SETIAP kali menjelang hari kemerdekaan negara yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun, laungan keramat ‘Merdeka, Merdeka, Merdeka’ pasti akan berkumandang di serata pelosok negara.

Tidak kira sama ada acara atau program yang dilaksanakan itu berskala besar, ataupun sekadar majlis sambutan yang diadakan di peringkat sekolah, laungan tersebut pasti akan bergema.

Seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia, Kapten Wan Mohd. Azri Wan Mat, 36, mengakui, pemikirannya akan terus membayangkan situasi Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan perkataan ‘merdeka’ ketika upacara pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957.

Beliau juga mengakui bahawa hanya itu sahaja memori yang terpahat di dalam kotak pemikirannya jika bercakap soal hari pengisytiharan kemerdekaan 61 tahun lalu.

“Saya yakin, ramai lagi dalam kalangan rakyat negara ini khususnya golongan muda seperti saya. Ini kerana hanya gambar itu sahaja yang kerap ditonjolkan sejak kami kecil terutamanya setiap kali menjelang sambutan hari kemerdekaan negara.

“Jika ke pameran-pameran berkaitan kemerdekaan, bahan-bahan yang dipamerkan adalah bersifat umum dan tidak mengkhususkan kepada hari pengisytiharan kemerdekaan tersebut,” katanya lagi.

Tiada akses

Menurut Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia (ANM), Datuk Azemi Abdul Aziz, perkara itu terjadi mungkin disebabkan oleh kebanyakan rakyat negara itu tidak mempunyai akses kepada dokumen-dokumen dan artifak berkaitan kemerdekaan yang disimpan oleh pelbagai pihak termasuklah Jabatan Muzium Negara dan ANM sendiri.

Malah, beliau turut mengakui sebahagian besar bahan pameran yang dipamerkan untuk tontonan masyarakat umum adalah salinan dan replika yang menyerupai bahan asal.

Di ANM terdapat banyak dokumen dan artifak berkaitan hari pengisytiharan kemerdekaan bersifat asli yang masih tersimpan rapi, tetapi tidak dapat dipamerkan kepada masyarakat umum atas pelbagai faktor.

“ANM masih menyimpan pakaian rasmi yang digunakan oleh Tunku Abdul Rahman sewaktu hari pengisytiharan kemerdekaan tersebut selain meja yang digunakan oleh beliau untuk menurunkan tandatangan pada watikah Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu di Stadium Merdeka berkenaan.

“Malah, antara barangan paling berharga ialah watikah pemasyhuran kemerdekaan itu sendiri yang bertarikh 31 Ogos 1957 yang sehingga kini masih tersimpan dengan baik.

“Walaupun ada dalam simpanan ANM, kami tidak pernah mengeluarkannya untuk dijadikan bahan pameran atau tontonan umum kerana ia sangat bernilai dan soal keselamatan lebih menjadi keutamaan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai watikah tersebut, Azemi memberitahu, dokumen penting kemerdekaan negara itu memiliki hamparan bersaiz kira-kira 0.4 meter persegi dan diperbuat daripada kulit kambing.

Terdapat dua watikah pemasyhuran kemerdekaan masing-masing dalam tulisan Jawi dan bahasa Inggeris dengan kedua-duanya disimpan dalam kotak khas yang diperbuat daripada perak seberat hampir lima kilogram.

Selain itu, terdapat beberapa lagi artifak dan dokumen lain yang turut mempunyai kaitan secara langsung dengan pengisytiharan kemerdekaan negara.

Rundingan

Antaranya ialah dua batang pen yang digunakan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, masing-masing digunakan untuk menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 dan menandatangani rundingan kemerdekaan bersama pihak British di London pada tahun 1956.

Selain itu, terdapat dua bilah keris iaitu Keris Hang Tuah atau dikenali sebagai Keris Kaum Ibu Melaka yang diserahkan kepada Tunku Abdul Rahman sewaktu upacara pengisytiharan tarikh kemerdekaan di Banda Hilir, Melaka sebaik tiba dari London.

Satu lagi ialah Keris Bapa atau Keris Sapukal yang dijulang oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama itu di Padang Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956 ketika beliau melaungkan perkataan ‘merdeka’ buat pertama kalinya sempena pengisytiharan tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

“Sejak arkib diwujudkan pada tahun 1957 (dahulu dikenali sebagai Public Records Office) sehinggalah tertubuhnya ANM, sebarang artifak atau dokumen asli tidak digalakkan untuk dipertontonkan kepada masyarakat umum bagi memastikan keselamatan terjamin termasuk daripada sebarang kerosakan.

“Ini kerana urusan pemindahan daripada bahagian simpanan ke ruang pameran yang kerap boleh menjejaskan kondisi asal setiap artifak atau dokumen tersebut.

“Sebab itulah, kita cuba minimumkan pergerakan dokumen dan artifak tersebut. Malah, ada antaranya yang tidak pernah dikeluarkan daripada bilik kebal termasuklah untuk tujuan pameran,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Penyelidikan dan Pembangunan) ANM, Yatimah Rimun berkata, sehingga kini terdapat hampir 10,000 artifak dan dokumen berkaitan kemerdekaan negara berada dalam simpanan ANM.

Katanya, ia termasuklah kira-kira 200 dokumen khusus berkaitan majlis pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957.

Antaranya ialah helaian kertas menunjukkan lokasi kedudukan tetamu kenamaan dan rakyat di Stadium Merdeka pada hari pengisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, pas parkir kenderaan dan menu hidangan yang disediakan untuk tetamu kenamaan termasuk untuk Tunku Abdul Rahman.

Malah katanya, terdapat juga laporan-laporan akhbar dan majalah berkaitan pengisytiharan kemerdekaan bertarikh 31 Ogos 1957 selain penerbitan lain seperti gambar dan fail.

“Sebelum ini, kesemua 200 dokumen berkenaan diklasifikasikan sebagai sulit dan disimpan di dalam bilik kebal bagi memastikan ia selamat terutamanya daripada sebarang kerosakan dan sangat jarang dikeluarkan.

“Bagaimanapun, bagi tujuan pameran dan penyelidikan, ANM telah mengambil inisiatif dengan menurun taraf dokumen tersebut supaya ia boleh diakses oleh orang awam khususnya pelajar dan para penyelidik menjadikannya sebagai bahan rujukan,” katanya.