Begitu pun, mereka yang berada di dalam gelanggang, nampak serius. Riak wajah masing-masing kelihatan tegang. Sekali-sekala ada yang mengelap peluh merecik di dahi.

Mereka yang terdiri daripada lapan pemain menyusun strategi. Matlamat masing-masing adalah untuk memburu gelaran juara bagi Kejohanan Liga Gasing Pangkah Tradisional di kampung itu yang berlangsung selama dua hari berakhir 31 Disember lalu.

Anak muda, Muhammad Fadhil Fahmi, 20, yang mewakili Bukit Kapar D mengatur gerak. Dia yang tidak mempunyai pengalaman bertanding sebelum ini tetap yakin mampu memberikan saingan sengit.

Bersama tiga lagi ahli pasukannya, remaja yang rajin berlatih pada waktu lapang sebaik pulang bekerja itu tetap optimis pengalaman sulung tersebut pasti berharga.

“Mula-mula bermain gasing pangkah tradisional, saya kosong. Tidak tahu cara atau tekniknya. Saya cuma lihat sahaja orang lebih dewasa bermain. Tetapi, bila sudah mula mengenal lenggok dan peraturannya, ia sedikit demi sedikit menyuntik semangat dalam diri untuk mempertahankan permainan tradisional yang diwarisi daripada generasi terdahulu ini.

“Kami juga dapat menimba pengetahuan pemain lebih senior kerana mereka tidak lokek berkongsi ilmu,” katanya ketika ditemui K2 di Kampung Bukit Kapar, Klang baru-baru ini.

Kampung itu merupakan antara kampung di negara ini yang masih aktif memartabatkan permainan gasing tradisional dalam era moden ini.

Pembuatan

Sebenarnya terdapat beberapa jenis gasing yang popular di negara ini seperti gasing toyol, begelen, berembang, buku benang, jantung, kelamar, kepala duri, kuno, lang laut, leper, leper Kelantan, pacitan, piring, pinang, tanjung dan uri tetapi di kampung itu, gasing pangkah tradisional menjadi pilihan penduduknya yang telah dimainkan zaman berzaman.

Ia dinamakan gasing pangkah kerana terdapat pemain yang berperanan sebagai pemangkah yang bertindak menggunakan gasingnya ‘memukul’ dan menyingkirkan gasing lawan keluar dari gadai (kawasan bertanda bulat di tengah gelanggang).

Bukan sahaja permainannya masih disemarakkan di tiga gelanggang gasing di kampung itu, bahkan terdapat penduduknya yang memiliki kepakaran membuat gasing tersebut.

Dikenali dengan nama Wak Jali, lelaki berusia 55 tahun itu memberitahu, dia menerima tempahan membuat gasing pangkah tradisional mengikut musim.

Sempena kejohanan tersebut, Wak Jali atau nama sebenarnya Mohd. Zajali Saring mengakui menyiapkan kira-kira 150 buah gasing pangkah yang mengambil masa antara dua hingga tiga minggu untuk disempurnakan bermula daripada proses pemilihan kayu, membelah sehingga menjadi bongkah sebelum dilarik menjadi bentuk yang asas.

Kejohanan tahunan

Selepas siap, gasing pangkah akan dipasangkan taji dan dilarik sekali lagi untuk proses kemasan serta diseimbangkan. Kemudian kemampuannya berpusing diuji sebelum dijual kepada pelanggan pada harga antara RM40 sehingga RM80 mengikut jenis kayu yang digunakan.

Menurut lelaki yang pernah bertugas dalam bidang kejuruteraan selama lima tahun di Arab Saudi itu, pada awalnya dia hanya melihat orang bermain gasing pangkah. Dari situ, timbul minat untuk memperbaiki cara pembuatannya dengan memberi tumpuan kepada bahagian kemasan yang menggabungkan teknik kejuruteraan dan kaedah pembuatan tradisional bagi memberikan hasil yang kemas, bergaya dan putaran lebih lama.

“Saya biasanya menggunakan kayu keranji, koran dan kempas yang dicari sendiri selain ada juga yang ditempah daripada pencari kayu hutan di Pahang.

“Saya berasa puas apabila melihat gasing yang dihasilkan berpusing lama dan menjadi johan dalam mana-mana pertandingan,” katanya yang juga mempunyai kepakaran membuat parang, pisau, pedang, tombak dan juga barang cenderamata.

Sementara itu, Penyelaras Kejohanan Liga Gasing Pangkah Tradisional, Mohd. Aziz Samsudin, 58, dari kampung sama berkata, kejohanan tersebut telah diwujudkan di kampung itu sejak tahun 1987 dan dijadikan kejohanan tahunan.

Menurut Mohd. Aziz atau lebih dikenali sebagai Wak Ajis, kejohanan kali ini merupakan kali ke-20 diadakan dan ia pernah terhenti seketika sebelum dihidupkan kembali sejak beberapa tahun lalu.

Wak Ajis bersama Pengerusi Persatuan Gasing Pangkah Tradisional kampung, Muhamat Mustakim Abdullah, 70, merupakan antara individu penting yang memastikan setiap kali penganjuran, ia akan disertai oleh peserta daripada pelbagai lapisan umur agar permainan tradisi itu subur dalam jiwa anak-anak muda.

Kata Wak Ajis, setiap perlawanan akan dimainkan oleh masing-masing empat pemusing dan pemangkah bagi mengejar 10 mata.

Namun, uniknya permainan gasing pangkah ini, ia tidak mempunyai had masa kerana sepanjang rekod kejohanan, terdapat permainan yang tamat dalam tempoh masa 30 minit, manakala ada juga yang berlanjutan sehingga tiga jam 30 minit.

“Kami sangat gembira apabila penganjuran kali ini disertai oleh 26 regu iaitu melibatkan seramai hampir 130 pemain. Sebanyak 11 daripada regu tersebut adalah dari Kampung Bukit Kapar, manakala baki 15 lagi merupakan regu dari sekitar Pahang.

“Apa yang lebih dibanggakan, sebanyak lima hingga enam regu ini merupakan pemain belia yang masih muda. Kita seronok melihat mereka tidak kekok sebaliknya menunjukkan minat untuk memastikan permainan tradisional seperti ini tidak ditelan zaman. Hakikatnya, kita tahu, dunia sekarang lebih terarah kepada permainan menerusi gajet tetapi masih ada yang mahu melibatkan diri dengan sukan tradisi seperti ini,” katanya yang juga merupakan salah seorang jurulatih gasing pangkah tradisional di kampung tersebut.

Pelancongan

Kejohanan Liga Gasing Pangkah Tradisional kali ini dimenangi oleh pasukan Chemomoi A, manakala tempat kedua Kujan C. Kedua-dua pasukan adalah dari Pahang, manakala tempat ketiga ialah pasukan Bukit Kapar H.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sementa, Dr. Daroyah Alwi dengan diiringi Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Kamarudin Sabran.

Mengakhiri perbualan, Wak Ajis sempat berkongsi harapan mereka agar pihak yang bertanggungjawab dapat mengambil inisiatif yang dilakukan oleh penduduk kampung untuk memartabatkan permainan tradisional kepada generasi muda seterusnya menarik kehadiran pelancong ke kampung tersebut.

“Saya berpendapat, anak muda sebenarnya ramai yang berminat, cuma tidak tahu lokasi untuk mereka mempelajari selok-belok permainan ini,” katanya.

Pada era moden dan dunia digital ini, permainan gasing pangkah tradisional terus subur dan bersemarak di Kampung Bukit Kapar, Klang, Selangor.