Muat naik yang memaparkan gambar potret legenda sukan badminton itu yang dihasilkan daripada seni khat oleh pelukis dan penulis khat, Muhammad Rosyaimi Amirul Faiz Jailani, 28, bukan sekadar mendapat perhatian umum malah-rata-ratanya kagum dengan kreativitinya menggabungkan seni khat dan potret dalam satu lukisan.

Dengan jumlah suka sebanyak 3,300 kali dan 1,400 perkongsian, lukisan berkenaan menjadikan Muhammad Rosyaimi sebagai tumpuan media.

Chong Wei bukan satu-satunya potret yang pernah dihasilkan oleh pemuda berasal dari Kuala Berang, Terengganu itu, tetapi dia juga telah menghasilkan banyak potret ikon seperti pemimpin, ulama, selebriti dan sebagainya.

Menurutnya, antara potret individu terkenal yang pernah dihasilkan ialah bekas-bekas Perdana Menteri negara ini termasuk Perdana Menteri sekarang, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan pendakwah, Ustaz Azhar Idrus.

“Awalnya lukisan Chong Wei adalah penghargaan saya buat beliau yang telah banyak mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

“Saya tidak sangka bahawa muat naik gambarnya itu mendapat perhatian di media sosial dan dikagumi ramai,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Menjadikan karier pelukis sebagai kerjaya sepenuh masa, anak sulung daripada lima beradik itu memberitahu, minatnya dalam bidang seni berputik sejak di bangku sekolah.

Eksperimentasi

Menjadikan aktiviti melukis terutama potret sebagai hobi, penglibatannya dalam pertandingan khat semasa tingkatan tiga menjadi permulaan buat pemuda ini untuk tekad mendalami ilmu berkenaan.

Muhammad Rosyaimi memberitahu, pada awalnya dia mempelajari seni khat secara tidak formal dan banyak merujuk kepada hasil karya penulis khat dari dalam dan luar negara, selain membaca buku tentang penulisan seni dalam Islam itu.

Jelasnya, dia kemudian mendapat pendidikan khusus dalam seni khat ketika menyambung pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan setelah menyertai kelab khat.

“Dalam kelab khat, saya mempelajari teknik-teknik penulisan yang betul, susunan perkataan dan bentuk tulisan selain banyak mempraktikkan seni berkenaan dengan menyertai aktiviti pameran atau ekspo serta mula menghasilkan karya seni sendiri.

“Gabungan seni khat dan potret pula merupakan salah satu seni yang terhasil menerusi eksperimentasi saya pada tahun 2006. Ia menjadi salah satu karya signatur dalam karier saya sehingga kini,” jelas graduan Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa itu.

Tambahnya, dalam kebanyakan karya potret khatnya, dia menggabungkan seni visual dengan tulisan jawi yang merupakan ejaan nama individu dalam lukisan berkenaan yang ditulis menggunakan khat jenis diwani jali.

Jelasnya dalam khat potret, khat diwani jali lebih praktikal. Ia fleksibel untuk disusun dalam apa jua bentuk termasuk wajah subjek yang dilukis. Ia juga boleh disusun mengikut bahagian seperti pembentukan muka dan bahagian badan.

Alat tulis yang digunakan pula ialah pen kaligrafi khat, dakwat dan berus.

Katanya, setiap penghasilan lukisan memakan masa selama lima hingga enam hari. Setiap seni khat atau kaligrafi potret kebiasaannya dihasilkan mengikut tempahan yang diambil menerusi platform media sosial Facebook atau Instagram selain ada yang hanya dijadikan koleksi peribadinya.

Menurut Muhammad Rosyaimi lagi, untuk setiap lukisan, dia akan mengenakan caj bermula RM300 hingga RM700 mengikut saiz dan penggunaan warna setiap lukisan.

“Sejak tular di laman sosial, banyak tempahan yang saya terima sehingga tidak menang tangan. Biasanya saya hanya mengambil dan menjual kaligrafi potret secara purata tiga hingga empat karya sebulan.

“Kebanyakan pelanggan saya adalah peminat seni dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Ramai antara mereka yang menempah lukisan untuk dijadikan sebagai koleksi peribadi dan hadiah kepada orang tersayang,” ujarnya yang telah menghasilkan lebih 30 potret khat sejak tahun 2007.

Sementara itu, dalam arena seni lukisan dan khat dunia, karya potret khat turut mencuri tumpuan umum selepas seorang pelukis wanita Pakistan yang dikenali sebagai Sonia Nisa memuat naik karya lukisan Perdana Menteri negara itu, Imran Khan di laman sosialnya.

Idola

Lukisan yang dipamerkan dalam Pameran Seni di Souq Waqif, Doha, Qatar pada Januari lalu itu juga merupakan penghormatannya buat Perdana Menteri ke-22 Pakistan itu. Akui wanita Pakistan yang menetap di Qatar itu, Imran merupakan salah satu idolanya.

“Pada awalnya, saya ingin menghadiahkan lukisan berkenaan kepada Perdana Menteri yang kebetulan ada di Qatar semasa penganjuran satu pameran seni lukis di situ. Pun begitu, hasrat itu tidak kesampaian memandangkan jadual beliau sangat padat dengan lawatan kerja.

“Karya ini sangat istimewa dan dekat dengan hati saya kerana ia adalah satu penghormatan buat seorang individu yang amanah, ikhlas, jujur dan menjadi inspirasi kepada saya serta ramai anak Pakistan yang lain,” katanya menerusi temu bual dengan sebuah agensi media antarabangsa.

Tekad meneruskan hasrat untuk menghadiahkan lukisan berkenaan kepada Imran, Sonia memuat naik video dia bersama lukisan berkenaan di laman sosial instagramnya dengan menjelaskan cerita di sebalik gambar berkenaan.

Dalam muat naik berkenaan, Sonia menjelaskan, gambar tersebut merupakan imej Perdana Menteri yang dihasilkan dengan khat lirik lagu negara Pakistan dalam tulisan urdu yang mirip jawi.

Dia juga memberitahu bahawa karya berkenaan mengambil masa kira-kira lapan hingga 10 jam untuk dihasilkan.

Sonia turut memohon supaya pelayar media sosial membantunya menularkan muat naik berkenaan supaya hasratnya untuk menyampaikan lukisan berkenaan kepada Perdana Menteri tercapai. Muat naik video berkenaan mendapat sambutan sehingga mendapat 129,000 tontonan. Dia kemudian mendapat jemputan untuk bertemu dengan Imran untuk menghadiahkan sendiri gambar berkenaan di Bani Gala, Islamabad, Pakistan pada Februari lalu.