow Mei meletakkan kereta Perodua Myvinya di situ. Dia kini meletakkan keretanya kira-kira satu kilometer dari pejabatnya.

Siow Mei berkata, dia masih tidak dapat melupakan pengalaman buruk itu.

“Saya masih nampak beberapa ulat parkir di kawasan itu dan akan menjauhkan diri daripada mereka,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati, antara kawasan yang menjadi tumpuan ulat parkir ialah pusat beli-belah di Bangsar, Dataran Merdeka dan Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Kebanyakan ulat parkir berumur bawah 30 tahun dan ada antara mereka terdiri daripada warga asing.

Sesetengah mereka ini turut meminta bayaran daripada orang ramai yang meletakkan kenderaan di tempat letak kereta milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pegawai Undang-undang Siti Nor Haryani Mat Noor, 27, berkata, cermin kereta Perodua Vivanya pernah dipecah pada satu malam di Sentul, Kuala Lumpur kerana dia tidak membayar kepada mereka.

“Saya melihat ada beberapa lelaki muda sedang meminta sesuatu daripada seorang lelaki. Saya meletakkan kereta di sisi jalan dan segera beredar dengan berjalan kaki menuju ke rumah,” katanya.

“Namun keesokan harinya, saya dapati cermin depan kereta saya dipecahkan. Smart Tag saya juga telah diambil. Cermin dua lagi kereta di hadapan kereta saya turut dipecahkan,” dedahnya.

Pesara syarikat swasta Mohd. Baharudin Ismail, 61, berkata, anak perempuannya pernah mengalami trauma ketika meletakkan keretanya di kawasan sunyi di belakang barisan kedai di Bangsar.

“Mereka (ulat parkir) mengugut untuk mencalarkan kereta anak saya jika tidak membayar RM50. Bimbang dengan keselamatan dirinya, dia bayar sahaja,” katanya.

Pengurus restoran, Muhammad Izzat Izudin, 41, berkata, beliau pernah mendapat aduan daripada pelanggannya yang dikenakan bayaran oleh ulat parkir di hadapan premis makanan itu di Wangsa Maju.

Ada juga pelanggan yang mengadu kepadanya yang kereta mereka dicalar dan tayar dibocorkan kerana tidak membayar kepada ulat parkir.

“Saya perhatikan ulat-ulat parkir ini berkeliaran menunggu mangsa mereka, sesetengah mereka dalam lingkungan awal 20-an tetapi kebanyakannya remaja.

“Daripada cara mereka, seperti mengikut arahan. Kemungkinan ada seseorang atau kumpulan yang mengawal mereka,” katanya. - Bernama