Hairul merupakan salah seorang pengunjung di Pusat Konservasi Beruang Matahari Borneo (BSBCC) yang terletak di Sandakan, Sabah.

“Sebelum ini saya hanya melihat haiwan tersebut menerusi televisyen dan internet, tidak sangka saiznya sangat kecil berbanding spesies beruang yang lain.

“Oleh itu, kesempatan melawat pusat konservasi ini cukup bermakna buat saya kerana dapat melihat haiwan itu dan menyelami tabiat hidupnya,” katanya kepada K2 ketika ditemui di pusat konservasi itu baru-baru ini.

Beruang matahari merupakan sejenis haiwan spesies terancam. Di pusat konservasi yang bertujuan pemuliharaan beruang itu, orang ramai boleh melihatnya dengan lebih dekat.

“Bagi saya, BSBCC diselenggara dengan baik dan dijaga rapi untuk memberi keselesaan kepada beruang serta pengunjung.

“Justeru, promosi dan hebahan perlu diperluaskan kerana masih ramai orang Malaysia yang tidak tahu mengenai tempat ini,” terang bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Anak kelahiran Ampang, Selangor itu juga berharap pusat-pusat seperti BSBCC diperluas untuk menempatkan haiwan-haiwan yang terancam dengan menggunakan konsep serupa.

Beruang matahari dikenali dengan tubuhnya yang diseliputi bulu hitam melainkan pada bahagian dadanya yang terdapat tanda kuning pucat pelbagai bentuk seperti bulat dan bulan sabit dengan warna yang sama terdapat pada muncung dan sekeliling matanya. Dari situlah, ia mendapat jolokan nama beruang matahari. Ia bersaiz kecil dengan ketinggian antara 120 hingga 150 sentimeter.

Hempedu

Sementara itu, pengasas BSBCC, Dr. Wong Siew Te, 50, berkata, pusat tersebut ditubuhkan pada tahun 2008 selepas 10 tahun beliau mengkaji beruang matahari di hutan tropika di Sabah.

“Pada 21 tahun lalu ketika tiba di Sabah untuk membuat kajian beruang ini, saya lihat ada antara beruang tersebut yang dijadikan sebagai haiwan peliharaan dan dikurung di zoo mini, pusat rekreasi atau taman buaya.

“Malangnya, kebajikan haiwan itu tidak dijaga dengan baik apabila ia ditempatkan dalam kurungan yang kecil sehingga menjejaskan emosi,” tutur lelaki dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ikan dan Biologi Hidupan Liar dari Universiti Montana, Amerika Syarikat.

Kerakusan manusia menebang kayu-kayu di hutan menyebabkan habitatnya musnah malah keadaan bertambah buruk apabila haiwan tersebut turut diancam oleh pemburuan haram yang akan menembak atau menjerat beruang matahari untuk mengambil hempedu haiwan itu.

Dagingnya pula dijadikan makanan manakala taring dan kuku digunakan sebagai perhiasan serta dipercayai dapat menghalau roh jahat.

Hempedunya merupakan bahagian yang paling bernilai dan ia boleh mencecah RM3,000 bagi satu biji.

“Dek kerana rasa simpati terhadap nasib beruang itu, pada tahun 2004 saya sudah mula melakukan kerja-kerja mencari tapak untuk mewujudkan pusat ini.

“Inspirasi untuk membangunkan tempat ini tercetus apabila melihat Pusat Rehabilitasi Orang Utan Sepilok. Oleh itu, saya ingin menjadikan BSBCC khas untuk beruang matahari,” katanya.

Sejak beroperasi 11 tahun lalu, BSBCC yang seluas lima hektar itu telah berjaya menyelamatkan 61 ekor beruang matahari yang diterima daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Beruang-beruang tersebut diselamatkan oleh badan kerajaan tersebut untuk dibawa ke BSBCC bagi tujuan pemuliharaan.

Mengulas lanjut mengenai peranan pusat tersebut, Siew Te berkata, beruang matahari hanya dijaga buat sementara waktu dan akan dilepaskan apabila ia berada dalam keadaan sihat dan mampu hidup berdikari di dalam hutan.

“Kini kami menjaga 46 ekor beruang yang berusia satu hingga 27 tahun.

“Sebahagian beruang ini tidak pandai mencari makanan sendiri dan tidak biasa dengan habitat hutan kerana tinggal di dalam kurungan malah ada juga dijadikan sebagai haiwan peliharaan sehingga tidak mampu mencari makanan sendiri,” jelasnya.

Justeru, menjadi tanggungjawab penjaga beruang di BSBCC untuk melatih haiwan itu berdikari seperti mencari makanan, memanjat pokok dan membuat sarang.

BSBCC mempunyai 28 kakitangan dan 10 orang penjaga beruang yang bertanggungjawab menguruskan haiwan itu sepanjang berada di pusat tersebut.

Menjadi satu-satunya pusat yang melindungi beruang matahari di Malaysia, BSBCC mempunyai objektif utama antaranya menjaga kebajikan beruang agar haiwan itu mendapat pembelaan sewajarnya.

Ia juga bertujuan memberi pendidikan dan pendedahan kepada orang ramai mengenai beruang ini selain menjadikan pusat itu sebagai tempat kajian beruang matahari.

Kewujudan pusat itu bagai memberi peluang kedua kepada haiwan tersebut untuk hidup di dalam hutan.

Jangka hayat

Menurut penerima anugerah Wira Negaraku pada tahun 2017 itu, pusat tersebut menerima pengunjung seramai 76,000 orang pada tahun lalu.

Berbicara lanjut mengenai kemahiran utama beruang matahari, Siew Te berkata, haiwan itu berkeupayaan memanjat pokok sehingga ketinggian 30 meter atau 10 tingkat bangunan.

“Kebanyakan beruang tidak boleh memanjat tetapi beruang ini mampu memanjat begitu tinggi.

“Ia juga berbeza dengan beruang lain apabila mempunyai saiz badan yang kecil dan mempunyai berat badan 45 kilogram (kg) bagi jantan dan betina 35kg. Jangka hayat haiwan ini ialah 14 hingga 15 tahun tetapi pernah direkodkan ada yang berjaya hidup sehingga 38 tahun,” terangnya..

Jelasnya lagi, habitat asal beruang matahari ialah di hutan-hutan tropika seperti yang terdapat di Malaysia.

Beliau yang juga menerima pengiktirafan sebagai CNNHero pada tahun 2017 memberitahu, beruang matahari sangat suka makan madu lebah dan buah-buahan tropika.

Sebanyak RM500 sebulan diperuntukkan untuk membeli makanan bagi seekor beruang matahari di pusat tersebut.

BSBCC mendapat dana daripada hasil kutipan tiket masuk, sumbangan Kerajaan Negeri Sabah, sumbangan orang ramai dan Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, salah seorang penjaga beruang di BSBCC, Azzry Dusain, 26, berkata, dia bertanggungjawab melatih beruang tersebut untuk hidup berdikari di dalam hutan.

“Seperti seorang ibu, penjaga beruang akan mengajar haiwan itu memanjat, membuka kulit kelapa dan membawanya keluar berjalan-jalan di hutan berdekatan untuk membiasakan diri dengan habitat sebenar.

“Penjaga beruang tidak boleh berganti-ganti bagi mengelakkan risiko dicederakan kerana haiwan itu tidak mengenalinya,” jelas lelaki dari Telupit, Sabah itu yang sudah tujuh tahun bertugas di BSBCC.

Tambahnya, latihan bersama beruang itu dilakukan kira-kira setahun setengah sebelum dilepaskan ke dalam hutan.

Begitupun, terdapat beberapa kriteria sebelum ia dilepaskan ke dalam hutan iaitu beruang tersebut hendaklah berusia empat hingga lapan tahun, mempunyai berat badan 30kg, tahu membuat sarang, memanjat dan mengorek tanah.

Di samping itu, dia juga memberi haiwan itu makan sebanyak empat kali sehari dan membersihkan kandang.

Ujar Azzry, antara makanan yang diberikan kepada beruang tersebut ialah bubur nasi, tembikai, rambutan dan sayur-sayuran.

Pusat Konservasi Beruang Matahari Borneo di Sandakan, Sabah yang ditubuhkan 11 tahun lalu memberi sinar kepada beruang madu atau lebih dikenali sebagai beruang matahari untuk meneruskan kelangsungan hidup spesies terancam itu.