Bukannya apa, dia selalu lupa untuk memasukkan garam dalam masakannya sehingga menjadikan hidangan yang pada rupanya sungguh menggoda akhirnya rasa hambar.

Disebabkan itu, dia mesti memainkan lagu itu ketika masak supaya bahan pelengkap rasa dalam setiap makanan itu tidak tertinggal.

“Garam bukit dari Ba'kelalan ini menjadi pilihan saya kerana teksturnya cukup halus,” katanya ringkas yang tinggal di Kuching.

Nur Farah Diana pernah berkunjung ke Ba’kelalan pada tahun 2015 dan sejak itu mula menggunakan garam dari kawasan tersebut.

Katanya, sedikit sebanyak ia dapat membantu meningkatkan ekonomi etnik Lun Bawang yang menetap di utara Sarawak itu.

Baginya, dia berbangga kerana masyarakat Lun Bawang mampu menghasilkan garam bukit yang mempunyai keistimewaan tersendiri termasuk tidak terlalu masin.

Berbekalkan kepada cerita itu, penulis pergi ke perkampungan Lun Bawang di Long Lanai yang terletak beribu kilometer jauhnya dari bandar raya Kuching, Sarawak.

Ba'kelalan merupakan sebuah perkampungan kecil yang dihuni kira-kira 200 penduduk daripada etnik Lun Bawang. Perjalanan ke kawasan lembah berbukit itu cukup ranjau namun anda boleh memilih penerbangan kapal kecil Twin Otter Malaysia Airlines setiap Isnin, Rabu dan Sabtu.

Jika anda pula seorang penggemar aktiviti lasak yang mahu menjamu mata dengan kehijauan pokok dan gunung-ganang, laluan headhunter trail menaiki pacuan empat roda dari Lawas sangat bersesuaian tetapi perlu mengeluarkan belanja sekitar RM1,200.

Jalan balak

Pemandunya cekap malah berpengalaman. Penulis yakin, anda tidak akan hilang bosan menempuh lima hingga enam jam perjalanan atau mungkin terpaksa bermalam di tengah hutan jika keadaan jalan mahupun cuaca buruk.

Jurupandu penulis ketika itu, Lisa Buing, 45, berkata, kilang garam tersebut didirikan sejak lebih 50 tahun lalu dan pelancong yang berminat mengunjungi kawasan berkenaan perlu melalui jalan balak dari mana-mana rumah inap desa di dalam kampung tersebut.

“Laluannya berliku dan permukaan jalan tidak baik membuatkan perjalanan boleh memakan masa 40 minit atau lebih walaupun jaraknya sekitar 10 kilometer (km) dari lokasi rumah inap desa.

“Sebuah titi turut dibina bagi memudahkan perjalanan ke kilang itu,” katanya.

Malah, ketika dalam perjalanan, pacuan empat roda yang kami naiki juga terbenam di tengah jalan hingga memaksa semua mengeluarkan peluh jantan masing-masing untuk menolak dan mencangkul laluan yang agak berlumpur itu.

Bagi mereka, situasi itu sudah biasa malah jika terkandas akibat jalan teruk kerana hujan, mereka memutuskan untuk bermalam di dalam kereta sahaja.

“Jika ada orang lalu, barulah bersama-sama tolong tolak atau cangkul sedikit tanah untuk buat laluan baharu,” jelas Lisa.

Perjalanan sekitar satu jam itu akhirnya tiba di kilang garam tersebut. Seperti yang dikatakan Lisa, semua pengunjung perlu melalui titi yang merentasi denai kecil untuk sampai ke kilang itu.

Di kiri kanan, pemandangan cukup indah dan sekumpulan kerbau yang sedang meragut rumput serta berkubang menambahkan lagi kisah pengembaraan di Ba’kelalan.

Telaga

Penulis kemudiannya pantas memperkenalkan diri kepada satu-satunya pengusaha sumber garam itu, Lakai Sultan, 55, yang kudratnya masih mantap memperagakan kemahiran memasak garam.

“Perusahaan ini sudah lebih 50 tahun yang dimulakan bapa saya sebelum kami adik-beradik warisi. Dahulu kilang ini buruk sebelum kami menerima peruntukan pada tahun 2015 untuk membina kilang baharu yang lebih selesa,” katanya.

Proses memasak garam ternyata bukanlah singkat kerana ia memakan masa sekurang-kurangnya tiga atau empat hari biarpun hanya perlu merebus segelen air.

Ceritanya sedikit, air garam diambil di belakang kilang menerusi teknik pam yang disedut dari empat buah telaga yang kelihatan usang itu.

“Di belakang kilang ini memang ada mata air garam ini. Ia merupakan sumber semula jadi yang airnya masin. Dari situlah timbulnya idea untuk mewujudkan perusahaan ini.

“Kemudiannya ia ditapis dan dimasak dengan kayu api sehingga kering dan menjadi garam. Kebiasaannya, ia mengambil masa sekurang-kurangnya dua atau tiga hari untuk benar-benar kering dan bertukar menjadi serbuk putih.

“Prosesnya sedikit perlahan kerana kami hanya mempunyai enam tapak untuk memasak garam malah adakalanya berhenti rehat satu atau dua hari kerana tenaga kerja kami tidak ramai,” katanya.

Lakai dibantu dua orang pekerja bagi memasak air sehingga kering sebelum memindahkannya ke dalam bekas lain untuk dibungkus di dalam plastik.

Ceritanya lagi, sekitar lebih 33 tahun dahulu, kaedah pemprosesannya lebih bersifat tradisional tetapi kini ia sudah berubah malah hasilnya juga lebih baik.

Dia biasanya bangun sekitar pukul 6 pagi setiap hari dan pergi ke kilang itu tatkala matahari mula menegak sekitar pukul 7 atau 8 pagi sehinggalah pukul 1 atau 2 petang.

“Saya akan membakar kayu api bagi memanaskan kawah berbentuk segi empat dan menuangkan air garam itu ke dalam bekas tersebut,” jelasnya.

Lakai selalunya akan mengupah tiga atau empat orang lelaki untuk memotong, mengambil, mengangkat dan menyimpan kayu-kayu api di bangsal yang terdapat di kilang itu.

Menurutnya, dia akan memberi upah RM50 setiap seorang kepada pemotong kayu itu setiap kali dipanggil untuk memotong kayu-kayu hutan yang terdapat di sekeliling kilang tersebut.

Pasaran

“Mereka bukannya bekerja setiap hari kerana hanya perlu memotong dan mengambil kayu untuk dilonggokkan. Jika kayu sudah habis, saya akan memanggil mereka untuk mencari lagi.

“Biasanya, tiga atau empat hari boleh habis kayu-kayu api ini dan saya akan memanggil mereka untuk menebang dan memotong kayu untuk diletakkan di bangsal. Jika saya seorang memang tidak larat,” katanya.

Selepas siap dimasak, garam itu kemudiannya dibiarkan sejuk sebelum dibungkus dalam kuantiti satu kilogram (kg) atau 500 gram di dalam plastik untuk dipasarkan.

Katanya, permintaan garam bukit Ba'kelalan memang tinggi malah pernah merekodkan jualan di Indonesia, Brunei dan Singapura.

“Harga bagi 1kg garam ini ialah RM18 ke RM20 termasuk caj penghantaran,” ujarnya.

Di sekitar Borneo, garam ini memang mudah didapati di pasar-pasar awam utama setiap daerah malah ada juga dijual di Pasar Borneo yang terletak di Pasir Gudang, Johor.

Kebiasaannya, mereka yang menetap di sana akan membawa balik lebihan bungkus untuk dijual di Semenanjung.